in

Filem Hapuslah Air Matamu Lakonan Sharifah Aini

4 Filem : KL Menjerit 1, Hapuslah Air Matamu, Fenomena Dan Apa Kata Hati Sepanjang Jun Ini Hanya Di TV2

Sepanjang Jun ini, RTM mengajak penonton mengimbas kembali filem-filem lakonan penyanyi dan pelakon terkenal tanah air yang pernah mendapat sambutan ramai. Empat filem yang dipilih RTM ini pastinya dapat mengubat kerinduan peminat terhadap lakonan artis yang telah pun menempa nama kini dalam industri seni tanah air.

Saksikan filem KL Menjerit 1 (09 Jun 2012), Hapuslah Air Matamu (16 Jun 2012), Fenomena (23 Jun 2012) dan Apa Kata Hati (30 Jun 2012) mengisi slot Pilihan Jumaat, setiap Jumaat, jam 2.30 petang menerusi TV2.

Imbas kembali lakonan hebat Rosyam Nor, Erra Fazira, Que Haidar, Sheera Iskandar dan Saiful Apek dalam KL Menjerit 1 yang mengisahkan Ku Idhzam atau lebih dikenali sebagai Ku adalah sahabat baik yang juga sepupu Sharol ketika di kampung, telah berhijarh ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur selain bekerja di kilang percetakan, Ku juga terlibat dengan kegiatan lumba haram. Ku mengajak sepupunya berpindah ke Kuala Lumpur tetapi Sharol tidak yakin untuk hidup di sana kerana tiada pengalaman dan tahap pendidikannya yang tidak seberapa. Di Kuala Lumpur, Ku berkenalan dengan Khatijah, seorang siswa perubatan di sebuah universiti yang mengalami tekanan perasaan kerana sejarah silam. Nina, pegawai penyiasat cuba membantu Khatijah dengan misinya menyelesaikan kes yang membabitkan mat motor. Kecekapan Nina menunggang motorsikal membuatkan hubungannya semakin rapat dengan Sharol.

Ubati kerinduan anda terhadap Datuk Sharifah Aini dalam bidang lakonan menerusi filem Hapuslah Air Matamu arahan M. Amin yang menyusul kemudiannya. Pengajaran boleh dikongsi penonton dalam filem yang memaparkan plot kisah seorang penyanyi yang berasal dari kampung, Aini (Sharifah Aini) lupa daratan setelah terkenal sebagai artis rakaman. Aini seorang gadis kampung yang bersopan santun serta berbudi tinggi. Atas galakan Adi (Latiff Ibrahim) kekasihnya yang sedang menuntut di universiti dia berjaya menjadi seorang penyanyi yang diminati ramai.

Pengurus syarikat piring hitamnya memberi peluang dia berpadu suara dengan penyanyi terkenal Indonesia, Broery (Broery Marantika) yang menyebabkan namanya semakin terkenal dan menjadi rebutan syarikat piring hitam. Kelab-kelab malam telah menawarkannya bayaran yang tinggi. Semasa Aini dengan Broery di Indonesia, dia berubah menjadi angkuh dan sombong. Dia melupai janji-janjinya yang lalu, terutama kepada ibu dan kekasihnya. Lebih menyedihkan apabila ibunya pergi ke kelab untuk menemuinya, dia memarahi serta menghina ibunya, menyebabkan ibunya merajuk lalu jatuh sakit.

Filem Fenomena

Peminat M. Nasir, Ramona Rahman dan Amy Search saksikan kemunculan mereka dalam filem Fenomena arahan Aziz M.Osman yang pernah popular sekitar tahun 1990. Ia mengisahkan Isabella anak Mr. Howell, seorang Pengurus lombong besi di Bukit Besi, Terengganu, telah menghidapi penyakit aneh ketika berusia setahun. Pada suatu malam Isabella menangis tidak henti-henti hingga mendorong tukang kebun mereka, Labib yang juga dukun cuba mengubatinya. Serta merta Isabella berhenti menangis dan segar seperti kanak-kanak sihat. Setelah 24 tahun berlalu, Isabella yang kini sarjana di Universiti London dalam bidang pengajian penyakit ganjil tersebut. Doktor-doktor di England berpendapat bahawa Isabella hanya berpeluang hidup selama enam bulan lagi. Isabella tidak dapat menerima hakikat itu dan berpendapat Labib mampu mengubati penyakitnya serta berazam kembali ke Bukit Besi untuk menemuinya.

Filem Apa Kata Hati lakonan Raja Farah, Farid Kamil, Awal Ashaari, Dynas, Awie, Ogy Ahmad Daud, Harun Salim Bachik dan AC Mizal juga turut mengisi slot Pilihan Jumaat penghujung Jun ini. Ia berkisarkan pegangan hidup seorang gadis bernama Elly seorang pereka fesyen muda bekerja di Butik Karya Anggun. Elly seorang gadis ceria dan berfikiran positif, diuji dengan satu pemberian yang memang diimpikan oleh semua wanita iaitu dapat membaca fikiran lelaki. Namun Elly menganggap itu satu sumpahan apabila dia banyak mendengar yang tidak baik berbanding yang baik. Dengan pemberian itu juga, Elly jadi keliru dalam membuat pilihan teman hidup. Kebuntuan tersebut mendorong Elly mengikut kata hati. Apakah Elly berjaya membuat keputusan tepat dengan menurut kata hati?

Tontoni empat filem yang dapat mengimbas kembali lakonan pelakon popular tanah air ini hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selebriti Terkenal di Glam Bazaar

8TV Lancar Kempen Adopt A Turtle