in

Minggu Pertama Sebagai Penanda Aras Pentas Da’i Musim Kelima

Malam Ahad lalu telah berlangsungnya Pentas Da’i Musim Kelima untuk Episod pertama secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Program realiti keagamaan itu telah menjadi perbualan hangat seluruh negara di laman sosial. Enam peserta Da’i iaitu Da’i Fahmi, Da’i Humaira’, Da’i Syafiqah, Da’i Hakim, Da’i Aiman, dan Da’i Zahirah telah membuka tirai Da’i musim kelima ini dengan bertemakan ‘Resipi Kehidupan’.

Pada malam itu, perbualan di Twitter turut merangkumi perbualan siapakah Da’i pilihan penonton melalui hashtag nama mereka, #daifahmi, #daihumaira, #daisyafiqah, #daihakim, #daiaiman, dan #daizahirah.

Da'i Aiman 2

Setelah satu jam tiga puluh minit program ini bersiaran, Da’i Zahirah telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu pertama, diikuti dengan Da’i Hakim, Da’i Aiman, Da’i Fahmi, Da’i Humaira’, dan Da’i Syafiqah.

Menurut Penerbit Da’i Pendakwah Nusantara Musim kelima, Encik Shukri Ibrahim,

“Dari apa yang dapat kita lihat semalam, enam peserta telah memberikan persembahan diluar jangkaan kami walaupun ia merupakan kali pertama mereka beraksi di atas pentas. Mereka telah berjaya menangani dan mengawal situasi walaupun ada yang gugup ketika berhadapan dengan hampir 400 orang penonton di studio. Penonton di rumah turut memberi maklumbalas yang amat memberangsangkan dan menjadi perbualan hangat di laman sosial masing-masing.”

“Yang pastinya kita boleh jangkakan persembahan yang lebih menarik daripada enam orang lagi peserta pada episod akan datang kerana persaingan dan persediaan mereka begitu sengit setelah meletakkan penanda aras daripada persembahan enam rakan mereka pada episod pertama.”

Antara tarikan malam itu adalah persembahan pembukaan oleh Khai Bahar yang membuka tirai dengan lagu Doa. Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima episod pertama itu diikuti dengan persembahan para peserta mengikut urutan berikut:

Nama Peserta Tajuk Persembahan
Da’i Fahmi Hebatnya Solat Sunat
Da’i Zahirah Cinta Yang Diredhai
Da’i Hakim Kasih Pada Makhluk Allah
Da’i Aiman Bermusuh Dengan Zina
Da’i Syafiqah #Terimakasih
Da’i Humaira’ ‘Kenalan’ Kita

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70% dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut pegisian dan hafazan sebanyak (35%), manakala (35%) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. 20% akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10% dari juri awam yang diundang pada setiap episod.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang Da’i Pilihan Penonton ini dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka pada setiap minggu. Contohnya, jumlah sebutan #daifahmi di laman sosial Twitter adalah yang terbanyak pada satu minggu itu, akan dipilih sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu tersebut. Sekiranya, Da’i Fahmi telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton yang terbanyak sepanjang musim, secara automatik Da’i Fahmi akan memenangi gelaran Da’i Pilihan Penonton musim kelima.

Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit. Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.

Selain itu, Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i dan merangkap sebagai ketua tenaga pengajar yang digelar Murabbi. Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung. Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Juri-juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail.

Da’i Pendakwah Nusantara musim Ke-5 bertuah kerana sekali lagi mendapat sokongan dari penaja iaitu Almas Beauty & Health. Tambahan pula, penaja utama turut memberikan sumbangan kepada para pemenang untuk tahun ini. Juara Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan menerima sebuah pakej Umrah untuk 2 orang. Manakala pemenang saguhati dan Da’i Pilihan Almas masing-masing akan menerima sebuah pakej percutian kapal persiaran.

Penonton juga berpeluang untuk menyaksikan Jurnal Da’i yang akan mula bersiaran disiarkan pada hari Ahad ini, jam 6.00 petang dan dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4). Jurnal Da’i akan memaparkan perjalanan pembelajaran mereka sebelum bergelar Da’i, di belakang tabir kelas bersama Murabbi dan Mursyid, aktiviti-aktiviti riadah dan juga aktiviti bersama penaja.

Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, 9.00 malam bermula 16 Julai 2017 dan ikuti juga Jurnal Da’i pada pukul 6.00 petang di TV3. Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial.

Ustaz Zarifi dan Ustazah Sharifah Hayaati sebagai Juri Tetap

Da'i Aiman

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Faizal Ismail Lepas Gian Buat Show Sendiri di FB Live Guna Kamera Mevo

Izzue Islam, Yana Samsudin & Fouziah Gous Lancar Kedai Online di Aplikasi Shopee