in ,

Siapakah Pemenang Anugerah Bintang Popular BH Ke-32

Sejak kempen Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 bermula pada pertengahan Julai lalu, beberapa nama artis dilihat kerap muncul di laman sosial dan sebahagiannya pula tular apabila peminat masing-masing mula melobi bintang kesayangan mereka.

Bukan sekadar kelab peminat artis terbabit yang berbuat demikian, malah penggemar dunia seni hiburan tempatan lain tidak ketinggalan memetik nama penyanyi, pelakon, pelawak, dan personaliti radio serta televisyen pilihan mereka dengan harapan wajah kesayangan masing-masing mendapat undian ramai.

Daripada ratusan nama dicalonkan pada peringkat awal, wajah popular semasa nyata tidak berdepan halangan untuk melepaskan diri ke peringkat Top 5, seperti diumumkan pada 16 Ogos lalu.

Begitupun, beberapa kejutan juga berlaku apabila artis disangkakan dengan mudah menempatkan nama sebagai calon Top 5 gagal mendapat jumlah undi mencukupi untuk sama-sama berada dalam senarai akhir.

Apapun, nama seperti Zul Ariffin, Fattah Amin, Remy Ishak, Mira Filzah, Khai Bahar, Syafiq Kyle, Janna Nick, Siti Nordiana, Alif Satar, Stacy, Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Afieq Shazwan dan Adam Lee tiada masalah untuk berbuat demikian.

ZUL Ariffin, Mira Filzah dan Remy Ishak terus mendapat perhatian ramai menerusi karya lakonan mereka. – NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Malah, nama dan wajah mereka jugalah antara yang kerap dibaca serta kelihatan di laman sosial bersama tanda pagar #ABPBH32.

Kehangatan filem Sangkar ketika ini pastinya memberikan kesan besar ke atas populariti pelakon utamanya, Zul. Sambutan hangat diberikan terhadap naskhah berkenaan di pawagam, selain promosinya yang berterusan sehingga sekarang sudah tentu membuatkan aktor sasa terbabit lebih menonjol.

Bintang Hantu Kak Limah itu sendiri cukup sinonim dengan ABPBH apabila dua kali berturut-turut dinobatkan pemenang kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, iaitu pada edisi ke-30 dan ke-31. Walaupun Sangkar karya tayangan tahun ini dan hanya layak untuk mewakili Zul bagi penganjuran akan datang, tidak dapat dinafikan faktor semasa banyak memberikan impak terhadap pencalonan seseorang selebriti.

Bukan sekadar Zul, dua lagi pelakonnya, Remy dan Mira, juga mendapat tempias daripada sokongan diberikan peminat terhadap filem itu. Ditambah dengan populariti drama Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan, Remy dan Mira selaku tunjang utamanya seharusnya diletakkan dalam senarai pilihan untuk mencipta kegemilangan pada ABPBH 32.

Sejak Pujaan Hati Kanda ditayangkan menerusi TV3 pada 20 Disember 2018 sehinggalah ia berakhir pada penghujung Februari lalu, kedua-duanya sering menjadi tumpuan peminat. Banyak sekali hantaran di laman sosial memaparkan detik manis antara mereka, sehingga mewujudkan tanda tanya, apakah kedua-dua artis terbabit benar-benar berpasangan di luar drama?

Apatah lagi, sebelum itu nama mereka juga meledak dengan dengan drama Lelaki Kiriman Tuhan, siaran sebuah saluran berbayar.

Dengan segala promosi diterima Remy dan Mira, justeru tidak hairan andai kedua-duanya mampu pulang bersama trofi anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan berkenaan pada malam kemuncak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini.

Pastinya, dua anak seni ini memberikan saingan sengit dalam kategori masing-masing. Mira dicalonkan dalam enam kategori (bersama tujuh pencalonan) dan Remy pula empat kategori (lima pencalonan). Malah, peluang untuk mereka membawa pulang trofi idaman ramai, Bintang Paling Popular, juga tidak harus dinafikan.

Cuma, bagi menjulang anugerah utama terbabit, beberapa nama lain tidak boleh dipandang sebelah mata. Malah, semua nama disebutkan tadi mempunyai harapan untuk mencipta kegemilangan pada malam ini.

Syafiq yang terus memahat nama di persada lakonan menerusi watak Ustaz Adam dalam Nur 2, tahun ini, dilihat antara calon yang mampu mencipta kejutan pada edisi ke-32 ABPBH. Biarpun pernah dilanda kontroversi, tahun lalu, ia tidak memberikan kesan kepada pelakon terbabit, malah Syafiq terus menjadi pilihan produser untuk menjayakan produk terbitan mereka, termasuk di pentas teater.

Alif pula yang menyaksikan namanya melekat sebagai calon Top 5 dalam tiga kategori juga mampu menidakkan peluang artis lain untuk mencatat kenangan paling manis. Diramal mengungguli kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, bersama Siti Nordiana atau Nana, dia juga berkeupayaan mencipta kejutan lebih besar, apatah lagi apabila lagu duetnya bersama Raihan, Sesungguhnya 2019, mencipta fenomena, baru-baru ini.

Terlanjur menyebut nama Nana, bintang yang kembali menjadi sebutan ramai sejak empat tahun lalu, selepas kira-kira sedekad bagai terpinggir daripada dunia seni, penyanyi, pelakon dan pengacara berusia 34 tahun ini semakin mendominasi arena hiburan negara.

Disokong kuat oleh kelab peminat, Siti Nordiana FC, dia turut menarik perhatian ramai dengan imej yang dianggap dekat dengan masyarakat. Perjuangannya untuk kembali berada di puncak pula sudah tentu menjadi inspirasi buat sesiapa sahaja.

Namun, untuk Nana menggenggam trofi pernah dijulang olehnya sebelum ini, Penyanyi Wanita Popular DuitNow, dia perlu berdepan cabaran sengit dua lagi calon Top 5 kategori berkenaan, Wany dan Stacy. Lebih-lebih lagi, semua tahu, kelab peminat dua artis terbabit juga bukan calang-calang. Lihat sahaja bagaimana ‘havoc’ mereka tatkala mengambil bahagian pada acara santai bersama peminat, #FANtastik, di Puncak Alam, baru-baru ini.

Saat besarnya harapan peminat Nana untuk melihat bintang kesayangan mereka kembali merampas trofi itu, begitu jugalah impian penyokong Wany ingin menyaksikan penyanyi lagu Terlalu Memuja berkenaan mengekalkan anugerah diterimanya pada ABPBH 31.

Saingan dalam kategori penyanyi lelaki juga tidak kurang hebat apabila wajah yang masih dikira baharu seperti Khai dan Haqiem berdepan ‘gergasi’ dunia muzik, Faizal Tahir.

Bersama beberapa kejayaan diraih oleh penyanyi lagu Luluh dalam acara anugerah berpaksikan undian peminat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin memberikan Khai sedikit kelebihan untuk sekali lagi menaiki pentas menerima trofi kategori terbabit.

Apatah lagi dengan sokongan Khai Bahar Empire yang berdiri teguh di belakangnya, anak muda kelahiran Perlis itu berkemungkinan mampu mencatat kejayaan hatrik sebagai Penyanyi Lelaki Popular. Bahkan, dia juga nama yang disebut-sebut bakal meraih lebih daripada satu piala.

Bagaimanapun, saat keyakinan mungkin mula bersarang dalam diri Khai dan peminatnya untuk berbuat demikian, usah dilupa kejutan yang tidak mustahil dapat dilakukan dua lagi calon saingannya, Sufian Suhaimi dan Syafiq Farhain.

Sufian, umpamanya, mencipta fenomena tersendiri dengan lagu merobek jiwa, Di Matamu. Ia bukan sekadar karya yang tular, malah mencatat jumlah tontonan tertinggi di YouTube, iaitu menghampiri 65 juta tontonan sehingga ke hari ini. Persembahannya sewaktu mendendangkan lagu berkenaan pada Anugerah Juara Lagu Ke-33 turut meraih angka tontonan besar, iaitu lebih 10 juta kali.

Saingan diberikan pemenang edisi lalu dalam kategori masing-masing, seperti Fattah dan Janna, juga harus diberikan perhatian. Terus mengekalkan kemasyhuran dalam industri hiburan, dengan masing-masing semakin selesa menempatkan diri di arena lakonan, selain melakar nama di persada nyanyian, dua nama ini tetap menjadi pilihan ramai.

Melangkaui sempadan layar kecil, suami kepada Nur Fazura juga memahat namanya sebagai bintang filem yang mampu memberikan pulangan besar kepada produser apabila muncul dengan judul popular, KL Special Force.

Kekuatan filem itu dan drama lakonannya, Isteri Bukan Untuk Disewa, memberikan kelebihan kepada lelaki berusia 29 tahun yang pernah bergelar Bintang Paling Popular, ABPBH 3.0 ini untuk mengukir kejayaan, malam ini.

Janna yang dilihat antara bintang wanita paling ke hadapan, saat ini, tidak ketinggalan menghangatkan suasana persaingan merebut pengiktirafan tertinggi dalam ABPBH 32.

Memenangi trofi pelakon TV Wanita Popular, dua musim lalu, Janna boleh mengulangi pencapaian sama dengan kekuatan drama Semerah Cinta Humairah dan Isteri Untuk Diiktiraf. Baru-baru ini, dia sekali menjadi topik bualan peminat menerusi lakonannya dalam Leftenan Zana.

Bahkan, Janna juga dilihat berkemampuan menggenggam trofi dalam kategori pengacaraan menerusi penampilannya sebagai hos program popular, Melodi.

Apa juga ramalan dibuat, semuanya tetap bergantung kepada undian peminat. Justeru, usah terkejut andai ada nama lain yang tiba-tiba naik ke pentas menerima anugerah.

Nantikan sahaja keputusannya apabila pemenang 15 kategori utama dan lima kategori online diumumkan di PICC, beberapa jam lagi.

Bagi peminat yang tidak berpeluang menyaksikannya di lokasi acara pula, sila sediakan bertih jagung atau pisang goreng untuk berada di depan kaca televisyen kerana TV3 akan menyiarkan acara yang pasti penuh gilang-gemilang itu secara langsung mulai jam 9 malam ini. Selamat menonton.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Vlog GILA MAKAN di KARA Restaurant & Desserts

Mira Filzah Berjaya Bergelar Bintang Paling Popular ABPBH 32