in

Pencarian Bakat Baru Drama Seludup Serbu Kolej

‘Seludup’, sebuah drama siri aksi dan cinta terbaru berkisar kegiatan penyeludupan haram, yang dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn Bhd baru-baru ini telah membuat lawatan ke Kolej Teknologi Cosmopoint di Kuala Lumpur untuk mencungkil bakat baru justeru menggalakkan pelajar-pelajar menyertai peraduan #masukdramaseludup. Selain Cosmopoint, produksi ‘Seludup’ juga telah mengunjungi Universiti Industri Selangor (UNISEL), Universiti Multimedia di Cyberjaya dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Seludup

[pullquote]Pencarian bakat baru untuk drama aksi ‘Seludup’ berkunjung ke institusi pengajian tinggi dan kolej sekitar Lembah Klang. Peraduan #masukdramaseludup yang menawarkan peluang untuk berlakon bersama pelakon-pelakon hebat negara mendapat sambutan hangat dari peminat industri hiburan tempatan.[/pullquote]

Keterujaan pelajar-pelajar Cosmopoint jelas terpancar semasa sesi uji bakat dan pengisian watak tambahan dalam drama yang dihasilkan oleh Jehan Miskin, Penerbit Eksekutif Mastermind Group Sdn Bhd. itu. Sekiranya terpilih, dua peserta yang bertuah akan berpeluang untuk berganding bersama-sama pelakon-pelakon terkenal negara yang bakal membarisi drama ini. Peneraju utama produksi ‘Seludup’ terdiri daripada Pekin Ibrahim dan Tiz Zaqyah berserta pelakon-pelakon lain termasuk Namron, Raja Ilya dan Syafie Naswip. Selain bertindak sebagai penerbit, Jehan Miskin turut memainkan peranan sebagai pelakon pembantu.

Untuk tujuan uji bakat, pelajar-pelajar Cosmopoint telah dibekalkan dengan skrip yang perlu mereka hafal dan hayati. Mereka juga digalakkan dengan kreatifnya memperbaiki skrip yang diberi dengan menggunakan prop dan kerjasama rakan sekelas untuk menjadikan uji bakat mereka kelihatan lebih menarik. Berdasarkan temubual bersama beberapa pelajar, didapati ramai yang mula sedar risiko gejala kegiatan penyeludupan haram di dalam masyarakat.

“Gejala seludup ini memang wujud di kalangan masyarakat dan tanpa disedari ianya turut melibatkan pelajar-pelajar kolej seperti saya dan rakan-rakan saya. Dengan duit belanja kami, memang kami tidak mampu membeli DVD yang ‘original’ atau beg-beg yang berjenama. Namun saya kini sedar bahawa itu bukanlah alasan untuk menyokong kegiatan penyeludupan haram dengan membeli barang-barang ini. Bagus juga kalau saya boleh memainkan peranan dalam menolong menyedarkan masyarakat bahawa gejala seludup ini adalah masalah yang sangat serius dan membawa padah kepada sesiapa yang terlibat,” kata salah seorang pelajar Kolej Teknologi Cosmopoint yang juga merupakan peserta uji bakat.

‘Seludup’ diilhamkan daripada kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat Malaysia mengenai perdagangan haram barangan seludup, tiruan dan cetak rompak seperti rokok seludup, cakera padat cetak rompak dan barangan berjenama tiruan yang menjejaskan pendapatan, keselamatan dan kualiti hidup masyarakat. Naratif drama ini menceritakan tentang kesungguhan seorang lelaki biasa, watak yang dimainkan oleh Pekin Ibrahim, dalam mencegah kegiatan jenayah seludup daripada mengancam keamanan kampungnya.

Menurut Jehan Miskin, “Produksi drama ‘Seludup’ akan membuat lawatan ke beberapa buah kolej yang lain untuk tujuan pencarian bakat baru ini. Selain daripada memberi peluang kepada muka-muka baru dan memberi laluan kepada mereka untuk menceburi bidang lakonan, kami juga ingin memeriahkan lagi suasana industri hiburan tanahair. Peluang menimba pengalaman untuk berlakon bersama Pekin, Tiz dan Namron sudah semestinya peluang yang tidak patut dilepaskan”.

Peraduan #masukdramaseludup memberi peluang sekali seumur hidup kepada seorang pemenang lelaki dan wanita untuk tampil di dalam drama tersebut, di samping beberapa hadiah menarik lain bernilai hingga RM15,000 setiap satu. Peraduan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, dari 18 hingga 35 tahun. Setakat ini, sebanyak lebih 80 video uji bakat telah diterima dan kesemuanya telah dimuatnaik ke laman FB Seludup untuk tujuan undian. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Ogos, 2014.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan #masukdramaseludup termasuk terma dan syarat, sila layari dan daftar penyertaan di laman FB Seludup: www.facebook.com/seludup

Seludup

Seludup

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Drama Wajib Tonton di TV3 Sempena Syawal

Lagu Raya Jadi Carian Paling Top di Search Google Malaysia