in

Senarai Program TV Sempena Maal Hijrah 1433H

MAAL HIJRAH DI TV3
Sajian 5 Drama Berunsur Keinsafan, Keharmonian Diri, Keluarga & Masyarakat

Tanggal 27 November 2011 (Ahad), bermulalah sebuah lembaran baru bagi seluruh umat Islam sempena ketibaan tahun 1433H. Bersempena dengan sambutan Awal Muharram di seluruh dunia, TV3 bakal menyiarkan pelbagai tontonan menarik khas untuk seisi keluarga.

Bermula seawal 25 November (Jumaat), ikuti siaran program-program khas sempena Awal Muharram yang akan menemani anda tatkala bersantai menikmati masa rehat bersama keluarga menerusi drama-drama hebat terbitan tempatan seperti Sebelum Lima Perkara, Setitis Hidayah, Si Puteh, Dakwah Muharram dan Taubat Nasuha.
Seperti yang dijangkakan, drama-drama hebat ini membariskan pelakon-pelakon yang tidak asing lagi di persada seni tanah air seperti Fauzi Nawawi, Zahiril Adzim, Sheila Rusly, Dato Jalaludin Hassan, Zul Yahya, Aqasha, Fouziah Gous, Liyana Jasmay dan ramai lagi.

Antara drama-drama yang bakal bersiaran sempena Awal Muharram untuk tontonan seisi keluarga:

Taubat Nasuha – 25 November (Jumaat), 10.00pagi
Syamizi dan Laila dikurniakan 3 cahayamata iaitu Aimin, Aiman dan Amirul. Laila kini sedang mengandungkan anak keempat dan kandungannya berusia 4 bulan. Syamizi merasakan ketiga-tiga anaknya begitu nakal. Ini disebabkan oleh Syamizi yang merupakan seorang ayah yang bersikap panas baran akibat daripada didikan dari arwah ayahnya yang merupakan seorang tentera. Akibat dari itu, cara dia menegur dan mendidik anak-anaknya sama seperti arwah ayahnya yang garang dan bengis serta berdisiplin. Laila sudah puas menasihatkan suaminya, namun tidak diendahkan oleh Syamizi, malah ada kalanya Laila juga menjadi mangsa keadaan. Kesabaran Laila cukup tinggi memandangkan sebagai seorang isteri, dia sedar syurga itu di telapak kaki suami. Namun, segala-galanya berubah apabila satu tragedi menimpa keluarga itu.
Pelakon: Fauzi Nawawi, Sheila Rusly, Dato Jalaluddin Hassan, Sheila Mambo, Naim Daniel

Dakwah Muharram – 25 November (Jumaat), 1.30petang
Sulaiman pulang dari Cairo dengan kelulusan Dakwah Usuluddin dari Universiti Al-Azhar. Dia merupakan satu-satunya anak harapan Hj Darus, seorang bapa yang begitu bangga apabila Sulaiman merupakan satu-satunya anak dari kampung mereka yang ditawarkan belajar di Universiti tersebut. Namun, langkah tidak sehaluan bagi Rizwan, adik Sulaiman yang telah mendapat keputusan baik dalam peperiksaan SPM. Rizwan lebih berminat untuk menceburi bidang seni dan ingin untuk melanjutkan pelajaran di UiTM atau ASWARA. Apabila dia menyuarakan hasratnya, Hj Darus membantah kerana baginya bidang seni tidak menjamin masa depan. Dan apabila Sulaiman pulang ke Malaysia, pergerakan Rizwan terbatas kerana Sulaiman sering mengambil berat tentang kegiatan adik-adiknya.
Pelakon: Aqasha, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Lydiawati, Ameer Sofazr, Fouziah Gous, Liyana Jasmay

Cerekarama: Sebelum Lima Perkara – 26 November (Sabtu), 10.00malam
Alyah punya segala-galanya; suami, anak-anak dan kemewahan. Lebih beruntung, Alyah diberikan keimanan dan ketakwaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Maha Pencipta. Anak-anak juga mempunyai akhlak yang baik serta tidak pernah lupa suruhan Allah, hasil didikan dan peringatan Alyah. Namun, suaminya Badri yang leka dengan kemewahan menyebabkannya menjadi sombong, angkuh, kedekut dan membenci orang miskin. Walaupun Alyah sering mengingatkan Badri tentang tanggungjawabnya sebagai seorang Islam, namun tidak diendahkannya. Kesombongan Badri memuncak apabila dia menghalau Alyah dan anak-anak apabila Alyah mengajaknya mengubah cara hidup yang baru sempena Maal Hijrah. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Pelakon: Fauzi Nawawi, Sherlie Merlis, Izzue Islam, Ana Dahlia, Ustaz Dini, Diana Johor

Si Puteh – 27 November (Ahad), 10.00pagi
Dua orang adik beradik, Fatah dan Fadil merupakan anak kepada pasangan suami isteri Suhaimi dan Siti. Fatah mempunyai seekor kucing Parsi dan sering bermain dengan kucingnya itu, manakala Fadil pula berminat dengan sukan berbasikal dan sering mengikuti kawan-kawannya ke acara konvoi. Satu hari, basikal Fadil nyaris dicuri Tajul tetapi dengan pertolongan kawan-kawannya, Fadil berjaya merampas kembali basikalnya. Namun, Tajul berjaya melarikan helmet kesayangannya. Kemudian, Tajul turut melarikan kucing kesayangan Fatah ketika dia sedang leka bermain dengan kucing itu. Ketika sedang melarikan diri, Tajul bertembung dengan Omar yang sedang menunggunya dan mereka lari bersama. Kucing itu diserahkan kepada Omar untuk disembunyikan di sebuah sebuah rumah terbiar berhampiran dengan kawasan perumahan tersebut. Apakah yang akan dilakukan oleh Fadil dan Fatah terhadap Tajul dan Omar?
Pelakon: Fazli Daniel, Addy Ashraf, Hanis Kamal, Zul Yahya, Aida Aris, Eyka Farhana, Khairil Anwar

Setitis Hidayah – 28 November (Isnin), 10.00malam
Pak Hamid mempunyai kemahiran membina dan membaiki rumah-rumah kampung. Walaupun Pak Hamid sangat mahir, rumahnya sendiri tidaklah sempurna, dan dia tinggal bersama isteri, Mak Ton, dan anak bongsunya, Samad. Pak Hamid masih ada sifat rasa tak berpuas hati dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang lebih bernasib baik darinya. Pak Hamid telah dipengaruhi oleh Othman yang kononnya mahu menolongnya mengusahakan perniagaan berasakan industri kampung di tanah milik Pak Hamid. Pada masa yang sama, ketua kampung juga meminta Pak Hamid membina sebuah rumah batu baru. Namun Pak Hamid mula rasa malas. Setelah dipujuk, akhirnya Pak Hamid mengalah seterusnya rumah tersebut dibina secara sambil lewa. Beberapa hari kemudian, Pak Hamid terkejut bila jentolak masuk dan bersiap sedia nak merobohkan rumahnya. Pak Hamid menjadi cemas bila mengetahui rumahnya akan diroboh untuk dijadikan kilang. Apakah yang terjadi kepada Pak Hamid dan keluarganya?
Pelakon: Hafizuddin Fazil, Kartina Aziz, Zahiril Adzim, Wan Sharmila

Pastikan anda tidak terlepas untuk mengikuti pelbagai drama hebat sempena menyambut ketibaan tahun baru Islam 1433H bermula 25 November 2011 (Jumaat). Salam Awal Muharram 1433H daripada TV3.

Zahiril Adzim

LIYANA JASMAY

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Sekitar Karnival Upin Ipin TV9

Teater Mata Ringgit