in

Cerita Kehidupan Chow Kit Difilemkan

Pelacuran, kongsi gelap, dan dadah adalah diantara aktiviti yang akan terlintas diminda tatkala perkataan Chow Kit disebut. Belenggu penderitaan dan kesengsaraan yang dilalui oleh penghuninya langsung tidak mendapat perhatian kerana dikaburi dengan pandangan serong masyarakat yang telah disogok dengan kisah akan betapa gelapnya lorong hitam itu.

Menyingkap dua kisah berbeza yang berlatarbelakangkan realiti kehidupan di bandar kecil tersebut, Chow Kit, sesuai dengan tajuknya akan membawa anda menyelami sendiri perit jerih kehidupan penduduknya dari setiap golongan bangsa dan usia. Diilhamkan oleh penulis skrip Shahazril Hamzah (Kenit) dan Eenaz Mokhtar dari kisah-kisah yang pernah mereka dengari mengenai Chow Kit, filem ini merupakan filem pertama negara ini yang berani menyuluh akan kehidupan di lorong gelap tersebut.

chow kit

Barisan pelakon cilik yang berbakat besar seperti Muhamad Izzam Izzudin, Muhammad Izzam Syafiq, Muzhaffar Shah Hazhar, dan Nur Nadzirah Rosi telah dipilih untuk menjayakan separuh pertama filem ini yang bertumpu pada perbezaan hidup anak-anak yang dibesarkan di kota Chow Kit berbanding mereka di kawasan bandar yang lain.

Kepercayaan untuk menggalas watak bagi filem seberat ini disahut dengan berani oleh adik-adik ini kerana percaya bahawa ia akan bertindak sebagai tapak permulaan bagi mereka untuk berkembang dengan lebih jauh di dalam industri perfileman ini.

Barisan ‘ensemble’ bintang lain termasuk Dira Abu Zahar, Beto Kusyairi, Lana Nordin, Yasmin Hani dan Namron turut memperkukuhkan lagi filem Chow Kit yang dikatakan mampu bersaing dengan filem-filem bertaraf antarabangsa.

Dira Abu Zahar yang buat julung kalinya dipertanggungjawabkan dengan watak utama menerusi filem ini menyampaikan rasa besar hatinya dengan amanah yang diberi oleh pihak Grand Brilliance dan berharap peminatnya akan menerima lakonannya sekali gus menyambut filem Chow Kit dengan pemikiran yang terbuka. “Chow Kit banyak kisahnya dan watak yang saya pegang, walaupun berat, ia adalah cebisan realiti kehidupan di sana, jadi saya harap peminat akan terima filem ini sebagai pengajaran supaya lebih bersyukur dengan hidup yang mereka ada”, ulas Dira Abu Zahar bila menyentuh isu filem Chow Kit.

“Penonton mahukan realiti, dan itulah yang kami cuba berikan menerusi filem ini”, ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar unit Filem dan Drama, Grand Brilliance apabila ditanya akan sebab utama Chow Kit digarap bagi tayangan di layar perak.

Filem Chow Kit yang diarahkan oleh dua pengarah berbakat, Dhojee dan Brando Lee, bakal ditayangkan pada 3 Mei tahun ini di hampir 60 buah pawagam serata negara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Reduces Baggage Fees

Pentas Akhir Adik-Adikku Musim Ke-3