in

Drama Juvana Lakonan Zahiril Adzim Izreen Azminda

“AKU TIDAK AKAN TERPERANGKAP SELAMANYA”

Setiap orang wajar diberikan peluang untuk menebus kesalahan yang dilakukan. Akan tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang dipersalahkan dan dihukum atas kesalahan pihak lain? Adakah dia akan bangkit semula dengan semangat baru?

Ikuti perjalanan seorang remaja berusia 17 tahun yang tidak bersalah tetapi dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak atas tuduhan membunuh menerusi siri drama terbaru, JUVANA mulai 25 April 2011, setiap hari Isnin jam 9.00malam.

Juvana

Sesi pelancaran JUVANA telah diadakan di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka pada petang Khamis lalu 14 April 2011 bersama para penghuni sekolah tersebut dan barisan artis yang menjayakan drama itu.

JUVANA terbitan Filmscape yang menyaksikan gandingan hebat antara penerbit Kabir Bhatia, Pengarah Faisal Ishak dan penulis skrip Alfie Palermo membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Bront Palarea, Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2010; Zahiril Adzim, Izreen Azminda, Irfan Roslan, Beto Khusairy, Kuswadinata, Hariry serta bakat-bakat baru seperti Johan Ariff, Syazwan Zulkifly, Wan Atiqa Farhana, Adam Shah, Khairul Mohamed, Syukri Yahaya, Riki Rikando, Idzham Ismail, Helmi dan Talha Harith.

Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9, Puan Nurul Aini Abu Bakar berkata, “TV3 sentiasa tampil ke hadapan dengan memperkenalkan genre drama yang baru kepada jutaan penontonnya. Misalnya, drama muzikal pertama, Hotel Mania; siri drama epik pertama, Arjuna dan kini pula JUVANA, sebuah drama bersiri yang akan mengupas sisi hidup pesalah-pesalah juvana. Selain menyelami dunia dan perasaan hati pesalah juvana, JUVANA juga mahu mendidik para penonton supaya mengambil iktibar daripada paparan kisah kehidupan watak-watak siri drama tersebut. Kami juga ingin memberi insipirasi kepada para penonton supaya sentiasa berubah ke arah yang positif dan jangan terjerumus dengan gejala gengsterism yang hanya akan memudaratkan diri. Kejayaan akademik dan pengetahuan moral yang tinggi akan memberi jaminan kepada masa depan anda. Itulah yang ingin disampaikan oleh kami menerusi drama bersiri JUVANA.”

“Tidak dapat dinafikan bahawa TV3 selesa untuk bekerjasama dengan Kabir Bhatia dan Faisal Ishak dari Filmscape Production. Mereka sentiasa berfikiran kreatif dan berani, amat teliti dalam kerja-kerja produksi dalam mendapatkan visual-visual yang menarik serta membentuk watak-watak yang berkesan. Kami berharap agar JUVANA akan menerima sambutan yang menggalakkan daripada penonton-penonton TV3 nanti. ” tambah Puan Nurul.

Kisah bermula apabila Daim bin Yahya (Zahiril Adzim), seorang remaja 17 tahun yang pendiam dituduh membunuh ibunya dan teman lelaki ibunya. Tidak upaya untuk membela diri dan membuktikan kenaifannya, Mahkamah menjatuhkan hukuman agar dia dihantar ke Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti (sebuah sekolah NGO) sehingga dia cukup umur untuk dibicarakan.

Bermulalah episod ngeri Daim yang menjadi mangsa buli oleh sekumpulan pelajar diketuai oleh Botak (Johan Ariff). Encik Raja (Bront Palarae), warden yang tiada belas kasihan hanya membiarkan kejadian tesebut terus berlaku. Pengawal sekolah, Tony (Hariry) yang menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah hanya memburukkan keadaan Daim. Cikgu Ariffin ( Beto Khusairy) dan Cikgu Azmee (Irfan Roslan) juga mengambil langkah atas pagar dan enggan masuk campur dalam kes pergaduhan pelajar.

Daim hanya mempunyai harapan semula apabila Cikgu Zakiah (Izreen Azminda), seorang tokoh guru bimbingan dan kaunseling menerima tawaran untuk mengajar di Sekolah Wirabakti. Cikgu Zakiah teruja dengan tawaran tersebut dan bercita-cita untuk membimbing pelajar-pelajar di sekolah juvana. Namun begitu,, tugasnya tidak mudah dilaksanakan kerana pelajar-pelajar di sana samseng belaka dan tidak mahu belajar. Warden Raja tidak suka dengan kehadiran Cikgu Zakiah kerana dia memerlukan lebih ramai pengawal dan bukannya guru. Bagi Warden Raja, Sekolah Wirabakti hanyalah sebuah penjara untuk pesalah-pesalah juvana dan cuma kekerasan yang dapat mengawal budak-budak tersebut.

Di bawah bimbingan Cikgu Zakiah, Daim mula mendapatkan keyakinan diri apabila dia menyertai kelab pendebatan. Daim sudah berani melawan balik Botak dengan cara psikologi untuk meleraikan pergaduhan dan mula mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar lain. Namun, apa yang Daim dan Cikgu Zakiah tidak tahu ialah isi hati Warden Raja yang dilihat seakan setuju dengan perubahan positif yang berlaku dalam sekolah tersebut. Daim dan Cikgu Zakiah sedang berdepan dengan ancaman nyawa daripada pihak yang tidak menyenangi tindakan mereka. Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan JUVANA, setiap hari Isnin jam 9.00malam mulai 25 April 2011, hanya di TV3!

Juvana

Juvana

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Azenders Join Hard Rock Calling 2011 in London

Rozita Che Wan Duta Produk Terbaru Safi Rania GOLD