in , ,

Pengunduran Syasya dari Dolla Terjawab, Berita Selamat Bernikah Tersebar

Tanda tanya mengenai pengunduran mengejut Syasya daripada kumpulan Dolla akhirnya terjawab. Universal Music Malaysia berharap berita itu akan menamatkan segala spekulasi yang tercetus selama ini.

Syasya atau nama sebenar Norsyasya Afiqah Shahrizal mengundurkan diri daripada kumpulan Mpop itu kerana mahu menamatkan zaman solonya dan majlis pernikahannya telah dijalankan semalam.

Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berita pengunduran Syasya daripada Dolla sememangnya mengejutkan ramai serta menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Namun, perancangan mendirikan rumah tangga menjadi antara faktor pengunduran Syasya daripada Dolla.

“Kami perlu akur akan keputusan dibuat empunya diri yang disifatkan terlalu peribadi, ” katanya.

Pada masa sama, Universal Music Malaysia juga berharap berita itu akan menamatkan segala spekulasi yang tercetus selama ini.

“Kita doakan semoga segala apa yang sudah dirancang Syasya akan berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Apa yang penting, semoga berita gembira ini menghentikan segala spekulasi tidak tepat yang timbul,” tambahnya.

Terdahulu, kumpulan itu menerusi hantaran di akaun rasmi mereka mengumumkan mengenai pengunduran Syasya pada 8 April lalu.

Dalam perkembangan lain, Dolla berjaya mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia dalam sebuah pertandingan nyanyian membabitkan pelbagai kumpulan vokal di China menerusi program Show It All.

Menariknya, aksi lincah Dolla ketika membuat persembahan menjadi tular selain meraih pelbagai pujian dan kata-kata semangat oleh peminat serta warga maya. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dapatkan Tandatangan & Sesi Foto Eksklusif Ziana Zain di Autograph Session

Firetalk 2024 By Nourul Depp Kembali Suntik Motivasi, Ubah Mentaliti