in ,

Nurul Lancar Album Terbaru Tika Cinta

Nurul Wahab – Tika Cinta

Satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi didalam industri muzik tanah air. Mempunyai bakat nyanyian yang menyerlah apabila memenangi beberapa anugerah yang sememangnya di iktiraf oleh industri muzik tanahair. Lagu-lagu nyanyiannya, sentiasa menjadi siulan para peminatnya, tidak mengira peringkat usia. Beliau sentiasa menjadi perhatian kerana bakat yang dimiliki, ini sekaligus membuatkan beliau berjaya merangkul beberapa anugerah di dalam bidang muzik.

Kini beliau muncul dengan nafas dan jenama baru, Nurul Wahab bagi mengekalkan beliau sebagai penghibur tanah air. Muncul dengan album ke-7 dibawah Metadome Sdn. Bhd. berjudul Tika Cinta. Album ini masih mengekalkan irama pop sebagai landasan namun disulami dengan rima terkini bersesuaian dengan halwa telinga semua pendengar. Ini dapat dilihat dengan single pertama yang telah mendapat tempat dicorong radio Tika Cinta yang penuh dengan elemen pop Jepun (J pop) hasil ciptaan komposer terkenal Sharon Paul. Beliau turun mencipta 3 lagu baru lain didalam album ini berjudul: Sepenuh Jiwa, Kala Hati, dan Tertutup Hati. Manakala sebuah lagu baru ciptaan komposer baru bernama Bajai bertajuk Jadikan Aku Bintang. Turut dimuatkan didalam album ini, lagu Tangis Syukur, ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Loloq dan Bukan Cermin Dihati ciptaan sepenuhnya oleh Nurul bersama Tam Spider dan M.Nasir.

Nurul berpendapat dengan lahirnya album terbaru ini disamping kerjasama dari komposer yang baru dapat memberikan nafas baru dalam menjenamakan kembali nama Nurul.

Menurutnya lagi, “Sudah lama Nurul ingin bekerja dengan Sharon. Namun, baru kini ia tercapai. Sharon seorang yang serius dalam kerja, tetapi dia terbuka untuk menerima pendapat orang lain. Diharap peminat dapat menerima perubahan ini.” Nantikan album ini yang berjudul Tika Cinta yang bakal berada dipasaran pada bulan Julai nanti.

Mengenai Metadome Sdn. Bhd.

Metadome Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya Penyedia Kandungan Mobile (Content Provider) yang menceburi bidang rakaman muzik digital. Metadome kini bekerjasama dengan artis-artis seperti The Fabulous Cats, Nurul, Liyana Jasmay, Imran Ajmain, Zhana, dan Han OIAM. Syarikat ini juga turut mengedarkan album Afgan, Chandra dan Anggun. Dan juga mengedarkan seluruh repetior syarikat EMI Indonesia, Satu Entertaiment, Neo Gendang dan lain-lain. Antara artis-artis Indonesia dibawah syarikat rakaman EMI Music Indonesia terdahulu ialah Dewa 19, Mulan Jameela, Ada Band, Andra & The Backbone, The Titans, Five Minutes, Radja, Tahta, Kapten, Naif, Repvblik, Ten 2 Five, The One, dan The Rock.

Nukilan Nurul Mengenai Lagu Di Dalam Album Tika Cinta

TIKA CINTA (Ciptaan : Sharon Paul, Lirik : Mable Lew)
Lagu ini yang pertama sekali saya terima dari KC Ismail. Apabila kali pertama mendengarnya terus melekat di halwa telinga saya. Tanpa fikir panjang, saya terus memberitahu KC Ismail, saya mahukan lagu ini, pasti! Ini yang saya mahukan kerana melodinya & susunan muziknya ‘very refreshing’.. Ianya diakui juga oleh teman rapat saya yang turut sama di dalam mesyuarat untuk memilih lagu-lagu untuk EP saya ini. Lagu ini mampu membuatkan semua yang mendengarnya bergoyang & menari mengikut rentaknya. Lirik yang simple dan mudah difahami melengkapkan lagi keseluruhan lagu ini.

JADIKAN AKU BINTANG (Ciptaan : Johar Lucas, Lirik : Johor Lucas)
Lagu ini merupakan lagu terakhir yang saya rakamkan sepanjang saya menjalani proses pembikinan EP ini. Melodinya yang simple senang dihayati, di mana liriknya juga di antara yang terbaik. Sememangnya kita merasakan diri seperti bintang jika dipuja dan disayangi oleh insan yang kita cintai. Begitulah maksud lagu ini seperti mana yang saya fahami.

KALA HATI (Ciptaan : Sharon Paul, Lirik : Abie Abdullah)
Lagu balada yang amat menyentuh jiwa, itu yang dapat saya katakan. Liriknya membuatkan saya tertarik kerana amat sesuai dan ‘serasi’ dengan melodi lagu ciptaan Sharon Paul ini. Telah lama saya nantikan untuk menyanyikan lagu balada yang sebegini. Garapan dan susunan muziknya amat baik sekali. Tidak lama masa yang diambil untuk saya merakamkan lagu ini. Pada saya, ianya amat bersesuai sekali dengan nada & ‘range’ suara saya. Mesejnya mengenai seorang kekasih yang amat menghargai cinta dari pasangannya. Di dalam kesepian, cinta yang diharapkan hadir tanpa diduga. Ketika diperlukan,  ianya tiba bagi membahagiakan dan menggembirakan. Luahan hati tentang kejujuran di dalam hubungan bercinta.

SEPENUH JIWA (Ciptaan : Sharon Paul, Lirik : Fedtri Yahya)
Lagu ini membuai rasa saya sejak kali pertama mendengarnya.. Saya amat sukakan melodinya. Sesuai dengan tajuk lagunya, begitulah juga perasaan saya apabila menyampaikan dan menyanyikannya. Lagu kedua yang saya rakamkan di studio milik Puan Sharon dan suaminya Rushdi Ramly. Dengan fahaman yang ada, saya nyanyikan mengikut rasa dan perasaan yang saya ada pada lagu ini , ianya mengenai cinta.
Cinta dan Kasih Pencipta, kita dilahirkan ke dunia ini. Cinta yang dihargai akan berpanjangan ke akhirnya. Sesuai bagi mereka yang sedang dilamun cinta untuk memahami mesej lagu ini kerana ianya dapat ditujukan pada pasangan masing-masing! Lagu ini juga tentang pengharapan kekasih memohon kasih yang dibina berkekalan selamanya.

TERTUTUP HATI (Ciptaan : Sharon Paul, Lirik : Sulu Sarawak)
Lagu ini bermesejkan tentang wanita yang telah hilang cintanya terhadap pasangannya. Susunan muzik yang dibuat Sharon Paul untuk lagu ini, mempunyai sedikit elemen rock. Saya sukakan melodinya yang ringkas tetapi tidak mudah untuk dinyanyikan juga kerana key lagu ini mempunyai ‘range’ yang besar. Permulaan nadanya agak rendah bersesuaian dengan melodinya tetapi menguji kemampuan dan kekuatan vokal saya untuk menyanyikan nada rendah sebegini. Di bahagian korusnya, memang tiada masalah pada saya kerana saya telah biasa menyanyikan lagu-lagu yang bernada tinggi. Saya amat berpuas hati dengan cara penyampaian saya di dalam lagu ini

TANGIS SYUKUR (Ciptaan : Tam Spider, Lirik : Loloq)
Setiap kali saya menyanyikan lagu ini, saya akan terkenangkan sahabat yang amat saya kagumi, iaitu Allahyarham LOLOQ. Kali pertama mendengar lagu sekaligus membaca lirik yang diberi, saya terdiam seketika. Saya hubungi arwah, dengan harapan boleh ubahkan sedikit maksudnya. Tidak mahu ada pula yang terasa. Tetapi, arwah seorang yang adil. Katanya lagi, ini ‘rasa’ dan jalan cerita hidup kamu Nurul. Lagipun apa salahnya berkongsi rasa hati dengan pendengar. Seorang yang sungguh menghargai manusia lain tanpa mengira kawan & lawan. Padanya, yang fakta tetap kekal fakta selagi ianya lojik.
Mesej lagu ini adalah apa yang saya lalui dan rasai. Pada saya, bukan saya sahaja yang merasakan keadaan yang digambarkan arwah, tetapi ramai lagi wanita lain. Lagu ini menjadi kekuatan kepada semua yang dapat melepasi sesuatu yang tidak pernah dijangka tetapi berlaku. Namun, tetap redha walaupun perit melaluinya. Yang pasti ianya menekankan tentang hati yang redha dan berserah.
Lagu ini merupakan lagu pertama saya bekerjasama dengan Tam Spider. Memang mudah sekali bekerja dengan Tam kerana beliau mengkaji dan begitu teliti di dalam memilih lagu yang bersesuaian dengan suara saya.

BUKAN CERMIN DIHATI (Ciptaan : Nurul Wahab/Tam Spider, Lirik : Nurul Wahab/M.Nasir)
Lagu ciptaan pertama saya ini, saya mendapat ilham sewaktu di salon rambut. Dengan bantuan Tam Spider, susunan lagu ini dapat disiapkan mengikut melodi yang dikehendaki. Pada dasarnya Tam sendiri amat menyukai lagu itu dan  menyarankan saya sendiri yang menuliskan liriknya. Kali pertama lirik disiapkan ketika selepas beberapa bulan perginya sahabat kami berdua iaitu Allahyarham Rosli Khamis. Selesai lirik dibuat, Tam berikan kepada M.Nasir untuk memastikan ianya bersesuaian. Namun lirik yang pertama ditolak oleh M.Nasir, dan saya terpaksa membuat lirik ini kembali yang memakan masa beberapa hari.
Pada kali ini saya mendapat pujian dari sifu!! gembiranya rasa! apatah lagi apabila sifu telah meletakkan dan membetulkan sebaris ayat di dalam perenggan korus lagu ini, kami bersetuju untuk meletakkan tajuknya ‘Bukan Cermin Di Hati.’ baris ayat inilah yang dibetulkan oleh M.Nasir dan saya setuju ianya dijadikan judul lagu ini. mesejnya mengenai kekuatan di dalam kehidupan. tidak dinafikan, lagu ini sememangnya mengenai diri saya sendiri. dengarkan, saya percaya anda akan memahaminya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siapa Juara Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009

Wan Syahrina Jadi Pengacara Rahsia Anatomi di TV1