in

Filem Hindi Terbaik di TV3 Sepanjang Mei & Jun

HIMPUNAN FILEM-FILEM TERBAIK HINDI SEPANJANG MEI DAN JUN!

Bersempena dengan Hari Ibu, Hari Bapa dan Ulangtahun Ke 27 TV3, kami bawakan filem-filem terbaik Hindi sepanjang bulan Mei dan Jun ini khas untuk penonton setia TV3. Menampilkan gabungan 8 buah filem terkenal dari tahun 1992 (Nishchaiy) hinggalah terkini (Billu Barber & Milenge Milenge), pastinya Panggung Sabtu Mei dan Jun ini sarat dengan drama dan kisah suka-duka berkisarkan pergolakkan persahabatan, konflik keluarga dan dilema percintaan!

Selain Billu Barber, Shah Rukh Khan, nama yang tidak asing lagi dengan peminat Bollywood di Malaysia turut akan bersama penonton dengan dua buah filem lagi iaitu Dilwale Dulhania Le Jayenge dan Dil To Pagal Hai yang pernah menjadi fenomena sekitar penghujung 90an dahulu. Turut menyerikan lagi slot Panggung Sabtu, gadingan Aamir Khan dan Kajol dalam Fanaa, Saif Ali Khan dan Rani Mukherjee dalam Hum Tum, Anil Kapoor dan Preity Zinta dalam Armaan.

Teruskan bersama TV3 dengan sajian filem-filem terbaik Hindi di slot Panggung Sabtu, setiap Sabtu, jam 2 petang!

PANGGUNG SABTU (setiap hari Sabtu, jam 2petang)
Dilwale Dulhania Le Jayenge – 7 Mei (Istimewa Hari Ibu)

Sinopsis: Mengisahkan tentang Raj seorang yang periang, kaya raya dan merupakan generasi kedua NRI manakala Simran, anak perempuan Chaudhary Baldev Singh yang sangat mementingkan tradisi masyarakat India. Raj dan Simran ditemukan ketika sama-sama mengikuti trip ke Eropah, dari gurau senda dan gelak tawa, mereka berakhir dengan bercinta. Namun, apa yang Raj tidak tahu, pasangan Simran telah ditetapkan sejak Simran kecil lagi. Simran meninggalkan India untuk majlis perkahwinannya dengan Kuljeet, Raj tidak mahu mengalah dan mengambil keputusan untuk mengekori Simran secara rahsia. Apa yang berlaku seterusnya?

Pelakon: Shah Rukh Khan, Kajol, Amrish Puri, Farida Jalal, Anupam Kher, Satish Shah.

dilwale-dulhania-le-jayenge

Nishchaiy – 14 Mei
Sinopsis: NISHCHAIY mengisahkan tentang dua beradik iaitu Ravi dan Rohan Yadav yang terpisah. Majikan Ravi iaitu Manohar Singh mengesyaki Ravi mempunyai hubungan sulit dengan isterinya, Renuka. Ravi telah dimasukkan ke dalam penjara atas tuduhan jenayah yang tidak pernah dilakukan olehnya. Teman baik Renuka, Yashoda, mengambil Rohan sebagai anak angkat. Selepas beberapa tahun, Ravi dilepaskan dari penjara manakala Rohan, seorang peguam terkenal yang kini dikenali dengan nama Vasu Gujral. Ravi mendapat tahu bahawa Renuka masih hidup namun telah hilang ingatan. Untuk membiayai rawatan Renuka, Ravi terdesak mencari wang dan terpaksa menerima tawaran untuk membunuh Vasu Gujral tanpa menyedari orang yang menjadi sasarannya itu adalah adik kandungnya sendiri. Apakah yang bakal berlaku seterusnya?

Pelakon: Vinod Khanna, Salman Khan, Karisma Kapoor, Sonu Walia, Reema Lagoo.

Fanaa – 21 Mei
Sinopsis: Zooni Ali Beg dilahirkan dalam keadaan buta namun dia bukan seorang yang lemah semangat. Dia keluar dari rumah dan mengembara bersendirian ke kotaraya New Delhi tanpa kedua ibubapanya, Zulfikar dan Nafisa. Di sana, Zooni telah bertemu dengan Rehan Khan, seorang pemandu pelancong tempatan. Zooni merasakan New Delhi sungguh berbeza hanya kerana kehadiran Rehan! Namun, Rehan mempunyai rahsia yang disimpan daripada Zooni yang mampu merubah segalanya, apakah rahsia tersebut?
Pelakon: Aamir Khan, Kajol, Tabu, Shiney Ahuja, Jaspal Bhatti, Ali Haji.

2ekpys2

Hum Tum – 28 Mei
Sinopsis: Karan Kapoor dan Rhea Prakash bertemu buat pertama kali ketika mereka berdua dalam perjalanan ke New York dari New Delhi. Rhea tidak selesa akan sikap Karan manakala Karan merasakan Rhea terlalu serius hinggakan tidak dapat menerima gurauan. Selepas perselisihan itu, mereka berdua berjanji tidak akan bertemu lagi selepas ini. Tanpa disangka, mereka ditemukan kembali di majlis perkahwinan Rhea tiga tahun kemudian. Karan, seorang kartunis yang berjaya, pergi ke Paris untuk melawat ayahnya. Di sana mereka berdua dipertemukan lagi buat kali ketiga, kali ini Rhea keseorangan. Apakah yang bakal Karan lakukan?

Pelakon: Saif Ali Khan, Rani Mukherjee, Kiron Kher, Rati Agnihotri, Rishi Kapoor, Jimmy Shergill, Abhishek Bachchan.

Dil To Pagal Hai – 4 Jun
Sinopsis: Rahul merupakan penari dan pengarah muzik yang berjaya. Salah seorang penari dan teman rapatnya, Nisha memendam perasaan terhadap Rahul. Ketika sedang berlatih, kaki Nisha telah tercedera dan Rahul perlu mencari pengganti. Rahul mengambil Pooja. Mereka berdua banyak menghabiskan masa bersama. Tanpa disangka, Rahul dan Pooja menyimpan perasaan antara satu sama lain. Namun, Rahul tidak mengetahui bahawa Pooja sudahpun bertunang. Apakah berlaku seterusnya?

Pelakon: Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit, Karisma Kapoor, Akshay Kumar, Murad Ali, Hemlata Deepak, Aruna Irani.

Milenge Milenge – 11 Jun
Sinopsis: Priya Malhotra, seorang yatim piatu yang mengidamkan sebuah keluarga dan pasangan hidup yang sempurna. Sunita Rao, meramalkan Priya akan bertemu dengan pasangannya selepas tujuh hari mengembara di negara asing. Priya mengambil keputusan untuk menyertai Festival Belia di Bangkok. Di situlah Priya bertemu dengan Amit, seorang yang sangat bertentangan dengan lelaki yang diimpikannya. Priya pulang ke India, namun, Amit tetap berdegil menyatakan takdir mahukan mereka berdua bersama. Priya mencabar Amit jika takdir mahukan mereka bersama, Amit mestilah menulis nama dan nombor telefonnya di sehelai not 50 Rupee dan jika suatu hari, not ini kembali ke tangan Priya, barulah Priya berkahwin dengan Amit. Apakah yang berlaku kemudian?

Pelakon: Kareena Kapoor, Shahid Kapoor, Aarti Chhabria, Delnaaz Paul, Satish Shah.

Armaan – 18 Jun (Istimewa Hari Bapa)
Sinopsis: Filem ini menceritakan tentang Dr. Siddharth Sinha dan anaknya, Dr. Akash Sinha. Kedua-dua mereka bekerja di hospital sama yang ditubuhkan oleh Siddharth. Siddharth mendedikasikan masanya bersama pesakit di hospital. Tak lama selepas Dr. Neha Mathur muncul dalam hidup Akash, Siddharth meninggal dunia. Akash tetap mahu mengotakan impian bapanya. Kehadiran Sonia Kapoor mengubah segalanya antara Akash dan Neha. Sonia, seorang yang kaya raya dan sombong mahukan Akash dan beranggapan cinta boleh dibeli dengan wang. Gulshan Kapoor, bapa Sonia, akan membantu Akash membangunkan hospital Siddharth jika Akash berkahwin dengan Sonia. Akash berada dalam dilema, apakah pilihannya? Masa depan hospital bapanya atau cinta untuk Neha?

Pelakon: Amitabh Bachchan, Anil Kapoor, Preity Zinta, Gracy Singh, Aamir Bashir, Randhir Kapoor.

Billu Barber – 25 Jun
Sinopsis: BILLU BARBER menceritakan tentang seorang tukar cukur miskin bernama Billu yang mempunyai isteri iaitu Bindiya dan dua orang anak, Gunja dan Ronak. Kerana hidup serba kekurangan, Billu tidak mampu membayar yuran persekolahan kedua-dua orang anaknya. Namun, segalanya seakan berubah apabila bintang Bollywood iaitu Sahir Khan membuat penampilan di dalam sebuah filem yang dirakam di kampung Billu sekeluarga tinggal. Billu mengaku mengenali Sahir secara peribadi dan selepas itu, perniagaannya meningkat maju kerana populariti Billu di seluruh Kampung. Sehingga suatu hari, Sahukaar Daamchand, ahli perniagaan terkenal datang bertemu Billu dan menyatakan hasratnya untuk berjumpa sendiri dengan Sahir. Dapatkah Billu menghubungi Sahir? Apakah selama ini Billu hanya menipu?

Pelakon: Irrfan Khan, Shah Rukh Khan, Lara Dutta, Om Puri, Rajpal Yadav, Asrani, Kareena Kapoor, Deepika Padukone.

Dil To Pagal Hai9

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tune Talk Launches BlackBerry Service

Ujibakat Masterchef Malaysia Terima Sambutan Positif