in

Apparat Lancar Trailer Filem Bunohan

Filem BUNOHAN Dain Said menerokai tradisi kisah-kisah Melayu dan kaitan antara manusia dan keganasan

Apparat melancarkan treler BUNOHAN dan pratonton tidak rasmi.

Air yang dicincang tidak akan putus. Sejauh manakah pepatah in benar? Pengarah filem, Dain Said menerokainya dengan menggunakan pendekatannya yang realis dalam pembikinan filem drama-aksi, BUNOHAN. Treler filem BUNOHAN telah dilancarkan oleh Apparat, dan dijangka keluar pada hujung tahun ini.

TRAILER BUNOHAN:

Dikisahkan di sebuah bandar di sempadan perkampungan Kelantan yang dinamakan BUNOHAN seperti tajuk filem ini, BUNOHAN mengikuti kisah hidup tiga beradik lelaki yang telah renggang perhubungannya – Adil seorang peninju tomoi, Ilham seorang pembunuh upahan, dan Bakar seorang ahli perniagaan bercita-cita tinggi – dimana takdir mereka dibelit tragis dalam lingkaran penipuan dan rasuah. Filem ini menjanjikan para penonton sebuah hasil hiburan berseni yang membangkitkan isu-isu yang lebih mendalam.

“Filem ini menangani subjek-subjek yang bermakna dan dekat di hati. Di sebalik plot yang jelas, terdapat sebuah ulasan mengenai kematian tradisi kita dan pencemaran alam sekitar yang terjadi akibat pemburuan wang dan kuasa,” Dain berkata di upacara pelancaran rasmi dan pratonton tidak rasmi treler.

Dikenali sebelum ini sebagai “Bunga Lalang”, gelaran filem ini telah diubah bagi mencerminkan dengan lebih tepat tema asal dan harapan yang ditangkap dalam filem ini, sambil memberi penghormatan ke atas nama bandar di mana pengfileman mengambil tempat.

Filem in menampilkan barisan pelakon veteran dan pelakon baru termasuk Zahiril Adzim sebagai Adil, Faizal Hussein sebagai Ilham, dan Pekin Ibrahim sebagai Bakar. Turut ditonjolkan dalam peranan-peranan sokongan adalah pemenang Pelakon Terbaik FFM2010 dan Anugerah Skrin 2010, Bront Palarae; Namron; Wan Hanafi Su; Hushairy Hussin; AMerul Affendi; Soffi Jikan; Jimmy Lor, dan model terkemuka Malaysia, Tengku Azura dalam penampilan filemnya yang pertama. Terdapat juga sebuah babak kameo oleh pengarah terkemuka, Ho Yuhang.

Berlatarbelakangkan paya bakau dan pesisiran pantai timur yang indah, hasil seni filem BUNOHAN meninggalkan kesan yang mempunyai penangan sehebat babak-babak Tomoi di dalam filem tersebut.

“Saya memang suka negeri Kelantan dan daerah pantai timur sejak kecil lagi, kerana saya menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanak saya di sana. Saya benar-benar ingin merakam keindahannya yang semakin lenyap dan saya bersyukur di atas peluang ini untuk kongsi bersama penonton, hasil seni saya ini,” kata Dain.

BUNOHAN dihasilkan oleh Nandita Solomon bersama Tim Kwok, distribusi oleh Astro Shaw, dan diwakili di seluruh dunia oleh Easternlight, yang merupakan Arclight Films di bahagian Asia.

PROFIL APPARAT
Apparat merupakan sebuah syarikat penerbit filem bebas yang ditubuhkan pada tahun 2009 oleh para pembikin filem Malaysia, Dain Iskandar Said dan Nandita Solomon. Berkolaborasi bersama para pembikin filem lain dan para penulis di sekitar rantau Asia dan selebihnya, Apparat mempunyai tujuan yang sama dalam memaparkan filem dan dokumentari – untuk menceritakan kisah yang menghiburkan dan melibatkan penonton.

Dain Iskandar Said
Dain dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Tumpat, Kampung Baru, Kaherah, dan London. Beliau mempelajari pembikinan filem di Westminster University dan seterusnya mengorak langkah sebagai pengarah filem pendek untuk program TV, iklan-iklan TV, dan dokumentari. Dain telah menghasilkan pemasangan media yang telah menjalani tayangan perdana di Biennale, Sydney, pesta kesenian kontemporari terbesar di Australia, dan ianya kini menjadi pameran tetap di Dubai Burj al-Arab. Beliau juga telah melancarkan sebuah filem cetera yang tidak diluluskan, bernama Dukun. Selepas menghabiskan program selama setahun bersama Asia Nippon Foundation Public Intellectual Fellowship, Dain menubuhkan syarikat produksi, Apparat. BUNOHAN adalah filem rencananya yang pertama. Dengan gaya yang berbeza serta berpersonaliti yang lain dari yang lain, Dain terus menuju kehadapan dengan pendekatan filemnya yang independen dan luarbiasa. Di waktu terdekat ini, beliau sedang menjalankan projectnya yang berikut, iaitu sebuah filem tentang samseng yang mentah dan cekal. Beliau menetap di Kuala Lumpur dan hidup bersama dua ekor kucing dan dua ekor angsa.

Nandita Solomon
Berasal dari Kuala Lumpur, Nandita memulakan kerjayanya sebagai seorang pembikin filem secara tidak sengaja. Sebelum ini, beliau telah mengusahakan pelbagai aspek penerbitan termasuk pembangunan skrip dan penyuntingan, penerbitan, kewangan penerbitan, pengesahan dan akaun, pasca penerbitan, serta pemasarn dan publisiti. Sebelum memulakan Apparat bersama Dain Said, Nandita telah menjayakan beberapa terbitan lain termasuk penampilan pertama Chris Chong Chan Fui yang cukup terkenal untuk KARAOKE (Malaysia 2009), Crazy, Krezy, Krazy Rako Prijanto (Indonesia 2008) dan Dukun Astro Shaw (Malaysia 2007).Pada 2010, Nandita dijemput menyertai dua buah bengkel pengeluaran yang diatur oleh EAVE (European Audio Visual Entrepreuners Network) di Luxembourg, serta membuat perbentangan di DOCEDGE Documentary Network Asia 2010 forum di Calcutta. Nandita juga seorang ahli delegasi rasmi Malaysia bagi HOTDOCS International Documentary Forum di Toronto. Buat masa terdekat ini, beliau sedang menerbitkan filem BUNOHAN dan membangunkan dua dokumentari berjudul CINEMA OF TERROR dan NASHEED, kedua-duanya disokong oleh Jan Vrijman Fund di Belanda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peringkat Akhir Program Realiti Adik Adikku

Sinopsis Filem Bunohan