in ,

Layar Merdeka Drama Sempena Kemerdekaan di RTM

LAYAR MERDEKA, SABTU (09 OGOS 2008), JAM 12.30 TENGAH MALAM DI RTM2

Kepulangan Harris cuba menjejak keluarga ayahnya di bumi Malaysia kurang disenangi bapa saudaranya, Shaari yang pernah menentang keras perkahwinan adiknya, Shaari dengan wanita Inggeris. Namun situasi itu tidak melemahkan semangat Harris yang juga mahu meraikan dan merasai sendiri penghayatan sambutan kemerdekaan Malaysia ke 50 bersama datuk dan saudara maranya yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Jalan cerita patriotik usaha Harris menjejak susur galur keluarganya ini melatari Layar Merdeka, 09 Ogos 2008 (Sabtu), jam 12.30 tengah malam mengisi slot Telemovie di RTM2.
  
Layar Merdeka mengisahkan pemuda bernama Harris yang juga seorang penuntut sebuah universiti di London dalam bidang sejarah. Pada masa sama Harris begitu meminati dunia pelayaran dan dia banyak membaca sejarah kisah tokoh-tokoh pelayaran terutama melibatkan Panglima Awang, tokoh berbangsa Melayu kelahiran Melaka.

Peluang menyiapkan tugasan terhadap kajian mengenai tokoh-tokoh sejarah Islam membawa Harris berkunjung ke kampung halaman ayahnya di Melaka, Malaysia. Dia memilih untuk menjalankan kajian mengenai kehebatan pelayar bangsa Melayu, Panglima Awang.

Sejak lahir Harris tidak pernah menemui keluarga ayahnya, Ariffin yang membawa diri berhijrah ke United Kingdom sejak 30 tahun dahulu. Segalanya berpunca daripada rasa kecewa terhadap tindakan orang kampung dan keluarga yang menyisihkannya setelah Ariffin mengambil tindakan mengahwini wanita Inggeris bernama Catherine. Mereka berfahaman kuat ia seolah membenarkan kehidupan dijajah sekali lagi.

Harris nekad menggunakan kesempatan yang ada sepanjang berada di Malaysia untuk mencari keluarga bapanya. Langkahnya semakin mudah apabila seorang kawannya memperkenalkan dengan Ling Long, seorang pemandu pelancong berketurunan Baba Nyonya.

Dengan sedikit maklumat yang ada, Ling Long membawa Harris pulang ke Melaka dan diperkenalkan dengan ibu bapanya. Kebetulan bapa Ling Long seorang peraih berkenalan rapat dengan nelayan dikenali Shaari yang juga abang kepada Ariffin malah berjanji menemukan Harris dengan mereka.

Kedatangan Harris disambut baik oleh datuk dan keluarganya. Cuma Shaari yang menunjukkan rasa tidak senangnya kerana 30 tahun dahulu, dialah yang menentang keras perkahwinan Ariffin dengan wanita Inggeris iaitu ibu kepada Harris.

Datuknya yang begitu gembira mengadakan kenduri doa selamat dan turut dibantu oleh Harris meski pun masih kekok dengan suasana dan persekitaran kampung.

Selain Ling Long, di situ Harris turut bergaul mesra dengan guru berbangsa India, Haridas yang banyak membantunya menjalankan kajian mengenai masyarakat majmuk di Malaysia. Malah membantunya mengenali dengan lebih mendalam tanah kelahiran Panglima Awang dan juga sambutan kemerdekaan.

Perang dingin yang dilancarkan Shaari masih berlanjutan dan dia sentiasa mencari kelemahan anak saudaranya itu. Namun Harris tidak pernah putus asa untuk mendekatinya malah sanggup mengikutnya turun ke laut menangkap ikan.

Satu hari ketika di laut, secara tiba-tiba bot mereka di pukul ombak ribut menyebabkan mereka terdampar di sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Shaari pula jatuh sakit. Ketika itu di sisinya hanya ada Harris, Haridas dan Ling Long.

Apakah yang berlaku seterusnya? Adakah Harris akan membantu pak ciknya itu atau menggunakan kesempatan yang ada membalas dendam?

Layar Merdeka terbitan The First Post Studio Sdn Bhd ini diterajui lakonan Baharuddin Hj Omar, Mahmud Ali Bashah, Liza Abdullah, Syed Aiman, Candy, Kenji Sawahi dan Jumal Yunus.

[tags]Baharuddin Hj Omar, Mahmud Ali Bashah, Liza Abdullah, Syed Aiman, Candy, Kenji Sawahi, baba nyonya, adat pepatih, history, homeless lyric, Jumal Yunus, layar merdeka[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sebalik Perceraian Cham VE dan Gambar Cham & Seorang Wanita Tersebar di Internet

Drama Hanya Satu di Slot Mustika On 2 di RTM