in , ,

Naib Juara Dewi Remaja Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung 

Pra-tempahan boleh dibuat tidak lama lagi, pelancaran rasmi pada 15 Jun. Mendemokrasikan puisi yang bersifat inklusif, terbuka dan dekat dengan semua lapisan masyarakat.

Adriana Ghafar, personaliti Malaysia yang semakin dikenali ramai dan naib juara pencarian Dewi Remaja 2019 akan melancarkan koleksi puisi sulungnya yang ditunggu-tunggu, “Everything In Between”. Pra-pesanan karya tersebut akan dibuka tidak lama lagi dan pelancaran rasmi dijadualkan akan berlangsung pada 15 Jun.

Kemunculan Adriana dalam dunia sastera merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat lebih inklusif serta dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan.  

Naib Juara Dewi Remaja Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung

“Sebelum ini, puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual. Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baru muncul dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka. Diinspirasikan oleh pemuisi-pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskan ia daripada ruang bilik darjah dan golongan elit,” kata Adriana.       

Karya ini digarap bagi menginspirasikan pembacanya untuk memanfaatkan puisi sebagai platform untuk bersuara. Menerapkan elemen moden, ia mengandungi unsur-unsur interaktif seperti animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baru kepada bentuk karya malar segar ini sekali gus mewujudkan pengalaman membaca puisi yang menarik.

Naib Juara Dewi Remaja Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung

“Everything In Between”, sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan. Karya ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup. Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita. 

““Everything In Between” ialah projek yang dekat di hati saya dan ia cerminan intim kepada perjalanan hidup saya yang disampaikan menerusi puisi-puisi yang dihasilkan dalam tempoh 12 tahun. Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup. Di samping itu, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” kata Adriana. 

Naib Juara Dewi Remaja Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung

Nur Nafissa Adriana binti Abdul Ghafar, atau lebih dikenali sebagai Adriana Ghafar, ialah bakat dinamik dalam dunia hiburan Malaysia. Sejak mula mencuri perhatian ramai menerusi program pencarian Dewi Remaja, Adriana terus melangkah jauh dan memikul pelbagai peranan sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita. Wajahnya menjadi rebutan untuk menghiasi jenama-jenama terkemuka seperti Samsung, Wonda Coffee, Enfagrow, Prego dan Oxy. Adriana yang sedang membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar, menyerlahkan sisi terbaharu dirinya sebagai pemuisi dan penulis menerusi karya ini.

Mula menulis puisi sejak berada di bangku sekolah, Adriana mendapat inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds, dan Emily Dickinson, serta penulis-penulis terkemuka negara seperti A. Samad Said, Khadijah Hashim, dan Bernice Chauly. 

Istimewa sempena pelancaran ini, “Everything In Between” akan ditawarkan dengan tiga pilihan kulit buku edisi terhad, yang ditandatangani Adriana sendiri. Koleksi puisi sulungnya ini dijual pada harga RM48 dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi adthebuku.com tidak lama lagi. 

Naib Juara Dewi Remaja Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung

Tentang Adriana Ghafar

Adriana Ghafar ialah personaliti Malaysia yang semakin dikenali ramai. Beliau mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai naib juara pencarian Dewi Remaja 2019 sekali gus melonjakkan namanya dalam dunia hiburan sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita. Beliau kini membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar.

Nyala rasa di dalam dirinya terhadap isu-isu berkaitan hak dan pendayaupayaan wanita mendorong penglibatan aktif Adriana dalam inisiatif seperti dearHer dan WOMEN:girls. Terbaharu, “Everything In Between”, hasil karya Adriana ialah sebuah rampaian puisi yang bertujuan memberi inspirasi kepada golongan anak muda dan wanita. 

Naib Juara Dewi Remaja Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung

Tentang Everything in Between

“Everything In Between” merupakan penampilan sulung Adriana Ghafar dalam dunia penulisan. Karya ini mengetengahkan puisi-puisi bahasa Melayu dan Inggeris yang mengangkat tema cinta, keluarga, penolakan dan kecekalan. Bersulamkan mesej pemerkasaan yang jelas, karya ini memberi inspirasi kepada golongan dewasa dan wanita muda agar cekal mengharungi cabaran hidup, dan meniup semangat ke dalam jiwa pembaca untuk mengumpulkan kekuatan dalaman serta mengukuhkan rasa percaya diri. Sebagai pejuang hak wanita yang tegar, puisi Adriana juga mengangkat aspirasi kolektif bertemakan kesetaraan dan keadilan serta memartabatkan maruah dan kesaksamaan untuk semua. “Everything In Between” bukan sekadar rampaian puisi biasa-biasa – ia sebuah naskhah yang menyeru kepada keadilan sosial dan pendayaupayaan, serta meraikan semangat dan jiwa manusia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Safi Lancar Produk Safi Youth Gold Retinol, Lantik Siti Nordiana Jadi Duta

Wany Hasrita Tolak Lamaran Tajul Berduet Dalam Resipi Berkasih