in ,

Pencipta Lagu Warisan Meninggal Dunia

Pencipta lagu Warisan nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Syed Haron Syed Ahmad, 65, meninggal dunia di rumahnya di Desa Subang Permai, di sini, 1.45 pagi tadi akibat serangan jantung.

Menurut seorang daripada saudara terdekatnya, Allahyarham sempat makan malam bersama keluarganya malam tadi sebelum tiba-tiba diserang sakit jantung tengah malam tadi.

Allahyarham Sudirman Haji Arshad

Jenazah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Desa Subang Permai, di sini, dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam USJ22 untuk dikebumikan pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, dua anak dan tiga cucu.

Semasa hayatnya, Syed Haron bertugas sebagai Pendaftar di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Kuala Lumpur.

Lagu Warisan turut dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 tahun lalu.

Allahyarham mencipta dan menulis lirik lagu berkenaan pada 1980 dan dimuatkan dalam album Sudirman berjudul Abadi pada 1982.

Selain aktif mencipta lagu dan lirik untuk penyanyi tanah air pada era 1970-an dan 1980-an, Syed Haron pernah menganggotai kumpulan Wheels sebagai pemain dram dan popular dengan lagu Dalam Kenangan.

Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

HyppTV Lancar HyppInspirasi HD & Karaoke On-Demand HyppStars

Starhill Gallery’s Christmas Charity Drive