in

Aidilfitri Dua Negara Di Sinar Lebaran 2009

AIDILFITRI DUA NEGARA DI SINAR LEBARAN 2009

Sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah tentunya disambut dengan meriah oleh semua stesen televisyen tanah air dengan pelbagai rancangan-rancangan hebat serta program-program menarik yang telah disusun atur. Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut tidak melepaskan peluang ini untuk turut sama menyenaraikan pelbagai rancangan untuk menyemarakkan suasana hari raya.

Antara program yang tersenarai dalam slot khas raya tersebut adalah sebuah program yang menggabungkan lakonan dan nyanyian artis-artis dari dua buah negara iaitu Singapura dan Malaysia melalui program muzikal komedi Sinar Lebaran 2009 yang akan ditayangkan pada 21 September 2009 bermula jam 3.05 petang di saluran TV1.

Sinar Lebaran 2009 yang berkonsepkan muzikal komedi melalui medium lagu dan sketsa ini melibatkan  lebih dari 15 orang artis gabungan dari dua buah negara. Artis-artis dari Malaysia iaitu Zul Yahya, Ifa Raziah, Farawahida, Ezad Exist, Bob, Alyah serta bintang baru yang telah menjuarai Bintang RTM 2009 iaitu Ernie. Manakala barisan artis dari Singapura pula iaitu Suhaimi Yusof, Adi Putra, Mahirah, Ismail Harun, Azyza, Syed Azmir, Hyrul Anuar, Eiss dan beberapa bintang dari rancangan realiti Anugerah iaitu Kunjung, Wawan, Sarah dan Chirul.

Ady Putra

Rancangan terbitan Unit Hiburan TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui penerbitnya Ain Sabrina On ini mengisahkan tentang dua buah keluarga iaitu Camy lakonan Suhaimi Yusof dan Dee lakonan Ifa Raziah yang tinggal berjiran di No.21, Jalan Hari Raya. Camy yang sedikit ketinggalan zaman amat berbeza sifatnya dengan Dee yang sentiasa mengikut trend terkini tetapi sangat garang. Namun begitu, walaupun Dee bersifat garang, tersembunyi dalam dirinya sifat seorang penyayang dan sangat mesra. Camy dan Dee sering bertekak dan sentiasa salah faham. 

Untuk menjernihkan keadaan antara mereka berdua, Jeff (Adi Putra) dan Zack (Zul Yahya) yang masing-masing adik kepada Camy dan Dee menggunakan pelbagai rancangan dan taktik untuk mendamaikan  dan memadankan abang dan kakak mereka. Akhirnya rancangan terakhir mereka untuk mengadakan malam fiesta raya di kawasan kejiranan itu berjaya menjernihkan hubungan antara Camy dan Dee.

 Alyah

Pelbagai gelagat lucu dan lawak jenaka lakonan barisan artis popular itu dapat disaksikan dalam sketsa Sinar Lebaran 2009. Untuk mewujudkan lagi mood hari raya, persembahan sketsa komedi ini diselang-selikan dengan susunan lagu-lagu hari raya serta lagu-lagu terkini nyanyian barisan artis-artis dari Malaysia dan Singapura yang pasti dapat menyemarakkan hari raya anda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muzikal Raya Twist Raya di Aidilfitri TV2

Program Muzikal Hari Raya TV2