in

Gossip: Penyanyi muda kuat berangan

KETIKA sedang asyik menonton konsert mingguan One In A Million (OIAM) 3 di rumah bersama suami tersayang, telefon bimbit Cik Normah yang baru dibeli berdering. Biasalah, panggilan daripada sumber berita Cik Normah yang boleh dipercayai. Jadi, Cik Normah pun jawab panggilannya dan seperti dijangka, memang ada cerita menarik yang hendak disampaikannya.

Cerita kali ini mengenai seorang peserta rancangan itu yang kini masih lagi dilihat antara peserta paling berpotensi. Teman Cik Normah memberitahu, peserta ini masih lagi berangan-angan dan kuat berdrama. Dalam erti kata lain, suka cakap tak serupa bikin atau berpura-pura.

Sayang, Cik Normah ingatkan sudah berubah kerana ketika dia menyertai sebuah pertandingan realiti yang lain tidak lama dulu, ramai yang sudah meluat dengan sikapnya. Ingatkan sejak dah matang berada dalam industri, dia sudah berubah. Rupa-rupanya, dia masih tetap dengan sikap yang sama.   

Kata kawan Cik Normah lagi, ramai yang mengandaikan dia dan peserta OIAM 3 berbaik-baik hanyalah satu ‘propa’. Biar betul, Cik Normah mulanya menyangkakan dia sudah berubah. Tapi Cik Normah memang berharap penyanyi muda ini berubahlah perangai demi masa depan kerjayanya.

Suaranya bagus, bakatnya pun elok dan boleh digilap lagi, cuma yang menyebabkan pihak di kelilingnya berasa kurang selesa kerana perangainya yang tidak menarik.

ALHAMDULILLAH, Cik Normah bersyukur apabila diberitahu teman sepejabat bahawa pelakon, model dan pengacara cantik jelita, Yatt akan menamatkan zaman bujangnya pada 29 Mac. Bakal isteri kepada Abdul Mutalib Abdul Shukor ini akan bernikah pada tarikh itu di Seremban 2, Negeri Sembilan, iaitu di rumah keluarga Yatt.

Majlis persandingan serentak bagi kedua belah pihak akan diadakan pada 4 April ini di Putrajaya. Hah! Betul tak cerita yang pernah Cik Normah siarkan sebelum ini cakap Yatt bakal tamat zaman solo sekitar April. Kira tepat jugalah sumber Cik Normah dan gara-gara artikel itu, Yatt tak menang tangan menjawab panggilan kenalan dan sanak saudara yang ingin mengetahui kesahihannya.

Kawan Cik Normah yang cukup mengenali baik Yatt turut dijemput untuk ke satu sidang media mini pada 17 Mac ini bersamaan hari Selasa. Satu pengumuman mengenai majlis hari bahagia Yatt dan tunangnya akan dimaklumkan kepada rakan wartawan.      

Cik Normah difahamkan majlis itu akan diadakan di Butik Lynda Rahim di Taman Dagang, Ampang. Pereka fesyen itu memang sangat sinonim dengan Yatt dan sebelum ini pernah menaja perkahwinan Sariyanti.

Insya-Allah kalau ada masa, Cik Normah tak keberatan untuk ke majlis itu atau barangkali hanya wakil saja. Bukan apa, kawan sepejabat di meja Hip ini memang agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Selain sibuk dengan tugasan harian, kami pun sibuk dengan persiapan dan macam-macam aktiviti sempena promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Pejam celik, sudah nak dekat hari kemuncaknya. Cik Normah pun sedang berkira-kira untuk menerima tawaran pereka fesyen yang sudi nak menaja busana gaun meleret rona menjerit untuk digayakan Cik Normah nanti.

Jangan ada hati pula nanti menyaksikan gaya Cik Normah boleh mengalahkan artis. Hingga terkedu kawan Cik Normah, Kak Pora melihatnya. Biasalah jadi orang cantik, pakai apa pun lawa. Datin Lynda Rahim tak nak taja pakaian ABPBH 2008 untuk Cik Normah ke? [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip: Pelakon Digugurkan Kerana Dadah

Gambar Dato’ Siti Nurhaliza di Sirah Junjungan