in

Telemovie Khas ANAK JAGA MISKIN Sempena Hari Pekerja

Menjadi pengawal keselamatan adalah satu bentuk khidmat masyarakat yang sungguh mulia. Mereka bertugas bukan sahaja untuk wang ringgit, malah untuk menyumbangkan tenaga dan khidmat untuk memastikan keamanan dan kelangsungan hidup masyarakat yang harmoni.

Menyelami peranan dan bakti seorang pengawal keselamatan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam meraikan Hari Pekerja disambut setiap tahun tanggal 1 Mei menyiarkan telemovie khas bertajuk “Anak Jaga Miskin” pada 5 Mei ini, pukul 10.00 malam menerusi TV2.

Menampilkan pelakon Talha Harith, Haiqal Hazali, Idris Mad Diah, Z.Idris, Puteri Chi Chi, Beego dan Najwa Nasir, ia membawakan kisah watak utama Fattah yang ditertawakan rakan-rakan sekelasnya setelah dia membacakan karangan nukilannya bertajuk “Cita-cita Saya”. Dengan rasa bangga, dia ingin menjadi seorang pengawal keselamatan. Karangannya mengangkat watak Majid yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Majid menggadaikan nyawa semata-mata menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai pengawal keselamatan. Keberanian dan keikhlasan Majid menjalankan tugas menjadi sumber aspirasinya untuk berjaya dalam hidup. Majid adalah ayahnya sendiri.

Telemovie Khas ANAK JAGA MISKIN Sempena Hari Pekerja 5 Mei Ini Selami Pengorbanan Pengawal Keselamatan

Di dalam satu kejadian rompakan, Majid tertembak sehingga menyebabkan kakinya tempang. Namun dia dituduh sebagai antara perancang utama rompakan yang melibatkan duit RM1 juta. Majid ditahan reman sementara menunggu polis selesai melakukan siasatan. Dato’ Kamal mulanya percaya dan tidak menyangka bahawa Majid terlibat sama dalam komplot rompakan tersebut.

Semasa dalam tempoh tahanan, isteri Majid yang ketika itu sedang sakit akibat kanser telah meninggal dunia kerana terkejut. Fattah yang baru berusia 13 tahun ketika itu amat sedih dan terpaksa menguruskan jenazah ibunya tanpa Majid.Nasib menyebelahinya kerana siasatan polis mendapati dia tidak bersalah dan dia dibebaskan. Dato’ Kamal yang sedar dia telah salah anggap terhadap Majid yang telah menyelamatkan nyawanya ingin menghadiahkan sejumlah wang saguhati tetapi ditolak oleh Majid. Dia juga menawarkan Majid untuk bekerja semula dengannya tetapi Majid tidak mahu.

Walau tidak lagi bekerja dengan Dato’ Kamal, Majid tidak pernah serik meneruskan kerjaya yang dicintainya, dia tetap yakin, menjadi pengawal keselamatan adalah satu bentuk khidmat masyarakat yang sungguh mulia. Dia bertugas bukan sahaja untuk wang ringgit, malah untuk menyumbangkan tenaga dan khidmat untuk memastikan keamanan dan kelangsungan hidup masyarakat yang harmoni.

Sebagai bapa tunggal, setelah kematian isteri, Majid tetap mengutamakan peranannya sebagai ibu, ayah dan pendidik bagi Fattah. Dia akan menyediakan keperluan makan minum serta pendidikan dan agama. Dia sendiri menghafal sifir dan belajar bahasa Inggeris yang kelak akan dikongsi bersama Fattah ketika waktu senggang mereka. Begitu juga kelas fardu ain dan mengaji Quran. Semuanya dilakukan sendiri oleh Majid kerana dia tak mampu mengupah tuisyen atau guru mengaji. Hasilnya, Fattah membesar dengan stabil dalam segenap sudut, agama dan sosial.

Semua usahanya terbalas bila Fattah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan. Kesempurnaan Fattah dalam banyak lapangan; pelajaran, ko-korikulum dan agama amat disenangi para pelajar di kolej kediamannya. Ini telah membuahkan rasa iri hati di kalangan pelajar senior. Fattah juga merupakan seorang atlet serba boleh. Paling baru, dia akan bersaing dengan Hans untuk merebut piala utama universiti. Hans adalah penyandang juara dua tahun berturut-turut, kemenangan hatrik akan menjadikannya lagenda dan memiliki terus piala itu.

Hans kalah di tangan Fattah. Ini membuatkan Nora, kekasih Hans sakit hati dengan Fattah. Tambahan pula, Fattah merupakan pesaing rapatnya di dalam kelas. Setiap semester, Fattah menjadi pelajar terbaik, dan Nora jatuh nombor dua. Di kolej kediaman pula, Fattah mendapat sokongan padu dikalangan pelajar untuk bertanding merebut jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Penyandang MPP sebelum ini adalah Hans. Populariti Fattah begitu kuat khasnya dikalangan para siswi telah membuatkan Nora semakin iri hati dan berusaha merosakkan reputasinya.

Tambahan pula, Nora memang anti sesiapa sahaja yang berkaitan dengan pengawal keselamatan atau “jaga”. Ada titik hitam antara dia dan keluarganya yang kaya dengan “Jaga” mereka. Semenjak peristiwa hitam itu, Nora tidak pernah menghormati atau percaya dengan “Jaga” atau mereka yang berkaitan dengannya.

Demi untuk mencemarkan imej bersih Fattah, Nora sanggup memerangkap Fattah dengan bantuan rakan-rakannya. Nora menabur fitnah menggunakan Shila teman baiknya dengan menuduh Fattah mahu mengambil kesempatan terhadap rakannya itu.

Begitu pun berlaku satu kejadian yang membuatkan Nora sedar Fattah berada di pihak yang benar. Sebaliknya kekasihnya Hans pula lelaki jenis yang mengambil kesempatan dan mengadakan hubungan intim dengan Shila. Lalu apakah kesudahannya? Masih adakah ruang buat Nora memperbetulkan keadaan?

watak anak dan ayah

poster

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Filem THE TIME TRAVELER’S WIFE

Kalau Tilam Anda Berbicara Apa Agaknya Dia Kata?