in ,

Aina Abdul Bakal Muncul Dalam Simply K-Pop CON-TOUR Siaran Arirang TV dari Korea Selatan

Tahniah buat Aina Abdul yang telah mendapat peluang bagi memajukan lagi karier dan mengembangkan lagi bakatnya di Korea Selatan.

Penyanyi Aina Abdul, 27, bakal muncul dalam sebuah temubual antarabangsa untuk program Simply K-Pop CON-TOUR siaran Arirang TV dari Korea Selatan pada Isnin depan.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani mengakui sangat teruja dengan tawaran itu yang bakal berlangsung secara maya.

“Semestinya saya sangat gembira kerana ini adalah temu bual antarabangsa sulung yang pernah saya dapat. Meskipun slot saya cuma beberapa minit, namun ia sangat mengujakan.

“Secara keseluruhannya, saya akan ditanya mengenai dunia K-Pop, siapa yang saya minat, dan kongsi penerimaan K-Pop di Malaysia. Saya juga akan berkongsi mengenai lagu Sepi saya yang turut dinyanyikan dalam bahasa Korea.

“Saya akan turut diminta untuk menyanyi sedikit lagu itu serta lagu K-Pop kegemaran saya. Saya tidak akan buat persembahan penuh pun tapi tidak mengapalah yang penting dapat lakukan temu bual itu,” katanya.

Penyanyi Sumpah itu mendedahkan peluang terbabit datang padanya selepas bintang YouTube dari Korea Selatan, HOONDOTV membuat video nyanyian semula lagunya, Sepi.

Aina berkata, liputan mengenai video mereka itu banyak membantu namanya sehingga menjadi perhatian di sana selain kelab peminatnya Ainations tidak henti mempromosikan namanya.

“Saya harus berterima kasih kepada HOONDOTV kerana Simply K-Pop CON-TOUR nampak video mereka nyanyikan lagu saya itu. Video itu memberi liputan yang sangat besar untuk saya dan semestinya sangat bersyukur.

“Terima kasih juga Ainations sebab merekalah semua ini jadi realiti. Mereka tidak henti-henti komen di YouTube HOONDOTV sejak dulu untuk menyanyikan semula lagu saya,” katanya.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kenali YHB Sleepsalot, Penyanyi Rap Muda Yang Bakal Menyinar

TV3 Tunda Siaran CUKUP DERITA ITU & KEKASIH HATI MR BODYGUARD, Tak Ganggu ‘Rating’