in

RTM Siar 3 Dokumentari Sempena Maal Hijrah 1432

RTM SIAR TIGA DOKUMENTARI KHAS SEMPENA MAAL HIJRAH 7 DISEMBER INI

Hari Maal Hijrah tertulis kemas di dalam lipatan sejarah Islam di mana bermulanya penghijrahan kaum Muslimin dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Perpindahan bersejarah ini berlaku pada 1 Muharram dan merupakan hari pertama di dalam Takwim Hijrah.

Di sinilah bermulanya konsep pengorbanan atau perpindahan sewaktu situasi kaum Muslimin Mekah meninggalkan halaman kediaman mereka semata-mata mencari keredhaan Allah dengan memulakan kehidupan baru di kawasan yang asing bagi mereka. Berkat mengharungi dugaan dan cabaran, kaum Muslimin Mekah dan Madinah akhirnya bersatu membentuk satu pakatan Islam yang hebat berdekad lamanya.

dokumentari HALAL

Keindahan Islam yang dibawa lantas telah membangunkan kehidupan Muslimin dari pelbagai sudut ekonomi juga kendiri lantas dapat dipraktikkan sehingga zaman teknologi serba canggih kini.

Menyedari keunikan serta konsep yang diamalkan di dalam Islam, Radio Television Malaysia (RTM) telah menyediakan tiga dokumentari khas untuk dipaparkan secara berturut-turut kepada umat Islam pada 7 Disember 2010 (Selasa) ini bersamaan 1 Muharram 1432 Hijrah di TV1, Saluran Informasi.

Paparan kelebihan sistem pajak gadai Islam yang telah mula diperkenalkan di bank-bank dan institusi-institusi kewangan di Malaysia melalui Dokumentari Khas Maal Hijrah: Ar-Rahnu pada jam 11.30 pagi akan menemui penonton di rumah. Rancangan yang diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) menerangkan mengenai Ar-Rahnu iaitu sebuah mekanisme di mana satu barang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan pinjaman secara bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya pinjaman tersebut tidak dapat dijelaskan. Konsep pajak gadai secara Islam ini juga terbahagi dalam tiga konsep syariah yang lain iaitu Ar-Rahnu, Al Wadiah Yad Dhamanah dan Al Qard.

Selang setengah jam yang berikutnya, penonton TV1 akan dibawa melihat sebuah dokumentari khas yang mengetengahkan Kasih Seorang Rasul bersiaran pada jam 12.05 tengah hari. Rancangan ini akan mengupas keperibadian Nabi Muhammad S.A.W yang baik dan perlu menjadi ikutan umat Islam. Sebagaimana yang kita semua tahu, Nabi Muhammad S.A.W telah dijanjikan syurga namun masih merendahkan martabatnya dengan sentiasa memohon doa pengampunan kepada Allah. Nantikan penjelasan yang lebih menarik mengenai junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dalam dokumentari khas Kasih Seorang Rasul.

Namun, tidak lengkap sekiranya sambutan Maal Hijrah tahun ini tidak diakhiri dengan rancangan yang dapat memberi panduan kehidupan khusus kepada penonton TV1. Oleh itu, RTM akan menyajikan satu program khas Maal Hijrah sebagai pelengkap diari 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharram 1432 Hijrah jam 6.30 petang dengan dokumentari khas iaitu Halal dengan kerjasama oleh pihak JAKIM. Bersesuaian dengan situasi apabila masyarakat Islam seringkali gusar mencari produk yang halal dan bersesuaian dengan garis panduan seorang Muslimin, dokumentari khas Halal akan menerangkan produk-produk serta barangan-barangan halal 1Malaysia di mana ia adalah produk halal yang dapat digunapakai oleh semua golongan masyarakat termasuk bukan Islam.

Pastikan anda tidak terlepas daripada menonton 3 dokumentari khas sempena Maal Hijrah kali ini iaitu Ar-Rahnu jam 11.30 pagi diikuti oleh Kasih Seorang Rasul jam 12.05 tengah hari dan Halal jam 6.30 petang yang penuh dengan informasi-informasi berguna yang bukan sahaja dapat ditonton oleh masyarakat Muslimin malah untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang agama yang berlainan.

Rancangan-rancangan khas ini akan menemui penonton pada 1 Muharram 1432 Hijrah bersamaan 7 Disember 2010 khas di saluran TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SEEKERS Musim ke-7 ntv7

Tasha Aziz, Hasnul Rahmat dalam Telemovie Tempatkan Dia Di Syurga