in

Tayangan BUNOHAN di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam

Tayangan Perdana BUNOHAN Eropah di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam

Filem aksi-drama Malaysia, BUNOHAN telah dijemput untuk mengadakan tayangan perdananya di benua Eropah bersempena dengan Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) dari 25 Januari hingga 5 Februari 2012. Rotterdam adalah salah satu pusat yang menerajui festival-festival filem terbesar di dunia yang berjaya menarik 340,000 pelawat pada tahun 2011.

BUNOHAN, ditulis dan diarahkan oleh Dain Said, yang dipaparkan di dalam seksyen Spektrum seiring dengan pengarah-pengarah hebat dunia termasuk Takashi Miike (Ace Attorney), David Cronenberg (A Dangerous Method), Aki Kaurusmaki (Le Havre), Garin Nugroho (The Blindfold) dan Andrea Arnold (Wuthering Heights).

Bunohan Poster

BUNOHAN menceritakan mengenai kisah tragis tiga saudara yang terpisah – seorang peninju tomoi, seorang ahli perniagaan dan seorang lagi pembunuh upahan yang kembali ke kampung halaman mereka di Kampung Bunohan, di mana mereka tersepit dalam pelbagai konflik. BUNOHAN dibintangi oleh Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim, serta dibantu oleh pelakon-pelakon seperti Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Tengku Azura.

BUNOHAN telah mengadakan tayangan perdana antarabangsanya di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September 2011, dan berjaya menggondol Anugerah NETPAC di Festival Filem Antarabangsa Golden Horse Taipei pada bulan Oktober 2011. Filem ini sekarang sedang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Palm Springs (5-16 Januari 2012).

Filem yang dinanti-nantikan ini akan memasuki panggung di Malaysia bermula 8 Mac 2012.

Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) ialah festival filem tahunan yang diadakan di beberapa pawagam di Rotterdam, Belanda. Ia diadakan pada akhir Januari / awal Februari. Festival ini dianggap setanding dengan festival-festival filem utama di Eropah seperti Cannes, Venice, Berlin, dan Locarno.

Pihak pengurusan Festival Filem Antarabangsa Rotterdam menekankan kepelbagaian dalam pengaturcaraan filem dan membina hubungan baik antara pembikin-pembikin filem dan penonton. Festival tersebut diadakan untuk menggalakkan pembikin-pembikin filem berada dekat dan beramah mesra dengan peminat-peminat filem. Hasilnya, festival ini diakui mempunyai “suasana yang unik” dan “pengikut-pengikut tegar yang setia” dari dalam dan luar negara.

Festival ini digambarkan sebagai mempunyai “komitmen yang serius kepada pencinta-pencinta filem dan pembikinan dimana penayangan-penyangan filem ini dipertontonkan tanpa ‘waktu rehat’, trailer mahupun iklan. Tujuan sedemikian memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengarah-pengarah terbaik untuk hadir ke festival tersebut, membolehkan mereka untuk menjalin reputasi untuk kepelbagaian, penemuan dan inovasi baru.”

Dalam seksyen utamanya berjudul Spektrum, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam menayangkan filem oleh pengarah dan seniman-seniman yang berpengalaman. Bagi Spektrum 2012, ia terdiri daripada 72 filem dan dokumentari dari 32 negara, termasuk lapan filem yang dibiayai oleh Bals Hubert Fund yang juga di bawah IFFR serta 16 tayangan perdana antarabangsa.

(Sumber: Wikipedia & Laman Sesawang IFFR)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pemenang Finalis Tiru Gaya Artis AJL 26

Dunia Tersembunyi