in , ,

Senarai Filem Lejen Yang Menarik Sempena Hari Raya Puasa 2024 di TV9

Layan Filem – Filem Lejen Ini, Baru-Lah Raya! Raikan Kemeriahan Raya Bersama TV9!

Aidilfitri yang dinanti-nantikan oleh semua insan yang menjalani ibadah berpuasa pada tahun ini bakal tiba. Kemeriahan Syawal yang bakal disambut haruslah dimeriahkan lagi dengan program-program menarik untuk tontonan seisi keluarga. 

Bertemakan ‘RaRa Macam Dulu-Dulu’, TV9 menyajikan filem-filem lejen Senario, filem blokbuster Bollywood dan Hollywood serta telefilem-telefilem popular, antaranya, Om Shanti Om, Adnan Sempit Balik Raya, The Legend of Zorro, Pujaan Hati Kanda Raya, Senario Lagi, Lagi-Lagi Senario, Sebenarnya Saya Isteri Dia Raya, Senario The Movie, Spain Uolls, Senario XX dan Love You Mr. Arrogant Raya. Istimewa Syawal ini juga, TV9 akan membawa program hiburan Show Dalam Bilik Aidilfitri.

Senarai Filem Lejen Yang Menarik Sempena Hari Raya Puasa 2024 di TV9

Om Shanti Om (Selasa, 9 April, 8.40 malam)

Raya seisi keluarga lebih rancak dengan kemunculan Shah Rukh Khan, Raja Bollywood yang sentiasa menghangatkan malam raya dengan filem terbaik beliau. Om Shanti Om lakonan Shah Rukh Khan, Deepika Padukone, Farah Khan, Arjun Rampal dan Salman Khan menceritakan tentang Om telah menyelamatkan Shanti yang terperangkap di dalam api ketika penggambaran. Setelah kejadian itu, Shanti yang ingin berterima kasih secara langsung kepada Om secara tidak sengaja mendengar bahawa Om ternyata mencintainya. Pada masa yang sama, Shanti sedang bercinta dengan pengarah, Mukesh Mehra dan dia sedang hamil. Apakah yang akan terjadi kepada mereka? Jangan lepaskan peluang menghangatkan malam raya anda dengan filem popular Bollywood ini!  

Adnan Sempit Balik Raya (Rabu,10 April, 2.00 petang)

Tidak lengkap raya seisi keluarga tanpa gelak ketawa dengan tontonan filem bergenre komedi lakonan Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Azwan Kombos dan Nad Zainal. Menceritakan tentang watak utama, Adnan yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya di rumah pakciknya, Pak Chah. Dia terkejut bila berjumpa dengan kawan baiknya, Fatimah yang kini bertukar menjadi kurus dan cantik setelah lama tidak berjumpa. Meriahkan dengan gelak ketawa menonton gelagat Adnan pada hari raya pertama. 

The Legend of Zorro (Rabu, 10 April, 8.40 malam)

Sekitar tahun 1850an, Zorro masih memainkan peranannya menjaga ketenteraman di California. Namun, identiti sebenarnya adalah rahsia, termasuklah dari pengetahuan keluarganya sendiri. Zorro menikahi Elena dan dikurniakan cahaya mata, Jaoquin yang kini sudah berusia 10 tahun. Zorro tersepit antara janji terhadap isterinya dengan tanggungjawab terhadap penduduk California. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang penuh pengembaraan dan aksi yang dibintangi oleh Antonio Banderas, Catherine Zeta-Jones, Rufus Sewell dan Adrian Alonso pada hari raya pertama.

Pujaan Hati Kanda Raya (Khamis, 11 April, 2.00 petang)

Setelah mengambil alih Hotel Arjuna, Danny semakin sibuk membuatkan Tiara kesunyian. Tiara semakin rimas apabila nenek cuba mengawal segala gerak-gerinya kerana bimbang Tiara akan keguguran buat kali kedua. Tiara merajuk lalu melarikan diri pulang ke kampung. Manakala Kak Sue pula sibuk mengambil tempahan raya tetapi tidak mampu untuk menyiapkannya dalam tempoh yang dijanjikan. Sementara itu, Pali mengalami gangguan mental setelah ayah dan ibunya meninggal dunia. Telefilem genre romantik drama lakonan Remy Ishak, Mira Filzah, Dian P.Ramlee, Reen Rahim dan Syazwan Zulkifly ini merupakan sequel siri drama Pujaan Hati Kanda yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Aulia Iman. 

Senario Lagi (Khamis, 11 April, 8.40 malam)

Kembalikan nostalgia anda pada malam hari raya kedua dengan menonton filem lejen yang dilakonkan oleh Azlee, Wahid, Yassin Yahya, Saiful Apek, Mazlan, Nor Aliah Lee, Syanie dan Umie Aida yang  mengisahkan tentang Azlee yang baru membeli kereta terpakai telah membawa isterinya Zati bercuti ke Cherating. Sepanjang perjalanan ke sana, pelbagai peristiwa terjadi kerana tanpa disedari kereta tersebut sebenarnya merupakan kereta curi. Keadaan semakin kecoh apabila kereta tersebut dicuri pula oleh Wahid. 

Lagi-Lagi Senario (Jumaat, 12 April, 8.40 malam)

Wahid menjadi mangsa kegawatan ekonomi apabila restoran eksklusif tempat dia bekerja menguncupkan tenaga pekerja. Setelah gagal mendapatkan kerja setaraf kerjaya lalu, Wahid akhirnya menjadi pelayan di warung Azlee. Yassin dan Saiful, turut bekerja di warung Azlee. Masing-masing bekerja sebagai pelayan dan penebar roti canai. Warung Azlee popular kerana keistimewaan roti canai buatan Saiful. Suatu hari, seorang pemuda bernama Mazlan, membuka warung bersebelahan warung Azlee. Mulanya, Azlee tidak berasa tergugat kerana menganggap kehadiran warung baru itu bakal memberi persaingan sihat. Tetapi pendiriannya berubah apabila Saiful mengambil keputusan untuk bekerja di warung Mazlan. Saksikan filem arahan Aziz M. Osman dan dibintangi oleh Kumpulan Senario yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu ini pada hari raya ketiga.

Show Dalam Bilik Aidilfitri (Jumaat, 12 April, 10.30 malam)

Show Dalam Bilik Aidilfitri adalah sebuah program bual bicara hiburan yang membawa tema RaRa Macam Dulu-Dulu yang dihoskan oleh Amat Larbsib dan Imran Aqil bersama tetamu jemputan Marsha Milan, Khai Bahar dan Ayu Hot FM. Penonton pasti terhibur dengan kisah-kisah yang dikongsikan serta melihat telatah dan gelagat mereka yang mencuit hati. 

Sebenarnya Saya Isteri Dia Raya (Sabtu, 13 April, 2.00 petang)

Telefilem bergenre romantik komedi ini merupakan lanjutan drama Sebenarnya Saya Isteri Dia adaptasi dari novel 2011  tulisan Zura Asyfar. Lakonan Tiz Zaqyah, Izzue Islam, Azlee Khairi dan Elfaeza Al Haq berkisar tentang Firash dan Syafa berkahwin dan dikurniakan sepasang anak kembar. Syafa seronok melihat gelagat Firash yang tidak tahu menjaga bayi dan membulinya. Shidah, kawan dari kecil Firash muncul dari luar negara dan Shidah meluahkan perasaan suka kepada Firash. Apa akan terjadi kepada rumah tangga Firash dan Syafa?

Senario The Movie (Sabtu, 13 April, 8.40 malam)

Azlee, Wahid dan Mazlan adalah 3 sekawan dari kecil. Akibat satu kejadian melibatkan Azlee dan Wanita Perogol Bersiri di tengah hutan dalam hujan, Azlee hilang ingatan akibat renjatan elektrik. Mereka membesar bersama sehingga membuka rumah hantu terkenal di sebuah funfair dimiliki Apek Saiful. Azlee selalu buat masalah kepada Wahid (adiknya) dan Mazlan dari rumah hingga ke tempat kerja. Penyanyi dangdut terkenal, Emilia membuat konsert dangdut di funfair Apek membuatkan ramai orang datang ke situ termasuklah ke rumah hantu. Disebabkan satu kejadian dalam rumah hantu melibatkan Azlee dan satu keluarga, hadir orang kaya Shamsul Ghau Ghau membantu Azlee dan Wahid, tetapi dengan syarat Wahid mesti bekerja dengan Shamsul. Nantikan filem komedi lakonan Azlee, Wahid, Yassin Yahya, Saiful Apek, Mazlan, Shamsul Ghau Ghau, Syanie, A. R. Badul dan Hamid Gurkha pada hari raya keempat.

Senarai Filem Lejen Yang Menarik Sempena Hari Raya Puasa 2024 di TV9

Spain Uolls (Ahad, 14 April, 2.00 petang)

Telefilem bergenre komedi arahan Erma Fatima dan Eyra Rahman mengisarkan tentang Mak Cun yang memenangi hadiah bernilai RM10,000.00! Dia bercadang melawat anaknya Halimahtun di Sepanyol. Malangnya, dia tersesat di sana. Apakah yang akan berlaku? Jangan lepaskan peluang menonton kekecohan Mak Cun dan meriahkan lagi petang raya anda bersama seisi keluarga.

Love You Mr. Arrogant Raya (Isnin, 15 April. 2.00 petang)

Kebahagiaan rumah tangga Zara dan Irham bersama anak sulung mereka, Nazriel Iman yang baru berusia setahun kembali teruji. Kemesraan pasangan Zara dan Irham makin terserlah bila Irham asyik merajuk dan mereka sering berbalah berkenaan bermacam perkara. Ibu Irham turut mengikut mereka beraya di kampung Zara memandangkan ayah Irham outstation ke Dubai menjelang hari raya. Faizal yang dimasukkan ke Rumah Sakit Jiwa Tanjung Rambutan juga berjaya melarikan diri untuk berjumpa Zara. Saksikan telefilem lakonan Azlee Khairi, Zara Zya, Norish Karman, Mustapha Kamal dan Fadhilah Mansor.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Program Menarik di TV3 Sempena Hari Raya Puasa Tahun 2024

HONOR Magic6 Pro di Pascabayar CelcomDigi, Maxis, U Mobile & Yes