in , ,

Keputusan Pemenang Astro Kirana Short Film 2008/2009

Pada 27 Februari lalu, Astro Kirana Short Film Awards 2008/2009 telah berlangsung di Hall 4, Kuala Lumpur Convention Centre. Budiey ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang terutamanya kepada Odoi Odu (Oh Grandma) yang telah dinobatkan sebagai pemenang utama. Sekaligus melayakkan produser, pengarah serta pelakonnya, Farizie Morinding dari Ranau, Sabah untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, trofi serta bajet menghasilkan filem cereka bernilai RM100,000 hasil tajaan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

Dihasilkan menggunakan Bahasa Dusun, Sabah, filem itu yang hanya menggunakan peralatan kamera video basic dan sebuah komputer turut menerima kemenangan menerusi kategori Cerita Terbaik dan Lakonan Terbaik. Bravo Farizie Morinding!

Farizie Morinding

Budiey pun masih belum menonton filem pendek hasil garapan bekas graduan dari UiTM. Namun, Budiey difahamkan filem itu berkisar tentang sebuah kisah kehidupan seorang nenek tua yang miskin dan hidup sebatang kara tetapi masih mampu merasai kewujudan roh suaminya yang telah meninggal dunia. Namun, segalanya berubah setelah bertemu dengan seekor kucing yang lapar. Dengan bertemankan kucing itu, nenek tua itu tidak kesunyian lagi.

Para pemenang di sidang media bersama tetamu kehormat

Bukan mudah untuk menghasilkan filem pendek, pelbagai cabaran telah ditempuhi. Farizie Morinding mengulas:

“Demi untuk menyertai pertandingan anugerah filem pendek ini, banyak cabaran serta dugaan yang terpaksa saya tempuhi. Antaranya saya tidak mampu melakukan kerja-kerja suntingan kerana ketiadaan kompuiter peribadi dan pertolongan yang saya harapkan daripada beberapa rakan pula berdepan dengan pelbagai kesulitan. Hampir saya berputus asa untuk meneruskan kerja seni saya. Tapi, saya cuba kumpulkan semula kekuatan dan akhirnya berkat daripada kesabaran, saya tetap berhasil untuk melakukannya.”

Tempat kedua, filem Mirror hasil garapan Christopher Low pula telah berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 berserta trofi kemenangan.

“Dalam drama ini saya cuba tampilkan cerita tentang tudung dan untuk melakukannya, ia memaksa saya untuk membuat tinjauan serta kajian di Terengganu. Dengan tempoh masa yang cukup terhad, saya cuba untuk menghasilkan Mirror. Ia bukanlah mudah kerana Mirror sebuah filem pendek dalam Bahasa Melayu sedangkan, sebagai pengarah, saya tidak begitu fasih berbahasa Melayu. Bayangkanlah bagaimana sukarnya apabila saya terpaksa berkomunikasi dengan seorang makcik di Terengganu sewaktu penggambaran dilakukan.”

Christopher Low

Paling menarik, apabila filem Aku hasil karya Shuhaimi Zulkefli yang merupakan seorang penuntut sekolah agama di Kedah telah diangkat oleh juri sebagai pemenang tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi. Filem AKU juga turut memenangi Anugerah Videografi Terbaik. Sebenarnya, menurut Shuhaimi beliau lebih meminati dunia filem, belajar di Aswara dan sanggup menolak tawaran untuk belajar di Mesir.

“Waktu itu saya betul-betul berada di dalam dilema kerana saya cukup meminati bidang seni ini sedangkan guru agama di sekolah saya pula menasihati saya supaya meneruskan pengajian agama di Al-Azhar Mesir. Mereka juga meminta saya memilih di antara ‘dunia’ atau pun ‘akhirat’. Saya tidak boleh menipu diri. Jiwa saya memang ke arah ini. Akhirnya saya ambil keputusan untuk menyertai Aswara dalam bidang pengajian filem. Dalam tempoh selama 6 bulan di sana, masih tidak begitu banyak yang saya ketahui. Akhirnya saya cuba hasilkan Aku dengan bajet yang cukup rendah.”

Shuhaimi Zulkefli

Hadiah telah disampaikan Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Encik Zainir Amirullah, bersama Pengarah Eksekutif Astro Shaw Sdn Bhd dan Tayangan Unggul, YM Tengku Dato’ Anuar Mussaddad.

Kesemua pemenang Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009 itu telah dinilai 5 juri berkaliber iaitu pengarah Osman Ali, James Lee, Afdlin Shauki, Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai serta pengarang kanan universiti swasta, Wong Tuck Cheong.

Majlis itu dikendalikan oleh AC Mizal dan Sazzy Falak. Antara selebriti yang hadir untuk buat show adalah Aizat, Bunkface, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, Adam, Stacy dan ramai lagi. Bergabung dengan penyampai anugerah iaitu Rosyam Nor, Nasha Aziz, Jehan Miskin, Fazura, Hans Isaac, Tony Eusoff, Ning Baizura, Zizan Nin, Rozita Che Wan, Farid Kamil, Lisa Surihani, Rusdi Ramli, Dynas, Liyana Jasmay, Khabir Bhatia, Chelsea Ng serta Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Bagi anda di rumah, jangan lupa menyaksikan siaran tertunda acara berprestij itu hari ini, Sabtu, 28 Februari 2009, jam 9 malam menerusi Astro Kirana (Saluran 122). Siaran ulangan adalah pada 1 Mac ini jam 3 petang.

Pemenang Utama Filem Pendek Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma)

Tempat Kedua Filem Pendek Terbaik:  Mirror

Tempat Ketiga Filem Pendek Terbaik: Aku

Pengarahan Terbaik: Farizie Morinding/ Odoi Odu (Oh Grandma)

Cerita Terbaik: Farizie Morinding/Odoi Odu (Oh Grandma)

Suntingan Terbaik: Christopher Low/Mirror

Videografi Terbaik: Shuhaimi Zulkefli/Aku

Penataan Seni Terbaik: Tayanithi Ramanujem/Burp

Penataan Bunyi Terbaik: Sia Yaw Yie/Michelle

Lakonan Terbaik: Farizie Morinding /Odoi Odu (Oh Grandma)

Anugerah Pilihan Penonton: Permata Bonda

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip: Rakaman Bunkface di Anugerah Filem Pendek Astro Kirana Dibuat Semula

Gambar Sekitar Sound Check Hot FM Big Jam 2009