in , ,

Sekitar Majlis Meraikan Peminat Aizat AF5 di Saloma Bistro

Petang Ahad, lazimnya masa yang sesuai untuk bersantai melepaskan lelah di rumah. Jarang Budiey keluar rumah pada waktu ini. Biasanya setelah menonton Melodi di TV3, saya berehat sambil membaca komen-komen di Sensasi Selebriti.

Oh ya, baru perasan di saluran Prima sekarang ada rancangan Macam-Macam Aznil musim baru. Agaknya astro mahu lawan rating dengan TV3 yang menyiarkan Melodi dalam waktu yang sama. Mmm… apa-apa je lah. Petang 13 Mei, saya menghadiri satu majlis meraikan penyokong dan peminat Aizat AF5 di Restoran Saloma Bistro. Dengan warna tema serba hitam (kerana hitam itu menawan), majlis yang katanya dirancang dalam masa yang singkat ini sebenarnya berlangsung dengan begitu meriah sekali.

Saya pun tidak sangka sambutan begitu menggalakkan dengan hadirin yang ramai memenuhi ruang dewan. Sambutan dan layanan mesra lagi hangat dari AJK juga memang cukup menceriakan. Hadirin yang datang awal juga diberikan goodie bag yang mengandungi T-shirt warna hitam dan beberapa keping poskad Aizat yang direka khas oleh Isma Yusoof.

Saya hairan juga, tidak ramai media yang datang. Hanya editor Majalah Aksi AF, Iqmal dan wartawan serta jurugambar dari Utusan Malaysia. Selebihnya, kerusi di meja media dibiarkan kosong. Mungkin para media yang dijemput punya urusan lain yang perlu ditunaikan. Namun, keserian majlis pada petang itu digamatkan lagi dengan kehadiran penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza yang datang bersama suami tercinta serta 3 orang anaknya.

Pada hari yang sama, Aizat juga memeriahkan Kempen Belia Benci Dadah di Stadium Bt Jalil. Sempat nyanyi satu lagu di situ dan terus bergegas ke Saloma Bistro.

Setelah duduk seketika, saya dan hadirin dijemput untuk menjamu selera dengan juadah hidangan yang cukup lazat. Khabarnya, ayah Aizat, Dato’ Amdan sendiri ada membawa beberapa resepi juadah eksklusif dari negeri Pahang untuk tetamu yang hadir.

Majlis ini dikendalikan oleh Amir (abang Aizat) dan kawan Aizat bernama Sanah. Nampak mereka ini macam dah ada pengalaman jadi MC sebelum ni.

Antara juadah yang menyelerakan…. yummy!

Majlis dimulakan dengan bacaan doa daripada seorang pelajar persatuan kurang daya penglihatan. Untuk pengetahuan, Aizat pernah berduet dengan salah seorang pelajar dari persatuan ketika konsert Dirgarhayu Tuanku tahun lepas. 

Seterusnya, pengerusi majlis pada malam itu menjemput bapa Aizat, Dato Amdan untuk memberikan sepatah dua kata. Siap dengan pantun dan kata-kata semangat buat anaknya dan juga penyokong Aizat. Harapan beliau semoga Aizat akan terus mendapat sokongan walaupun Aizat terkeluar awal dan tak sempat beraksi di pentas akhir. Saya kira, bakat yang ada pada Aizat masih tidak cukup untuk menjadi seorang penghibur. Banyak lagi yang perlu dipelajari dan ditimba oleh Aizat. Semoga dengan adanya majlis seperti ini menjadi batu tanda dan titik tolak bagi Aizat untuk terus melakar perjalanan seninya.

Ketua Pengerusi Operasi, MAESTRO, Freddie Fernandez, guru Bahasa Inggeris AF5, Cikgu Najmi dan perunding imej, Jasmi Rejab juga turut datang meraikan majlis.

Tiada meja yang kosong. Semuanya diisi dengan hadirin yang berpusu-pusu datang. Khabarnya ada tetamu yang sanggup datang dari Brunei, Sabah dan Sarawak. Juga negeri Semenanjung termasuklah Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Ini gambar ibu Aizat (dua dari kiri) dan di sebelah kiri sekali ialah step father Aizat, Syed Abd Rahim yang juga turut berduet bersama Aizat pada petang itu. Memang semua famili Aizat ada bakat dalam bidang nyanyian rupanya.

Selepas Datuk Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Joget Pahang, hadirin ditayangkan satu slot video yang mengandungi foto-foto kenangan Aizat. Satu perjalanan dari zaman Aizat kecil sehinggalah dia membesar… dari sesi ujibakat dalam AF hinggalah beliau tersingkir membawa beg keluar dari Dewan Sivik pada malam berlangsungnya AIM14 yang lalu. Dalam slot tersebut, banyak foto Aizat bersama Siti Nurhaliza. Saya dapat rasakan Siti Nurhaliza sebenarnya rapat dengan famili Aizat famili. Mungkin kerana itu ada ura-ura yang mengatakan Siti Nurhaliza Production akan mengambil Aizat menjadi artis dibawah naungannya.

Sejurus selepas itu, Aizat keluar dengan membawa beg yang sama di atas pentas. Siap dengan pakaian seragam berwarna putih AF yang sedondon, dengan selendang biru yang dihadiahkan oleh Hattan terlilit siap di lehernya. Sungguh dramatik gimik ini kerana ianya mengimbas kembali detik-detik di mana Aizat tersingkir dari AF.

Kemunculan Aizat di pentas disambut dengan tepukan dan sorakan hadirin. Sejurus selepas Aizat mengucapkan selamat datang… beliau terus duduk di kerusi untuk mendendangkan sebuah lagu dari kumpulan Dewa berjudul Hadapi Dengan Senyuman. Ingat lagi dengan lagu ini? Ianya pernah didendangkan oleh adik beradik Aizat ketika beliau mendapat reward berjamu selera bersama Candy di Restoran Bora Ombak. Sungguh simbolik saya rasa lagu ini… kalau anda hayati betul-betul bait-bait lirik lagu ini, memang ada kena mengena dengan apa yang telah dilalui oleh Aizat. Antaranya berbunyi…

Hadapi dengan senyuman
semua yang terjadi
biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
semua… Kan baik baik saja

bila ketetapan tuhan
sudah ditetapkan
tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
dan takkan bisa berubah

Relakanlah saja ini
bahwa semua yang terbaik
terbaik untuk kita semua
menyerahlah untuk menang

Vokal Aizat semakin mantap dengan petikan gitar ini menjadikan persembahan cukup membuat penonton terpesona.

Selesai sahaja nyanyian pertama Aizat, suasana bergegar dengan tepukan dan sorakan yang begitu kuat saya kira. Memang kasi gegar habis. Hahaha… itu baru sahaja permulaan…

Kemudian, Aizat mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan peminat. Dari segi komunikasi dengan hadirin saya kira Aizat perlu lebih bersedia pada masa akan datang. Dan tidak hanya bergantung pada kertas di tangan. Ianya perlu dalam keadaan yang santai, kemas dan simple. Namun, saya percaya dengan pengalaman yang akan dihadapi oleh Aizat akan mematangkannya untuk berkomunikasi dengan lebih cemerlang. Dia pun masih budak-budak lagi. Berikan masa untuk Aizat memperbaiki segala kekurangan. Apa-apa pun saya kira vokal Aizat sudah ada peningkatan.

Kemudian, Aizat memanggil hadirin untuk menari bersamanya untuk lagu La Camisa Negra. Ramai kanak-kanak yang tak tahu segan berduyun-duyun naik ke pentas. Lagu ini pernah menggegarkan Dewan Sivik dengan gaya-gaya lucu, lincah dan nakal Aizat. Lagu yang pernah menjulang nama Aizat sehingga mendapat pujian daripada pengkritik AF. Walaupun tak faham sepatah haram, peminat masih rasa terhibur.

Majlis ini ada pengisian yang membuatkan hadirin tidak bosan. Hiburan diselitkan juga dengan beberapa permainan yang menggamatkan pentas dengan telatah dan gelagat peserta. Dicelah-celah peserta itu kelihatan seorang pelakon yang lama sungguh saya tak nampak. Namanya, Rima Rashidi yang sekarang ini khabarnya menjadi guru vokal bersama cikgu Siti Hajar dibawah satu bumbung. Rima pernah popular dengan Lagu Kasih Berbunga Lalang. Dalam gambar, Rima Rashidi berdiri 3 dari kiri. Saya tak tahu anda masih ingat dengan penyanyi ini. Rupanya, Rima Rashidi juga antara peminat Aizat. Mmm… boleh tahan… artis minat artis. Teringat Amylea yang minat gila kat Afdlin Shauki.

Aizat seterusnya mengajak bapanya, Dato’ Amdan untuk berduet bersamanya dalam sebuah lagu yang pernah didendangkan oleh Ebi. Lagu favorite ayah Aizat ni, amat bermakna juga buat Aizat kerana dapat mengimbas kembali memorinya ketika dalam AF. Suara Dato Amdan boleh tahan juga. Kira pitching tu takde yang lari… Memang kira satu gandingan yang punya harmoni heheheh 🙂

Kebanyakan lagu yang dinyanyikan Aizat tidak menggunakan minus one sepenuhnya. Tetapi menggunakan khidmat gitaris bernama Shahir.

Dalam pada itu, Budiey sempat ambil gambar Jasmi Rejab yang tengah makan… Siap pakai spek hitam tu… nampak ke nasi tu, Jasmi?

Bersama ayah tirinya pula Aizat berduet untuk lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta. Memang suara ayah tiri Aizat ada kelas… sebijik tak lari macam M. Nasir. Dah la muka pun macam nak sama dengan M. Nasir. 🙂

Sempena hari ibu, Aizat mendendangkan lagu Ibu (Allahyarham P.Ramlee) yang ditujukan khas buat semua ibu-ibu di Malaysia ni kata dia. Khasnya ibunya… sempat menghadiahkan sekalung bunga. Touching jugak la tengok Aizat peluk ibu dia.

Lagu Starlight, menggabungkan Aizat bersama kakaknya, Juai serta sepupunya, Syook (3 dari kiri). Gandingan yang serasi. Boleh saya kata rata-rata mereka ini pandai menyanyi. Ada darah seni. Oh ya, buat Syook, terima kasih banyak atas layanan… Appreciate it sangat-sangat.

Untuk lagu terakhir, Aizat membawa hadirin yang ada pada satu persembahan yang tidak mungkin akan dilupakannya sepanjang hidup. Begitu juga dengan peminat yang lain, saya rasa lagu ini mempunyai makna yang begitu mendalam. Lagu killer songs dalam filem Cinta ini pernah membuat ramai peminatnya menitiskan air mata kerana terlalu sebak dengan penghayatan dan mainan vokal Aizat.

Lagu Perpisahan dibawa sebijik seperti apa yang dikareografi oleh Aizat di konsert AF. Dengan tenang, duduk di kerusi. Kemudian Aizat berdiri ketika korus.

Masih dalam gaya penghayatan… Oh ya, saya nak cakap satu benda… syyyy… ni saya dengan korang je ni… ada orang tu, tak nak la cakap sapa nama dia kat sini, siap buat standing ovation lepas Aizat nyanyi lagu ni kat Dewan Sivik itu hari… hahahaha… dulu dia kata kat saya dia tak suka kat Aizat tapi tup-tup… minat dia beralih arah selepas kejayaan lagu Perpisahan di tangan Aizat. Cemerlang Aizat!

Sejurus selepas persembahan terakhir, Aizat turun untuk bersalaman dengan peminat dan semua hadirin. Juga ada sesi autograf dan beramah mesra bersama peminat. Saya terus pulang sejurus selepas itu kerana ada satu lagi acara yang terpaksa saya hadiri pada hari tersebut iaitu pementasan teater Baik Giler yang dipentaskan di Muzium Shah Alam.

Kepada semua AJK majlis ini, saya ucapkan terima kasih sebab sudi jemput saya. Anda semua memang rock la…. berjaya buat majlis yang happening. Khususnya kepada Anne dan Syook yang begitu mesra melayan tetamu. Tahniah kerana majlis ini berjalan dengan lancar dan penuh dengan kemeriahan. Kepada Aizat, selamat maju jaya dalam bidang nyanyian yang baru sahaja bermula. Timba pengalaman sebanyak yang mungkin kerana di hadapan anda banyak lagi onak duri dan gelombang ganas yang mungkin akan dihadapi. Tenang dan sabar mungkin ubat yang paling mujarab ketika menghadapi cabaran. Teruskan usaha anda dan jangan cepat putus asa. Bak kata Afdlin dalam filem terbarunya, “Nokotta!”

Semoga bertemu kalian lagi di lain masa. Oh ya, mungkin ini adalah entri yang paling panjang pernah saya hasilkan. Malas nak buat part-part… Lagi pun konsert final AF bertambah dekat… mungkin kalau tidak ada aral melintang, saya akan menonton konsert secara langsung di Stadium Bukit Jalil sabtu ini. Ada cerita sensasi di Konsert Akhir? Saya cuba gali…

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Filem Dukun Lakonan Umie Aida

Senarai Semua Lagu Konsert Akhir AF5