in

#JuaraRock Bakal ‘Runtuhkan’ Pentas 3 Juara

Konsert pengenalan rock 3 Juara telah berlangsung malam tadi secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Enam orang peserta ‘rockers’ telah dipilih oleh produser rock, Edrie Hashim untuk terus bertanding di dalam rancangan realiti 3 Juara. Manakala, dua peserta, Kelvin dan Rahra telah tersingkir, menamatkan perjuangan mereka dalam rancangan realiti ini.

Menurut Produser Genre Rock, Edrie Hashim, “Sebenarnya saya telah memilih top 8 saya dengan sebaiknya. Mereka adalah yang terbaik daripada beribu peserta yang telah hadir di uji bakat bulan lepas. Namun, malam ini (semalam) adalah malam penentuan untuk melihat sama ada mereka semua sudah bersedia atau tidak untuk meneruskan perjuangan mereka dalam pertandingan 3 Juara ini. Oleh itu, dengan gandingan saya bersama Amy Search, saya telah memilih peserta top 6 saya, dan saya percaya, mereka akan pecahkan pentas 3 Juara.”

Ammar, Mira, dan Issey mengacarakan program 3 Juara

#JuaraRock Bakal ‘Runtuhkan’ Pentas 3 Juara

Konsert Pengenalan Rock malam tadi dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Amy Search dan Edrie Hashim dengan lagu ‘Gita Rama Sita’, sebuah karya ciptaan sepenuhnya oleh Edrie Hashim dan dinyanyikan oleh Amy Search. Tamatnya persembahan itu, tiga pengacara Ammar, Mira Filzah, dan Issey Fazlisham mengambil alih pentas untuk mempersembahkan kelapan-lapan persembahan peserta genre Rock mengikut giliran berikut:

NAMA PESERTA NAMA LAGU PENYANYI ASAL
KUDIEN SERUAN LEFTHANDED
RAHRA PELESIT KOTA SEARCH
ARILL BABAK PERTAMA DRAMA BAND
KELVIN HIGHWAY STAR DEEP PURPLE
AYIEN BERAKSI KOTAK
ARULL NAKAL GIGI
EVA MARIA ALONE HEART
INDRA LARUT DEWA 19

Setelah kesemua peserta membuat persembahan, para penonton di studio telah dihiburkan dengan persembahan istimewa Pekin Ibrahim dan Khir Rahman dalam sebuah persembahan memperkenalkan filem baharu ‘Rock Bro’ dengan menyampaikan lagu temanya, ‘Tiba’ oleh Khir Rahman. Konsert tersebut diteruskan dengan sesi pemilihan top 6 peserta genre Rock, serta penyingkiran Kelvin dan Rahra. Konsert malam itu akhirnya ditutup dengan persembahan lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ oleh Amy Search bersama kesemua peserta genre Rock 3 Juara.

Program 3 Juara ini merupakan sebuah program realiti nyanyian yang mempertaruhkan tiga kategori (genre) muzik iaitu Rock, Balada, dan Irama Malaysia. Setiap kategori diwakili oleh seorang produser ternama tanah air, Pak Ngah (Irama Malaysia), Edrie Hasim (Rock), dan Ajai (Balada). Tujuan utama rancangan ini diperkenalkan adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis kategori-kategori yang dipertandingkan serta mengangkat martabat kategori-kategori kegemaran rakyat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Pertandingan program realiti ini berformat sistem liga, di mana setiap peserta akan berentap bersama pasangan dalam kategori yang sama di satu pentas setiap minggu demi memungut mata daripada undian penonton, juri tetap dan produser daripada kategori masing-masing. Contohnya, kesemua peserta dari kategori Rock akan berentap pada malam konsert battle bermula 13 November 2016 ini nanti secara berpasangan. Penonton, juri dan produser diberikan kuasa untuk memberi 1 markah bagi setiap persembahan battle, dan para peserta berkemungkinan akan mendapat dua atau tiga mata (2-1 atau 3-0) untuk pusingan minggu itu.

Pengumpulan mata ini akan berterusan sehingga minggu penyingkiran sebelum konsert separuh akhir 3 Juara. Format yang sama turut diaplikasikan kepada kategori Irama Malaysia dan Balada pada minggu yang sama. Ini bermakna, kesemua peserta ketiga-tiga kategori akan berentap dalam satu konsert setiap minggu demi mengumpul mata dan merebut wang tunai berjumlah RM300,000 secara keseluruhan.

Program realiti yang ditaja bersama oleh Ribena ini, diterajui oleh penerbit eksekutif Muhamad Sufian Che Isa. Turut diperkenalkan ialah tiga ikon berpengalaman bagi setiap kategori sebagai juri tetap iaitu Noraniza Idris (Irama Malaysia), Awie (Rock), dan Dato’ Rossa (Balada).

Para penonton dijemput untuk memeriahkan fenomena 3 Juara di alam maya dengan mengundi peserta kegemaran secara atas talian (online) di laman web www.tv3.com.my/3juara ketika peserta kegemaran mereka membuat persembahan secara langsung. Undian para penonton akan diambil kira dalam pengumpulan mata mingguan demi menyelamatkan mereka daripada penyingkiran di minggu penyingkiran kelak. Para penonton juga dialu-alukan untuk merancakkan perbualan di laman Twitter melalui hashtag #3juara. Para penyokong genre kegemaran juga dialukan untuk menggunakan hashtag genre tersebut iaitu #juararock untuk genre Rock, #juarabalada untuk genre Balada, dan #juarairamamalaysia untuk genre Irama Malaysia.

Kepada peminat muzik balada, jangan lupa untuk menyaksikan konsert pengenalan Balada 3 Juara pada Ahad ini, 23 Oktober secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Ikuti juga setiap latihan dan persediaan para peserta 3 Juara di belakang tabir dalam Nota 3 Juara setiap hari Ahad, pada jam 6.00 petang.

Untuk maklumat lanjut layari laman web www.tv3.com.my/3juara dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 (@TV3Malaysia).

Arill merupakan peserta pertama disenarai pendek sebagai top 6

Arull berjaya memenangi hati penonton

Ayien membuktikan bahawa beliau mempunyai jiwa rock

Edrie dan Amy Search sebagai juri Konsert Pengenalan Genre Rock

Eva Maria membawakan lagu Rock Klasik

Indra membawa versi Rock yang unik

Kelvin dan Rahra tersingkir di minggu pertama

Kelvin gagal mara sebagai top 6 genre Rock

Khir Rahman membawa lagu tema Filem Rock Bro

Kudien memberi persembahan pembukaan yang mantap

Persembahan penutup oleh Amy Search dan Top 6 Peserta Genre Rock 3 Juara

Peserta top 6 Genre Balada 3 Juara

Rahra telah mencuba yang terbaik untuk mendapat perhatian juri

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rockaway Fest: The Saga Continues 2016

Tiga Sebab Anda Wajib Datang ke ILM ARTS FESTIVAL