in , ,

Apple Lancar iPad Pro 2020 & Magic Keyboard dengan Pad Sesentuh Terbina

Semalam, 18 Mac 2020, Apple telah memperkenalkan empat model iPad Pro baharu dimana ia akan hadir dengan model kamera tiga lensa seakan-akan iPhone 11 Pro.

Apple baru sahaja mengemaskini laman web mereka dengan model-model baru tersebut, dan akhirnya kita dapat melihat spesifikasi-spesifikasi dalaman tablet untuk golongan profesional tersebut. Bermula dengan paparan skrin, iPad Pro baru ini dilengkapi dengan paparan skrin Liquid Retina 11 (2388×1668 pixel) dan 12.9 inci(2732×2048 pixel) dengan teknologi ProMotion 120Hz yang menjanjikan pengalaman menatal dan melukis yang lancar.

ipad pro 2020

Ia dikuasakan oleh CPU A12Z Bionic, cip pemprosesan yang lebih kurang sama seperti apa yang digunakan didalam peranti generasi lepas, iaitu iPhone XS, XS Max dan juga XR.

Dari segi modul kamera, tablet ini turut menggunakan sistem kamera sama yang dilihat pada iPhone 11, iaitu lensa lebar 12MP dan lensa ultra-lebar 10MP yang mempunyai kebolehan zum sehingga lima kali, dan juga pengesan LiDAR untuk tujuan pengesanan 3D dan juga realiti imbuhan.

ipad pro 2020

Sama seperti model sebelum ini, pengguna diberi pilihan model dengan sokongan untuk sambungan WiFi (802.11ax) sahaja, ataupun dengan sambungan selular melalui kad nanoSIM untuk mereka yang sering menggunakan peranti ini di luar dan memerlukan sambungan internet kendiri.

Pilihan storan untuk iPad Pro baru ini juga cukup banyak, Apple memberi pengguna pilihan untuk mendapatkan model dengan pilihan storan bermula dari 128GB256GB512GB dan 1TB.

Apa yang lebih menarik lagi mengenai peranti ini ialah ia kini hadir dengan sokongan untuk aksesori papan kekunci baru yang kini mempunyai pad sesentuh terbina didalamnya.

ipad pro 2020

Menurut Apple, mereka akan mengemaskini model-model iPad, iPad Pro dan iPad Mini terpilih sebelum ini untuk turut menyokong papan kekunci baru tersebut.

Tanda harga untuk iPad Pro terbaru ini sudah boleh dilihat di laman web Apple Malaysia, dan ia boleh dibeli tidak lama lagi pada harga bermula RM3499 untuk model WiFi dengan storan 128GB, dan RM4199 untuk model WiFi+Selular dengan jumlah storan yang sama.

ipad pro 2020

Selain dua model MacBook Air baharu dan iPad Pro dengan tri-kamera sebentar tadi, Apple turut mengumumkan aksesori Magic Keyboard untuk iPad Pro. Papan kekunci ini berbeza dengan papan kekunci iPad terdahulu kerana akhirnya dilengkapi sebuah pad sesentuh terbina. 

ipad pro 2020

Dengan wujudnya pad sesentuh ini, proses menggunakan iPad Pro seperti sebuah komputer riba akan menjadi lebih mudah. Sebuah lagi keunikan Magic Keyboard ialah ia mempunyai bahagian leher yang boleh dilaras sudut pandangannya. iPad Pro boleh diletakkan terapung di atas papan kekunci. Papan kekunci Magic yang disertakan pula adalah sama seperti yang digunakan pada Macbook Air baharu lengkap dengan mekanisme gunting.

ipad pro 2020

Magic Keyboard bercantum menggunakan magnet pada panel belakang iPad Pro dan melakukan sentuhan dengan port Smart Connect. Ini membolehkan iPad Pro dicas menerusi sebuah port USB-C yang terbina pada engsel Magic Keyboard. Walaupun diumumkan hari ini, Magic Keyboard akan hanya ditawarkan bermula Mei kelak.

Apple turut mengesahkan sokongan kursor menerusi iPadOS  13.4 yang akan diberikan pada 24 Mac kelak. Kursor ini muncul pada skrin sekiranya tablet disambungkan kepada Magic Mouse 2, Magic Trackpad 2 dan Magic Keyboard. Dengan wujudnya kursor ini, pengalaman menggunakan iPadOS lebih menghampiri macOS.

Sumber: Portal Amanz

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sebab Anda Perlu Just Stay At Home & Kekal Setia Bersama iflix

Kisah Sedih Sebalik Lagu NYAWA Nyanyian Nadeera Zaini