in

Gossip: Pelakon Digugurkan Kerana Dadah

BARU-BARU ini, ketika Cik Normah bertemu seorang produser yang gah juga namanya di sebuah majlis makan-makan. Banyak cerita keluar daripada mulutnya. Maklumlah, sesekali berjumpa, tentulah banyak hendak diperkata.

Lagi pun Cik Normah dengan produser itu sudah macam kawan lama.

Tiba-tiba, dia pun bercerita mengenai kerenah pelakon hari ini yang semakin kurang disiplin. Bukanlah semua bersikap sedemikian, tetapi memang ada yang berangan-angan besar sedangkan hasil kerjanya tak sehebat mana pun. Seorang daripada pelakon yang terbabit dalam projek televisyen terbitannya pun tidak terkecuali, sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pasukan produksi.  

Kononnya, ketika mula-mula diambil bekerja, pelakon ini menunjukkan sikap yang terpuji. Namun, selepas setahun ‘makan gaji’ dengan produser ini, dia mula buat perangai. Pelakon muda ini dikatakan selalu datang lambat ke lokasi. Kalau diminta datang jam 10 pagi, jam 6 petang barulah dia muncul. Habis itu, tak ke kasihan pelakon dan pekerja lain yang menunggu dari pagi?

Produser ini pun, pernah beri nasihat kepada pelakon bermasalah itu. Tetapi, apabila kesalahan serupa asyik dilakukan, lebih banyak masalah timbul kemudian hari. Hendak tak hendak, produser ini terpaksa bertegas dengan menggugurkan namanya.

Daripada cerita orang produksi, pelakon ini memang susah hendak bangun pagi. Ini kerana pelakon itu dikatakan sudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan ganja. Dia dikatakan sering mengambil dadah jenis ice. Apabila badan sudah longlai kerana benda haram itu, memanglah dia ‘pengsan’ satu hari!

Pernah juga bilik chaletnya terpaksa dibuka dengan kunci pendua, apabila sepanjang hari dia berkurung dalam rumah rehat itu ketika berada di sebuah lokasi penggambaran. Siapa tidak bimbang kalau pintu tak dibuka walaupun sudah diketuk sejak pagi. Sebaik saja pekerja resort membuka pintu chaletnya, dia dilihat terlentang tak sedarkan diri.

Rupa-rupanya, bukan produser ini saja yang pernah berdepan masalah pelakon ini. Beberapa produksi lain juga turut mengalami kesulitan apabila dia terbabit dengan projek mereka. Kalau asyik di bawah pengaruh dadah, macam mana hendak berkerja?

Kepada pelakon lain, jangan memandai-mandai hendak meniru perangai pelakon muda yang tak reti diuntung ini. Kalau orang sudah bagi kerja, buatlah betul-betul supaya lebih banyak peluang dapat diperoleh nanti. Kalau kerja bagus, tentu lebih ramai produser akan datang cari. Tetapi, jika asyik ‘lalok’ saja, lama-lama tinggal kerangka jawabnya nanti. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy

Gossip: Penyanyi muda kuat berangan