in

Review Mandarin Oriental Jakarta

Malam Mewah dan Megah di Mandarin Oriental Jakarta
oleh Shah Shamshiri

Tersergam di tengah-tengah bandaraya Jakarta, Mandarin Oriental Jakarta berdiri megah menghiasi latar belakang bulatan H.I. Berdekatan dengan pusat membeli-belah Plaza Indonesia serta Grand Indonesia, hotel berjenama antarabangsa ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin bermalam dalam suasana mewah dan selesa.

Mandarin Oriental Jakarta telah membuka pintunya pada tahun 1978 dan merupakan pilihan terulung bagi tempat penganjuran mesyuarat-mesyuarat terpenting di ibunegara Indonesia ini. Sering menjadi tumpuan komuniti elit serta para profesional antarabangsa, hotel bertaraf lima bintang ini tersenarai sebagai salah satu hotel paling mewah di Jakarta.

Mandarin Oriental Jakarta

Hotel ini mempunyai 272 buah bilik yang luas termasuk 24 bilik suite yang hebat. Kesemua bilik-biliknya diberi sentuhan gaya klasik dan kontemporari bagi memenuhi keselesaan setiap tamu yang datang. Senireka dalaman serta hiasannya juga masih menerapkan unsur-unsur warisan Asia jenama tersebut selain penggabungan elemen tradisional Indonesia. Sejajar dengan tarafnya sebagai sebuah hotel lima bintang yang eksklusif, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan teknologi tercanggih yang merangkumi sambungan khas buat komputer serta iPod, TV LCD 42 inci, dan macam-macam lagi. Kelengkapan bilik mandi juga menggunakan barangan berkualiti tinggi serta barangan berjenama mewah yang lain.

Bagi tujuan menjamu selera pula, Mandarin Oriental Jakarta menawarkan ajnas pilihan untuk bersantap. Selain Kedai kek ‘Mandarin Oriental Cake Shop’ yang memang sudah menjadi salah satu identiti khas hotel ini, mereka turut mempersembahkan beberapa buah tempat makan yang lain. Ini termasuklah restoran Cinnamon: bagi tujuan sarapan, makan tengah hari dan makan malam, Lyon: sebuah restoran Perancis yang menghidangkan menu asli Perancis, serta Restoran Xin Hwa yang menyajikan makanan Cina terbaik. Tidak dilupakan juga adalah MO Bar bagi mereka yang ingin menikmati minuman sambil bersantai dengan alunan muzik, serta Azure yang terletak di beranda tingkat lima khas buat mereka yang ingin dikelilingi alam semula jadi selepas berenang atau bersenam di gimnasium.

Selain kolam renangnya dan juga pusat kesihatan serta senaman, hotel ini turut dilengkapi dengan ruangan mesyuarat buat pelbagai kegunaan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk penganjuran acara-acara besar seperti perkahwinan dan seumpamanya. Dengan pemandangan terhebat bandaraya Jakarta dari setiap jengukan jendela, hotel ini memang sesuai menjadi tempat penginapan buat mereka yang menghargai perkhidmatan berkualiti tinggi. Sekiranya berpeluang ke Jakarta, bermalamlah di Mandarin Oriental Jakarta kerana pengalamannya tidak akan anda lupakan!

Mandarin Oriental Jakarta

Mandarin Oriental Jakarta

Mandarin Oriental Jakarta

Mandarin Oriental Jakarta

Mandarin Oriental Jakarta

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Hiburan dan Info IT Temui Penonton Remaja

Gambar Caroline Protege Ella di Majlis Akad Nikah Ella