in

Ujibakat Mencari Peserta Sejuta Impian TV3

PENCARIAN PESERTA KINI BERMULA!
Rebutlah Peluang Merealisasikan Impian Demi Kebaikan Bersama

Berita baik kepada semua yang berminat untuk menyertai program realiti, SEJUTA IMPIAN! Rebutlah peluang merealisasikan impian anda dengan mengahdiri sesi ujibakat yang bakal berlangsung di lokasi-lokasi terpilih seluruh negara bermula 5hb Mac ini!

Satu kolaborasi di antara stesen no. 1 Negara, TV3 bersama Telekom Malaysia (TM) dan Dana Belia 1Malaysia (DB1M), program SEJUTA IMPIAN bakal disiarkan bermula Mei 2011 nanti dan menawarkan insentif bernilai RM1 juta sebagai pencetus semangat dan titik permulaan bagi merealisasikan impian dan hasrat murni demi kebaikan bersama.

Pencarian untuk para peserta SEJUTA IMPIAN akan diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor Bahru (Johor) pada 5 dan 6 Mac (Sabtu & Ahad) dan kemudian akan bergerak ke Kelantan, Terengganu, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada 12 Mac (Sabtu) dan di Kuantan (Pahang) pada 13 Mac (Ahad).

Ujibakat adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berminat dan mestilah berumur tidak melebihi 40 tahun. Bagi mereka yang masih di bawah umur 18 tahun ke bawah harus ditemani oleh ibubapa atau penjaga ketika hadir di lokasi uji bakat.

Berikut adalah lokasi sesi ujibakat untuk program SEJUTA IMPIAN:

5 Mac 2011 Zon Tengah
AEON AU2, Setiawangsa, KL
1 Utama, New Wing Bandar Utama
Taman Tasik Titiwangsa, KL

5 Mac 2011 Zon Utara
Queensbay Mall, Pulau Pinang
AEON Seberang Jaya, Pulau Pinang

5 Mac 2011 Zon Selatan
AEON Tebrau City, Johor
AEON Bukit Indah, Johor

6 Mac 2011 Zon Tengah
Pasar Besar Cheras, KL
Sunway Pyramid, Petaling Jaya
AEON Bukit Tinggi, Klang

6 Mac 2011 Zon Utara
Alor Star Mall, Kedah
AEON Jusco Kinta City, Perak

6 Mac 2011 Zon Selatan
WETEX Parade, Muar, Johor
Mahkota Parade, Melaka

12 Mac 2011 Zon Pantai Timur
KB Mall, Kelantan
Giant Kuala Terengganu

12 Mac 2011 Zon Sabah
Warisan Square, Kota Kinabalu
1 Borneo, Kota Kinabalu

12 Mac 2011 Zon Sarawak
The Spring, Kuching
Boulevard, Kuching

13 Mac 2011 Zon Pantai Timur
East Coast Mall, Kuantan

Selain daripada menghadiri sesi ujibakat yang diadakan di seluruh Negara, pihak produksi juga mengalu-alukan penyertaan secara online menerusi emel di alamat rasmi [email protected] yang dibuka sekarang hingga 13 Mac 2011. Calon-calon yang berjaya disenarai pilih akan dihubungi oleh pihak produksi kelak.

Setiap episod akan dibahagikan kepada 3 elemen utama iaitu sesi perkenalan peserta dan panel juri, sesi penerangan dan manfaat impian ataupun hasrat yang ingin ditunaikan kepada masyarakat mahupun golongan yang disasarkan dan akhir sekali, keputusan panel juri. Bersesuaian dengan pemilihan para peserta yang terdiri daripada berlainan bangsa dan latarbelakang, barisan panel juri yang bakal memikul tugasan berat untuk menilai dan mampu mengubah kehidupan mereka yang terlibat juga terdiri daripada individu-individu yang mewakili pelbagai aspek dan bidang industri tempatan termasuklah selebriti tersohor, usahawan berjaya, tokoh politik, ahli akademia dan ramai lagi.

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, En. Ahmad Izham Omar menjelaskan, “Penglibatan kami di dalam projek ini dilihat sebagai salah satu cara menyambut baik saranan kerajaan dalam memikul tanggungjawab sosial yang telah diamanahkan. Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pihak TM & rakan di DB1M, SEJUTA IMPIAN bukan sekadar sebuah program televisyen tetapi merupakan satu platform positif yang menawarkan insentif berguna kepada belia Malaysia untuk merealisasikan impian dan hasrat terpendam selama ini.

Tanpa mengira latar belakang dan status individu, asalkan impian mahupun hasrat yang disarankan berkaitan rapat dengan pembangunan, membawa perubahan besar serta memberi kesan kepada komuniti setempat dan masyarakat, anda semua mungkin merupakan di antara individu bertuah yang terpilih untuk menerima habuan yang ditawarkan.

Seterusnya program ini juga diharap dapat menimbulkan kesedaran dan muhasabah diri sesama insan kerana kami percaya melalui mesej dan elemen kemasyarakatan yang disampaikan melalui segmen dan konsep SEJUTA IMPIAN, secara tidak langsung dapat membuka mata dan minda kita semua untuk berusaha meningkatkan potensi diri dan mengubah nasib bangsa.”

Ikuti SEJUTA IMPIAN, satu platform positif untuk rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang yang dipilih dan diberi peluang untuk merealisasikan impian ataupun hasrat yang terpendam. SEJUTA IMPIAN bakal ditayangkan di TV3 sebanyak 20 episod dan akan bersiaran selama setengah jam bermula 15 Mei 2011, setiap hari Ahad jam 7.30 petang. Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini juga boleh melayari laman web rasmi di www.tv3.com.my/sejutaimpian.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelancaran Muka Depan Majalah EH! Edisi DIVA dan AMAL

Maxis Sends A Malaysian Fashionista To Paris