in

Astro Oasis Lancar Kuiz Keislaman Famili Sarjana

KUIZ KEISLAMAN PERTAMA SEUMPAMANYA DI MALAYSIA
Astro Oasis uji pengetahuan seisi keluarga tentang Rukun Islam

Sebagai salah satu platform yang berperanan memperkasakan institusi kekeluargaan, Astro sentiasa berusaha menawarkan program-program berunsur kerohanian sebagai asas membina kekuatan dan jatidiri sesebuah keluarga.

Sehubungan dengan itu, Astro dengan berbesar hati membuka tirai 2011 dengan memperkenalkan sebuah program kuiz kekeluargaan Islam berjudul Famili Sarjana yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Sabtu, jam 7.30 malam bermula 1 Januari 2011 menerusi saluran 106.

pengacara bersama pengurus saluran astro oasis

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar, “Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz kekeluargaan terbaru yang membawa pendekatan berlainan berbanding program-program sedia ada. Program ini membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam. Secara tidak langsung, penonton di rumah turut memperoleh ilmu daripada soalan yang dilontarkan”.

Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz yang menyaksikan dua buah keluarga akan bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan-soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat. Sebuah keluarga akan dinobatkan sebagai juara di pusingan akhir. Sebagai pendorong, hadiah utama berbentuk pakej umrah ke Tanah Suci dengan tajaan penuh disediakan untuk seisi keluargayang bergelar juara. Imam Muda Taufek dan Rini AF7 dipilih menjadi pengemudi rancangan yang akan bersiaran selama 13 episod ini.

“Pengalaman sewaktu berada dalam rancangan Imam Muda dan Akademi Fantasia memberikan kelebihan kepada Imam Muda Taufek dan Rini untuk mengemudikan Famili Sarjana. Kerasian yang ditunjukkan sewaktu proses ujibakat menambahkan keyakinan bahawa kombinasi mereka berdua mampu untuk menghidupkan rancangan ini. Ini ditambah lagi populariti mereka dikalangan pengikut setia kedua-dua program realiti ini dijangka mampu menarik minat terutamanya golongan muda untuk menonton program-program kerohanian seperti Famili Sarjana”, jelas Hj Izelan

rini & taufek

Istimewanya tentang Famili Sarjana adalah daripada gabungan dan kerjasama setiap ahli keluarga. Mereka perlu dianggotai oleh tiga orang ahli keluarga yang terdiri daripada dua orang dewasa dan seoarang kanak-kanak. Ini termasuklah kombinasi ibu bapa dan anak mahupun gabungan ahli keluarga terdekat

Setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir. Dua buah keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum sebuah keluarga dinobatkan sebagai Famili Sarjana.

Tambah Hj Izelan lagi, ” Tajaan penuh pakej umrah yang ditawarkan kepada Juara Famili Sarjana hanyalah sebagai pendorong kepada setiap keluarga untuk bersungguh-sungguh di dalam program ini. Namun yang lebih penting, peserta dan penonton di rumah dapat berkongsi ilmu dan mendalami setiap perkara yang terkandung dalam Rukun Islam. Dengan mendalami ilmu dan mengamalkannya, kita mampu membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang bertamadun yang selari dengan syariat Islam.

Jangan lepaskan peluang untuk berhibur sambil mensuci rohani dengan menyaksikan program kuiz kekeluargaan Islam terbaru , Famili Sarjana yang akan menyaksikan dua buah keluarga bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan-soalan keagamaan pada setiap hari Sabtu, jam 7.30 malam bermula 1 Januari 2011 menerusi Astro OASIS (saluran 106). Selamat menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

All Martial Arts Exhibition and Fight Nights

Peraduan Menangi 15 Keping Tiket Anugerah Skrin 2010