in ,

Yang Menarik Tentang Travelog KEMBARA DAMAI

Destinasi Pelancongan, Gaya Hidup dan Rutin Masyarakat Muslim Negara Asean Dalam Travelog “Kembara Damai” Di TV1

Setiap daripada kita pastinya menyimpan hasrat untuk mengunjungi lokasi menarik bukan sahaja dalam negara, begitu juga negara-negara yang lain. Pada masa sama, bagi yang muslim pastinya akan mula berkira-kira dan memastikan lokasi dikunjungi mudah untuk mendapatkan makanan halal. Malah satu bonus kiranya menerusi percutian tersebut kita dibekalkan juga dengan maklumat mengenai masjid berdekatan untuk menunaikan solat juga tempat-tempat sejarah dan restoren yang menyediakan makanan halal di bandar dikunjungi.

mencuba menu enak di Brunei

Menampilkan hos Maulana Mohamed, perkongsian mengenainya direalisasikan menerusi travelog 13 episod bertajuk “Kembara Damai” mulai 30 September ini, setiap Ahad, pukul 10.30 malam di TV1. Travelog ini membawa penonton mengenali komuniti Islam di negara-negara Asia Tenggara. Selain makanan dan destinasi pelancongan, gaya hidup dan rutin masyarakat muslim juga dipaparkan.

Menerusi episod pertama, Maulana membawa penonton ke Bangkok, ibu negara bagi Thailand. Di sini, komuniti Islam adalah kedua terbesar selepas penganut agama Buddha. Di sini Maulana sempat mengunjungi beberapa masjid tertua antaranya Masjid Haroon yang didirikan oleh seorang pendakwah keturunan Arab bernama Haroon Bafadel, Masjid Tonson yang sangat cantik dengan seni ukirannya yang sangat halus.

Antara lokasi menarik di Bangkok yang dikunjungi antaranya Kompleks Grand Palace, MBK Mall atau Ma Boon Khrong Center, sebuah pasaraya yang paling ramai dikunjungi di Bangkok, Jatujak Market iaitu sebuah pasar terbesar di Thailand dan juga di Asia Tenggara. Berikutnya Maulana singgah pula di Khaosan Road, pusat transit pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin ke daerah-daerah di luar Bangkok. Bukan itu sahaja dia turut berkesempatan mengujungi Sor Vorapin Gym, pusat latihan Muay Thai, sejenis seni pertahanan diri dan sukan yang cukup popular di Thailand.

Seterusnya dengan menaiki keretapi dari Stesen Hua Lamphong, Maulana singgah di Ayutthaya yang terletak di wilayah tengah Thailand. Di Ayutthaya Maulana menyewa motosikal untuk ke Ayutthaya Historical Park. Di sini terdapat pelbagai tempat menarik terutamanya kuil-kuil yang berusia ratusan tahun dan antaranya masih kukuh hingga sekarang. Seterusnya Maulana ke Ayutthaya Elephant Palace menaiki gajah yang disediakan di situ. Setelah itu beliau menunaikan solat Asar di Masjid Jamiul Islam dan ke tempat yang menyediakan makanan halal kira-kira 15 minit perjalan dari Masjid Jamiul Islam.

episod di Jogja

Menerusi episod berikutnya Maulana terbang pula ke Manila, Filipina, bandar tertua di ASEAN yang kekal sebagai pusat pentadbiran hingga ke hari ini. Destinasi pertama Maulana adalah ke Fort Santiago yang terletak di tengah-tengah Kota Manila. Seterusnya beliau ke Adriatico Street dimana terletaknya restoran makanan halal yang dikenali sebagai Dulang Halal Restaurant. Maulana turut berkunjung ke Rizal Park, taman awam dalam bandar terbesar di Asia dengan berkeluasan 40 hektar. Berikutnya beliau ke Divisoria Night Market, pasar malam terbesar di Manila yang menjual pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan. Masih di Manila, dia ke Quiapo iaitu penempatan Islam di Manila atau ‘Kota Muslim Manila’, ke restoren ‘Wakilal Halal Food’. Seterusnya Maulana ke ‘Manila Golden Mosque’, masjid terbesar di Manila.

Tambah menarik destinasi pengembaraan Maulana ke Brunei Darussalam, kerajaan tertua di Asia Tenggara dan negara kelima terkaya di dunia. Di sana, Maulana mengunjungi Istana Nurul Iman, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien yang merupakan masjid tercantik dan tertua di Asia Pasifik, singgah di Restoran Terindak Seni menikmati menu istimewa iaitu Ambuyat juga ke Pasar Malam Gadong yang menjual berbagai makanan dan minuman unik. Singgah di Kampong Ayer (perkampungan air yang terbesar di Asia Tenggara), Maulana juga ke inap desa ‘Kunyit 7 Lodge’, dan ke restoran yang menyediakan Nasi Katok yang begitu popular di Brunei.

Bagi anda yang suka bercuti, Yogyakarta, Indonesia bukanlah asing lagi. Jogja terkenal kerana mempunyai banyak candi yang berusia ribuan tahun. Selain itu Jogja terkenal dengan panorama alam yang cukup indah. Seni bina di sini banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu tetapi Jogja merupakan Kota Islam dan hampir 92% penduduknya beragama Islam. Jogja memang terkenal dengan Nasi Gudeg. Maulana ke Masjid Gede Mataram, Kotagede (masjid pertama di Jogja), Makam Raja Mataram, Taman Sari (Tapak Warisan Dunia), membeli-belah di Jalan Malioboro, mencuba berbagai jenis kopi di di ‘Sellie Coffee’.

Masih di di Jogja, Maulana ke Magelang melawat Candi Borobudur, Rumah Doa di Bukit Rhema, Candi Prambanan (kompleks candi Hindu terbesar di Indonesia). Melengkapkan perjalanan singgah di Masjid Nurumi yang berwarna-warni, ke Alun-alun Kidul, menaiki Odong-odong di situ. Ada juga episod ke Jurang Tembelan Kanigoro, solat di Masjid Keraton, ke Pantai Timang, dan mengakhiri lawatan ke Jogja dengan bermain ‘sandboard’ di Gumuk Pasir.

episod di  Jurang Tembelan Kanigoro, Jogja

Maulana juga ke Solo, Indonesia atau dikenali secara rasminya sebagai Kota Surakarta mengunjungi Keraton Surakarta Hadiningrat (istana rasmi pemerintahan Kasunanan Surakarta), Warung Sate Kambing Mbok Galak yang merupakan warung kegemaran Presiden Joko Widodo untuk menikmati sate buntel. Kemudiannya beliau ke Masjid Agung Surakarta, Masjid Ar-Riyadh sebelum meneruskan perjalanan ke Pasar Kliwon, Pasar Klewer dan ke Pasar Triwindu.

Seterusnya Maulana terbang pula ke Siem Reap, Kemboja yang terkenal dengan Angkor Wat. Maulana meninjau ‘Art Center Market’, melawat perkampungan Melayu Champa di Stung Thmei, mengunjungi Masjid An Neakmah, dan Madrasah Qamaruddin Al-Islamiah. Berhampiran masjid ini juga terdapat ‘Muslim Family Restaurant’ yang menyediakan makanan halal dan mencuba makanan yang terkenal di sini iaitu Lembu Naik Bukit. Berikutnya Maulana ke Angkor Wat, ke Tasik Tonle Sap iaitu tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara, ke pasar terapung yang terletak di perkampungan air Chong Khneas. Maulana kemudiannya ke Masjid Ar-Rafee’ah (hasil dana dari pelbagai negara termasuk Malaysia), Lotus Farm, “Nokia 1 Restaurant” dan “Road 16” iaitu sebuah pasar malam dengan ratusan peniaga yang menjual pelbagai barangan dan hasil-hasil pertanian terus dari ladang.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

eisod di Brunei Darussalam

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Best Masa Menonton Dokumentari RAILROAD AUSTRALIA

TAHNIAH! Da’i Adam, Peserta Muallaf Pertama Jadi Juara Musim ke-6