in

Artis Popular Sambut Raya di Salam Perwira

Bayangkan ketika umat Islam lain bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta, pasukan beruniform negara pula menjalankan tanggungjawab terhadap tugasan dengan penuh dedikasi demi menggalas amanah diberi. Kesedihan memang dirasai, terutama ketika mendengar takbir raya berkumandang dari masjid berhampiran namun demi amanah disandarkan, mereka tabah berdepan dengan situasi tersebut.

Cuba berkongsi perasaan mereka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan muzikal khas hari raya ini, “Salam Perwira” menampilkan gelagat artis-artis popular menyambut hari raya bersama-sama pasukan beruniform tanah air yang terpaksa bertugas sepanjang hari raya. Menariknya tujuh episod ini dirakamkan di tujuh lokasi berbeza dengan memfokuskan tujuh pasukan beruniform yang berlainan.

Menampilkan pengacara Karl Shafek, program menemui penonton mulai 28 Julai hingga 3 Ogos depan, Isnin hingga Ahad, pukul 4.00 petang di TVi ini membawakan situasi beberapa hari terakhir puasa sehingga sepanjang sebulan sambutan hari raya Aidil Fitri. Karl Shafek bersama tiga (3) artis popular berbeza setiap episod akan turun ke lokasi tempat bertugas pasukan yang beruniform dipilih. Mereka akan bersama-sama merasai pengalaman berpuasa ketika bertugas dan memeriahkan sambutan hari raya di lokasi pasukan beruniform berkenaan.

Artis Popular Sambut Raya di Salam Perwira

Sebanyak enam buah lagu dimuatkan di setiap episod. Lagu-lagu yang dipersembahkan adalah lagu-lagu hari raya evergreen serta lagu-lagu raya baru. Satu lagu popular terkini artis terlibat turut dimuatkan bagi membuat sedikit kelainan terhadap konsep rancangan sambutan hari raya.

Setiap klip video akan diselitkan babak-babak yang berkaitan dengan tugasan harian dan fungsi setiap pasukan beruniform. Lagu-lagu hari raya akan ditampilkan berselang seli dengan linking antara artis dan kakitangan beruniform, pengalaman berpuasa dan seterusnya berhari raya di lokasi tempat bertugas. Temuramah secara santai dan spontan turut dimuatkan selain ucapan hari raya kakitangan bertugas.

Menerusi episod pertama, ketahui sambutan Hari Raya oleh pasukan Polis Di Raja Malaysia – Pasukan Gerakan Am (PDRM – PGA) di Sempadan yang memilih lokasi Kuala Perlis dan Bukit Kayu Hitam. Artis jemputan episod ini Riz Zaizizi, Farawahida dan Eyeja. Kongsikan rutin tugasan harian anggota PGA di sempadan seperti mengawal perairan Kuala Perlis dan sempadan Bukit Kayu Hitam daripada penyeludupan barang-barang terlarang dari negara jiran serta pendatang asing tanpa izin di bulan puasa diteruskan seperti hari-hari biasa.

Kemudiannya ikuti kisah dikongsi anggota Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) di Klang, Selangor. Bersama artis jemputan Daus, Adam dan Baby Shima, episod kedua ini masih dalam suasana berpuasa, bersama-sama dengan para anggota TLDM di kapal KD Perantau yang menjalankan tugas-tugas pengukuran pantai. Anggota bercerita tentang pengalaman berpuasa dan beraya semasa tugasan. Tugasan harian dan ibadah ketika Ramadan tetap dijalankan. Majlis berbuka puasa dan berterawih bersama-sama anggota memberi pengalaman yang amat indah. Ucapan selamat hari raya daripada anggota dan artis turut dimuatkan.

Menerusi episod seterusnya bersama anggota Tentera Darat yang bertugas di lokasi Kem Banding, Grik. Turut dihiburkan dengan kemunculan artis seperti Nubhan, Hazami dan Sheila Abdul. Ketahui tugasan rutin harian seperti rondaan sekitar kawasan Banding yang menjadi keutamaan. Karl Shafek dan artis dibawa melawat ke persekitaran kem dan menyertai operasi rondaan di Hutan Belum. Temubual tentang pengalaman anggota berpuasa dan beraya di dalam hutan. Ibadat sembahyang jumaat, solat fardu berjemaah, tazkirah dan tadarus Al-Quran di surau kem berjalan seperti biasa. Aktiviti membakar lemang dan menyediakan juadah hari raya untuk sambutan esoknya oleh anggota tetap dilaksanakan walau dalam tugasan.

Kemudiannya saksikan episod bersama pasukan PGA Briged Utara di Ulu Kinta, Perak. Episod kali ini membawa hos dan artis ke lokasi PGA Briged Utara Ulu Kinta semasa suasana berhari raya. Info ringkas tentang penubuhan PGA Briged Utara diberikan. Temubual tentang pengalaman anggota yang terpaksa beraya di lokasi tugasan. Rutin harian seperti berkawad, rondaan, latihan menembak dan membersih senjata tetap berjalan seperti biasa. Artis jemputan episod ini Azharina Azhar, Diddy Hirdy dan Azri.

Kongsikan juga pengalaman bertugas anggota Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia di Ipoh, Perak bersama artis Shiha, Salma dan Zarul Umbrella. Aktiviti rutin harian seperti memeriksa alatan serta senaman berjalan seperti biasa. Hos dan artis dibawa ke sekitar balai. Zarul berpeluang menimba pengalaman sebenar dengan menyertai operasi menyelamat kebakaran yang berlaku ketika itu. Upacara sambutan hari raya bersama dengan anggota dan pegawai dilakukan dengan cukup meriah di balai dengan diiringi oleh kugiran balai bomba itu sendiri.

Tidak dilupakan episod bersama pasukan Jabatan Laut Malaysia di Rompin, Pahang. Artis undangan seperti Ekin Rahman, Ameer Sofazr dan Toi Nizam di bawa ke Rompin untuk menimba pengalaman bersama dengan anggota yang bertugas di Jabatan Laut Rompin semasa hujung sambutan hari raya. Tugasan rutin anggota seperti menjaga aspek keselamatan feri penumpang, bot, lesen bot dan rondaan penguatkuasaan perairan di waktu hari raya tidak ada beza dengan hari-hari biasa yang lain. Toi berpeluang menyertai rondaan perairan bersama anggota. Turut dimuatkan pengalaman anggota yang tak dapat balik beraya kerana bertugas serta ucapan raya daripada artis dan anggota. Mereka turut bersama dengan penduduk kampung memeriahkan sambutan hari raya di salah sebuah rumah penduduk kampung.

Sebagai penutup, rasai pengalaman pasukan Bomba Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Bomba KL & Jabatan Bomba Sri Hartamas bersama artis Aisha Safia, Aishah AF dan Yazer. Episod akhir ini berkisar pada penghujung sambutan hari raya di dua lokasi iaitu Ibu Pejabat Bomba KL di Jln Maharajalela dan Balai Bomba Sri Hartamas. Artis dan hos berpeluang melawat sekitar pejabat dan balai bomba, bertemu dengan anggota yang bertugas dan melihat secara terus suasana anggota bertugas. Temubual dengan Pengarah Bomba KL tentang organisasi dan maklumat ringkas Bomba KL. Anggota turut ditemubual tentang pengalaman beraya semasa bertugas.

Justeru usah ketinggalan menyaksikan program muzikal istimewa ini hanya di TVi.

Artis Popular Sambut Raya di Salam Perwira

Artis Popular Sambut Raya di Salam Perwira

Artis Popular Sambut Raya di Salam Perwira

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Program Raya Hiburan Eksklusif di RTM

Gambar Baby Anak Awal Ashaari & Scha Alyahya