in ,

#TerimaKasih Berakhir Dengan 6,000 Orang Warga Sungai Petani

Kempen #TerimaKasih Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad telah melabuhkan tirai dengan acara padang terakhirnya di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria, Sungai Petani pada hari Sabtu, 17 Jun 2017 yang lalu. Acara padang kempen #TerimaKasih telah berlanjutan semenjak tibanya bulan Ramadan bermula dengan Jom Masjid, Masjid Baru Daerah Temerloh, Pahang pada 28 Mei yang lalu. Acara padang kempen ini diikuti pula dengan Bazar Terima Kasih (BTK) Mesra Mall, Kemaman pada 3 Jun dan BTK Johor Bahru pada 10 Jun.

Selain bertujuan untuk mendekatkan para penonton dengan barisan duta #TerimaKasih TV3 dan TV9, acara ini juga telah memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyertai tadarus Al-Quran, berkongsi maklumat dan mendalami ilmu agama dengan mengambil bahagian dalam sesi rakaman program Al-Kulliyyah bersama Ustaz Wadi Anuar selaku pendakwah jemputan.

Suasana Masjid Al-Muttaqin Sungai Petani ini telah diserikan dengan kehadiran pengacara Da’i Luqman dan Da’i Hidayu serta duta-duta Terima Kasih iaitu Elfira Loy, Aizat Amdan, Uyaina dan Fakhrul Radhi Khamaruddin. Turut hadir memeriahkan Jom Masjid ini adalah barisan selebriti dan personaliti TV3 dan TV9 seperti Da’i Azrin, Ashraf Muslim, Ustaz Safwan, Talha Harith, Nazeera Sardi, Putra Amaris, Chef Naem dan Anis Al-Idrus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, “Warga Kedah memang luar biasa dalam memeriahkan apa-apa acara padang anjuran kami, oleh itu kami berterima kasih kepada 6,000 orang pengunjung yang telah membanjiri Masjid Al-Muttaqin seawal 10 pagi hingga 11 malam.

Semangat mereka dalam mengimarahkan masjid amat menakjubkan terutama ketika mereka mengambil bahagian dalam sesi gotong royong membersihkan pekarangan masjid, memasak bubur lambuk, dan penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh. Selain itu, kehadiran warga Kedah semakin meningkat ketika menjelang waktu untuk mengerjakan ibadah terawih sehinggakan saf melimpahi dewan solat Masjid Al-Muttaqin. Ini membuktikan bahawa objektif kami untuk memberikan mereka peluang untuk mendapatkan pengisian kerohanian dan beribadat telah berjaya.”

“Di samping itu, bersempena dengan penghujung kempen #TerimaKasih ini, bagi pihak Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, saya turut ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri Kedah dan seluruh warganegara yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan kempen #TerimaKasih kami. Semoga kita semua mendapat keberkatan Ramadan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.” Ujarnya lagi

Dibawakan khas oleh Lifebuoy dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) selaku penaja, program Jom Masjid akan bermula seawal pukul 10.00 pagi dengan aktiviti-aktiviti dari pihak Masjid Al-Muttaqin. Program diteruskan dengan gotong royong serta memasak bubur lambuk dan penyediaan makanan moreh sekitar pukul 2 petang.

Sekitar pukul 3 petang, sesi rakaman program Al-Kulliyyah telah berlangsung di dewan solat Masjid Al-Muttaqin. Al-Kulliyyah telah membincangkan topik ‘Ibrah Hudaibiyyah’ (Bahagian 2) bersama Ustaz Wadi Anuar. Selesai dengan rakaman Al-Kulliyyah itu, acara utama Jom Masjid yang diacarakan oleh Da’i Luqman dan Da’i Hidayu bermula pada sekitar pukul 4 petang di Pentas Utama Jom Masjid di pekarangan Masjid Al-Muttaqin.

Setelah mendirikan solat Asar, para duta, barisan selebriti jemputan dan kru Jom Masjid mula mengagihkan bubur lambuk di pekarangan Masjid Al-Muttaqin. Setelah itu, aktiviti diteruskan dengan sesi ramah mesra bersama barisan pendakwah dan selebriti.

Sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa, wakil Media Prima Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Haji Abd Rahman Hj Ismail, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Hajah Nafisah Abdullah, dan Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Tuan Haji Abdul Rashid Bin Abdul Razak telah menyampaikan sumbangan duit raya daripada TV3 & TV9 kepada 30 anak-anak yatim jemputan sekitar daerah Sungai Petani. Selain itu, pihak TV3 dan TV9 turut mewakafkan 100 buah buku Yasin dan penyerahan momento yang berupa sebuah jam dinding “Jom Masjid”.

Para pengunjung juga bertuah kerana bukan sahaja berpeluang untuk mendengar ceramah khas daripada Ustaz Fakhrul Radhi Khamaruddin, yang juga merupakan Duta Skuad Terima Kasih sebelum masuknya waktu solat Isya’, malah beliau juga telah mengimamkan solat fardhu Maghrib, Isya’ dan juga tarawih. Selepas selasainya solat tarawih, majlis diteruskan dengan kuliah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Jafri Abu Bakar. Acara Jom Masjid ini telah berakhir dengan sesi moreh bersama-sama jemaah masjid.

Inginkan akses mudah kepada video eksklusif daripada program popular Raudhah seperti Al-Kulliyyah, Tanyalah Ustaz dan Halaqah? Jangan lupa untuk memuat turun aplikasi Raudhah yang membolehkan pengguna untuk mengetahui waktu solat atau waktu berbuka yang tepat berdasarkan lokasi, notifikasi azan, dan senarai masjid dan restoran halal berdekatan mereka.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tv3.com.my, www.tv9.com.my dan juga www.tonton.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube @TV3Malaysia dan @TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai kempen Terima Kasih. Hangatkan perbualan di laman sosial dengan menggunakan hashtag #TerimaKasih.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Pemenang Peraduan SMS Menang Pengubahsuaian Dapur

Pengalaman Budiey Menginap di The Straits Hotel & Suites