in

Malam RATIB KALBU Garapan U-Wei Saari Hargai Sutung Umar

Seramai 20 pemuisi dari pelbagai latar kerjaya mendeklamasi puisi Ratib Kalbu dalam majlis Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Tanah Licin Sdn Bhd dan Galeri Seni Morne, pada 20 Januari lalu, di Dewan Wisma ITBM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Penganjuran acara ini merupakan penghargaan kepada karyawan Sutung Umar RS yang telah banyak menyumbang bakti dalam pembangunan serta perkembangan bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air.

Malam RATIB KALBU Garapan U-Wei Saari Hargai Sutung Umar

Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu merupakan acara diinspirasikan melalui buku karya Sutung Umar RS, Ratib Kalbu terbitan ITBM dan dikoreografkan oleh U-Wei Bin HajiSaari, pengarah filem dan teater.

Buku tersebut disifatkan sebagai karya puisi terpanjang di Malaysia yang diterbitkan setebal 499 halaman; tanpa pecahan bab atau tajuk puisi lain. Malah karya ini adalah satu-satunya buku puisi yang melampirkan bibliografi sebagai rujukan pembaca.

Sutung melalui buku ini mengetengahkan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan yang dinaratifkan berdasarkan ayat Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Daripada kedua-dua sumber tersebut, Sutung mengolah kata menjadi bahasa pertuturan mudah difahami bagi memberi kesan mendalam kepada pembaca untuk tidak lupa kepada Allah S.W.T.

Pendek kata, Ratib Kalbu adalah puisi yang penuh nilai ilmu Quran, tasawuf, sufi, zikir, akidah, makna ibadah, fitrah manusia kepada Tuhannya, taubat hamba dan banyak lagi.

Walaupun Ratib Kalbu antara hasil karyanya yang terbaik, Sutung Umar RS yang banyak menulis pelbagai genre; novel, cerpen, puisi dan esei tidak meletakkan dirinya sebagai penyair sufi atau islamik.

Mantan Ketua Editor Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas Pengarang Sastera Berita Harian ini masih aktif berkarya walaupun sudah menjangkau usia 67 tahun. Selain Ratib Kalbu, karyanya yang lain terbitan ITBM ialah Dia dan Nya, Anggerik dari Bukit Tujuh, Di Negeri Kalbu dan Makyung: Warisan Mistik Malaysia. Hasil tulisannya mampu membuat kita merasa dalam jiwa.

Acara santai yang dibuka kepada umum pada malam itu dimeriahkan dengan pengisian deklamasi bait-bait puisi daripada buku Ratib Kalbu oleh individu pelbagai latar kehidupan yang disampaikan dengan cara tersendiri antaranya U-Wei Bin HajiSaari (pengarah filem & teater), Sofea Jane (pelakon), Melissa Saila (pengarah TV & pelakon), Sabri Yunus (pengarah TV, pelakon), Mohd Khair (CEO) & Seri Amalina (penuntut jurusan Undang-undang), Morne Hashim (pemilik galeri seni), Rebecca Ilham (jurutera), Sani Sudin (pemuzik, penyanyi & pelakon), Rahimidin Zahari (penyair), Rosnan Rahman (penari makyung), Jayshree (pelukis), Jo Ghazali (jurugambar), Sireh (kartunis), Dalila Daud (peguam) & Nora Zali (Usahawan IT), Hang Jebat Abd Rahman (pegawai penjara), Hamidah Hassan (pengurus kanan), dan Ahmad Muthmain Ahmad Saufi (penuntut jurusan Insurans).

Pelukis Riaz Ahmad pula melakarkan lukisan sepanjang semua penyair ini mendeklamasikan puisi Ratib Kalbu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Dokumentari SKUNK WHISPERER

Media Prima Lancar Kempen Tahun Baru Cina 2015