in ,

Filem Vikingdom Bukan Filem Agama – Norman KRU

Filem Vikingdom terbitan KRU Studios terus mendapat kritikan dan komen dari penonton. Budiey sudah pun membaca beberapa komen dan ulasan yang melibatkan kenyataan dari pakar Mitologi yang berada di Chicago. Wah, sekurang-kurang orang kat sana dah tonton filem Malaysia. Budiey kira, komen-komen ini sudah tentu ada jawapan dari pihak KRU Studios sendiri. Budiey ada terbaca tweet Penerbit Eksekutif KRU Studious, Norman pada pagi tadi:

KRU Studious mempertahankan filem terbitan syarikat itu, Vikingdom yang telah menerima kritikan, dengan menyatakan ia bukannya bertujuan untuk menyinggung mana-mana pihak. Norman Abdul Halim berkata kumpulan yang tersinggung dengan filem itu adalah kumpulan minoriti yang merupakan pengikut agama yang menyembah dewa-dewa seperti ‘Thor’.

“Saya menganggap ini adalah reaksi yang saya rasa ‘natural’ dan memang dijangka. Komen yang dikeluarkan oleh pakar ini bukannya dari sudut kajian tentang filem ini tetapi lebih kepada mereka menganggap filem ini sebagai satu penghinaan kepada agama mereka. Tapi filem ini bukan filem agama. Filem ini berdasarkan fantasi dan memaparkan watak-watak mitos dan watak-watak sejarah.”

Norman berkata demikian berikutan kritikan terhadap Vikingdom yang dilemparkan oleh seorang pakar Mitologi, Karl Seigfred yang berpangkalan di Chicago. Seigfred mempersoalkan tentang kenyataan promosi KRU, bahawa filem itu gabungan mitos dan sejarah.

Menurut Seigfred sejarah yang dipaparkan mengenai golongan Viking dalam “Vikingdom” tidak tepat dan tersasar. Seigfred juga dikatakan tersinggung dengan kenyataan pengarah filem itu, Yusry Abdul Halim.

Yusry sebelum ini menyatakan orang barat juga tidak pasti dengan kewujudan golongan Viking, mahupun Thor. Seigfred menyifatkan kenyataan itu seperti tidak menghormati budaya mahupun kepercayaan orang lain.

“Vikingdom” yang dipasarkan ke peringkat antarabangsa, ditayangkan di malaysia mulai 12 September lalu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Cinta Kamikaze Lakonan Zahiril Adzim & Nadiya Nisaa

Drama Bersiri Love You Mr Arrogant