in

Orang Asli Terbilang Rekod Kejayaan Slot Lensa

REKOD KEJAYAAN INDIVIDU ORANG ASLI MENGISI SLOT LENSA DI TV1

Terpaksa berdepan dengan kehidupan seharian yang dihimpit kemiskinan dan bergelumang dengan penderitaan selain jauh daripada sebarang kemajuan, individu berasal daripada suku kaum Jakun, Semelai, Temuan dan Semai ini tekad memajukan diri untuk mengubah paradigma hidup yang membelenggu diri dan kaum mereka selama ini.

Dengan semangat untuk maju ke hadapan di samping kecekalan dan ketabahan yang ada selain semangat juang tinggi untuk maju, mereka sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai salah seorang daripada “Orang Asli Terbilang” yang dikongsi sama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan penonton yang mengikuti dokumentari bertajuk Orang Asli Terbilang mulai 21 Julai lalu setiap Rabu, jam 12.05 tengah hari mengisi slot Lensa di TV1.

Orang Asli Terbilang menerusi 13 episod siarannya memaparkan liku-liku kehidupan daripada zaman kanak-kanak hingga kini nama-nama orang asli yang telah menempah kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan mereka. Bermula dengan mengetengahkan nama besar seperti Prof. Madya Dr. Juli Edo yang kini berkhidmat di Jabatan Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya, Lembah Pantai Kuala Lumpur. Selain itu beliau juga merupakan salah seorang daripada 2 konsultan yang dipilih untuk menilai impak dan memantau projek pendidikan untuk anak-anak orang asli yang dikenali dengan nama “Toy Library”, satu projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Emkay di Royal Belum Forest di Perak.

Kemudiannya berkongsi kejayaan dikecapi Nur Idrina Abdullah @ Oh Ju Lin yang memulakan karier sebagai akitek di DZJ Associate Charetered Architect di Kuantan sebelum ditawarkan untuk berkhidmat dengan JKR. Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan Pembinaan Arkitek dan Penolong Pengarah Kanak Arkitek di JKR Pahang.

Episod bersama Y.B.Senator Mohammad Olian Bin Abdullah yang berasal dari kaum Semelai pula memaparkan hasil kejayaan yang dicapainya selama ini. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengurus RISDA Smallholders Plantation Sdn Bhd, yang merupakan satu jawatan tinggi yang pernah dipegang oleh orang asli dalam agensi kerajaan tersebut.

Malah orang asli sememangnya boleh berbangga dengan pencapaian dimiliki kaum mereka yang bergelar doktor termasuklah Dr.Ayob beliau merupakan graduan orang asli pertama yang lulus dalam bidang sains perubatan dan sekaligus menjadi doktor perubatan pertama di kalangan orang asli. Manakala Dr. Sham Su Lia pula yang selain menjadi doktor turut aktif dengan tanggungjawabnya sebagai bendahari bagi Persatuan Siswazah Orang asli Semenanjung Malaysia atau ringkasnya, PSOA. Malah dia juga terlibat dengan kerja-kerja komuniti seperti Permata Negara dan juga Permata Hati.

Namun hakikatnya ada di kalangan golongan berjaya ini pernah gagal dalam pelajaran tetapi bangkit dengan keazaman yang tinggi untuk memajukan diri seperti Kamahuddin Ang Sew Siang yang gigih berusaha untuk memajukan diri dalam dunia perniagaan dengan mempelopori bidang pengeksportan pati minyak wangi dari kayu Gaharu, syarikat milik Kamahuddin iaitu salah satu di antara 2 syarikat yang diberi lesen khas untuk mengeksport hasil dari pokok Gaharu ke peringkat antarabangsa. Begitu juga Chow Gek Chow Kiat, seorang usahawan wanita yang menguasai empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit di negeri Pahang hingga pada tahun 2007, dia menerima anugerah Tun Dr Siti Hasmah.

Malah tidak ketinggalan individu yang menempah kejayaan dalam bidang penyiaran seperti Zainab Binti Akin (penerbit dan DJ di ASYIKfm), Yassin Bin Pak Pit (Ketua Unit Bahagian Pemulihan dan Perubatan di ibu pejabat Perkeso di Kuala Lumpur), Dr. Bah Piyan Tan (Ketua Cawangan Kesihatan Haiwan yang beribu pejabat di Wisma Tani, Putrajaya), Ah Tong Wong Kin (pemilik Ladang Limau Nipis), Seriah Binti Dollah (pereka karpet di Carpets International Berhad) dan Mahat A/L Mat Dong yang telah diangkat sebagai ikon orang asli tahun 2009 oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia atas kejayaan dan sumbangan beliau di dalam membangunkan dan membela nasib masyarakat orang asli sekitar negeri Pahang.

Lalu kepada anda yang ingin berkongsi petua kejayaan individu-individu ini, pastikan anda meluangkan masa menyaksikan program menarik Orang Asli Terbilang ini setiap Rabu, jam 12.05 tengah hari di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mila dan Dafi Meriahkan Kempen Masyarakat Penyayang

DRAMA KOMEDI 10 THINGS I HATE ABOUT YOU