in ,

Ulasan Filem KALA MALAM BULAN MENGAMBANG

Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) merupakan suatu koleksi karya terbaru yang diterbitkan oleh Tayangan Unggul yang sebelum ini cukup popular dengan karya-karya kreatif yang lain dari lain seperti Syaitan, Puaka Tebing Biru, Gangster, Anak Halal dan yang terbaru adalah karya sutradara Mamat Khalid iaitu Kala Malam Bulan Mengambang.

Antara Ulasan, Noir dan Mamat Khalid

Setelah filem keluaran tahun 1954 iaitu filem ‘Buluh Perindu’ yang ditayangkan dalam medium berwarna, KMBM merupakan karya yang pertama dalam era teknologi maklumat ini dihasilkan dalam gaya noir atau hitam putih.

KMBM merupakan filem arahan ketiga saudara Mamat Khalid bersama-sama Tayangan Unggul selepas Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang. Mamat memang terkenal dengan filem-filem yang unik dan sentiasa ‘out of the box’.

Walaupun filem karya Mamat dilihat sebagai filem hanya untuk hiburan semata-mata, tetapi, jika diteliti betul-betul, filem filem yang dihasilkan beliau memberikan mesej secara subliminal yang ditanamkan ke pemikiran audien.

Sinopsis & Penceritaan
KMBM mengisahkan mengenai Saleh seorang wartawan yang diberhentikan kerja oleh syarikat penerbitannya. Namun, untuk membuktikan bahawa dia masih berbisa, Saleh telah pergi ke sebuah kampung untuk menyelesaikan misteri kehilangan pemuda-pemuda di kampung terbabit. Dari sini, bermulalah satu pengembaraan, konflik, seram, percintaan, komedi di sepanjang latar cerita ini.

Karya Bermutu Bersejarah 
Sebenarnya, ucapan sekalung tahniah harus Sensasi Selebriti berikan kepada Mamat Khalid serta Tayangan Unggul. Ketika dunia hiburan Malaysia dibuai dengan kaya-karya melankolia serta teknik dan penghasilan karya secara carca marba, tenaga produksi KMBM menghasilkan satu karya yang cukup bermutu tinggi, bahkan tidak keterlaluan dikatakan, karya ini memang boleh dibanggakan dan berjaya mencipta sejarahnya tersendiri.

Apa mesejnya?
Dari segi mesej, Mamat khalid pandai menyusupkan mesej yang ingin disampaikan. Dia membentuk nyawa mesej dengan begitu mudah, tidak perlu menekan penonton yang karya beliau merupakan karya bermesej yang kononnya memerlukan penonton ketawa akibat lawak bodoh, maka, barulah mesej itu dapat disampaikan kepada penonton. Mamat cukup berjaya menyelinapkan mesej ke pemikiran dan minda penonton. Tidak perlu iklan ‘Tak Nak’ merokok, dan tidak perlu mesej sayangkan negara dipaparkan, kerana semuanya sudah cukup diberikan Mamat dalam karya ini. Satu karya yang bergeliga!

Mamat dan Tayangan Unggul cukup berani atau memang cukup gila (memang dia ‘mad’ man pun!) untuk membelanjakan sebanyak RM 1.5 juta untuk merubah pandangan serta ‘mind set’ penonton-penonton filem Melayu. Jika selama ini, penonton sinema malaysia senantiasa inginkan atau kegersangan filem-filem yang unik ras dan bentuknya, maka Tayangan Unggul dengan beraninya memberikan satu cabaran kepada penonton filem untuk menerima karya KMBM ini.

Inilah karya yang cukup unik dari segi jalan cerita, tata cahaya, set dan memberikan satu roh yang cukup kepada filem Melayu. Bukan mudah untuk menyiapkan satu karya noir, dari sudut penggunaan make-up yang tebal dari biasa, lighting yang cukup terang juga perlu dititik beratkan. Budiey suka dengan gerakan dan mainan kamera dalam filem ini. Superb!

Apa itu Noir ala Mamat Khalid?
Kala Malam Bulan Mengambang dihasilkan berpandukan gaya noir yang cukup popular di Eropah dari sekitar tahun 1940an hinggalah ke penghujung tahun 50an. Mamat Khalid menghasilkan filem ini hanya berdasarkan teori tanpa boleh merujuk kepada contoh filem noir melayu, kerana tidak terdapat filem noir seumpama itu sebelum ini.

Filem-filem noir seperti karya Mamat Khalid pada kebiasaannya menggunakan plot jenayah atau pembunuhan sebagai tema filem tersebut. Selain dari itu, karakter filem yang dihasilkan dalam bentuk noir melibatkan hero itu sendiri di mana, biasanya hero mempunyai bisikan hati serta jalan cerita bergerak di sekitar hero tersebut. Dalam filem-filem noir, set yang wujud dalam karya tersebut biasanya berkisar di bar, kelam malam, pusat perjudian serta lorong-lorong gelap di belakang bangunan.

Namun, antara elemen utama bagi sesebuah karya bergenre noir ini ialah penggunaan kekunci rendah untuk pencahayaan yang akan menghasilkan kontras dan bayangan yang memberikan kesan dramati. Bayang-bayang yang dihasilkan akibat pencahayaan itu memberikan satu ikon yang cukup mengasyikkan apabila ditonton. Bermula pada era 40an, turutan scene dari malam ke malam menjadi satu ikon kepada karya noir.

Filem komedi noir yang dihasilkan oleh Mamat Khalid memang cukup menghiburkan. Bagi kebanyakkan orang (bukan penonton), karya Mamat Khalid seperti Zombie Kampung Pisang, tidak ada makna, maksud dan mesej, tetapi maaf, sebenarnya minda mereka terlalu rapat tertutup sehingga mereka tidak dapat menyerap apa yang ingin Mamat sampaikan.

Pemikiran & Kreativiti
Mamat Khalid cukup beridea dan kreatif. Saudara Mamat mempunyai pemikiran yang cukup kritikal dalam menghasilkan karya. Beliau merupakan seorang bekas kakitangan kerajaan cukup berani menceburkan diri dalam dunia perfileman yang penuh dengan sepak terajangnya. Belaiu juga merupakan seorang peminat muzik bergenre rock sehinggakan beliau melahirkan minatnya itu di dalam karya beliau pada tahun 2005 iaitu ‘Rock’

Selain dari itu, tidaklah keterlaluan dikatakan bahawa mungkin sifat dan pemikiran beliau telah dibentuk oleh latar belakang keluarnya dan seperti abang beliau iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, kreativiti memang mengalir di dalam darah keluarga ini.

Bagi penonton-penonton sinema Malaysia, Kala Malam Bulan Mengambang memang patut ditonton terutamanya seisi keluarga. Jika sebelum ini, mereka yang berumur awal empat puluhan selalu menonton wayang gambar hitam putih ketika filem melayu belum diwarnakan lagi, maka, inilah masanya untuk membawa golongan muda merasai apa yang dirasai oleh mereka.

Inilah satu filem yang boleh dibanggakan, sekalung tahniah dan ‘standing ovation’ untuk Mamat Khalid, Tayangan Unggul, tenaga produksi serta penonton yang akan menonton Kala Malam Bulan Mengambang pada 10hb Januari 2008. Inilah filem yang kita tunggu selama ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Que Haidar Buka Bisnes Ikan Masin

Christina Aguilera: Guess Who’s Having A Baby Today!