in

Siapa Pemenang Persada Akhir Tahfiz Muda

Selepas bersiaran selama 6 minggu, program realiti hafazan kanak-kanak, Tahfiz Muda akhirnya sampai ke kemuncak apabila rakaman persada akhir program itu yang telah berlangsung di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail Sabtu lalu bakal bersiaran malam ini, di saluran Astro Oasis (106) dan siaran serentak di Astro Maya HD (135) jam 9.00 malam.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, “Sambutan yang amat baik telah pun diterima sepanjang Tahfiz Muda bersiaran selama 7 minggu dan rata-rata orang ramai telah memberikan maklum balas positif mengenai konsep rancangan ini yang dilihat cukup unik dan menarik. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, pendedahan terhadap hafazan ayat-ayat suci pada usia muda sebegini merupakan satu perkara yang positif khususnya dalam melahirkan generasi muda yang celik Al-Quran”.

Top 10 Tahfiz Muda 2016

“Secara jujurnya, kami sendiri berasa amat berbesar hati kerana dapat menyediakan peluang kepada kanak-kanak ini menerusi platform yang kami miliki untuk mereka mengasah dan mengembangkan bakat dalam hafazan serta mendekatkan diri dengan al-Quran pada setiap masa,” katanya lagi.

Tahfiz Muda merupakan sebuah program realiti yang menguji dan mencungkil bakat kemahiran kanak-kanak yang berumur lingkungan antara 6 hingga 12 tahun terhadap kebolehan mereka dalam menghafaz kitab suci Al-Quran. Mengangkat tema Quranku, Sahabatku, program ini membawa penonton untuk menghayati Al-Quran sebagai panduan dan cahaya dalam hidup sekali gus menambahkan lagi ketaqwaan umat Islam kepada Allah SWT agar lebih gigih berusaha untuk memahami Al-Quran dan mengamalkannya.

Tahfiz Muda Iman

Tambah Ahmad Fuad, “Selain memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat untuk melihat sebuah program realiti kanak-kanak yang tidak terbatas hanya kepada kebolehan bernyanyi atau berlakon semata-mata, program ini juga dilihat mampu memberi suntikan positif kepada khalayak khususnya golongan anak muda masa kini dalam bidang keagamaan.

“Diharapkan program ini akan menjadi cetusan terbaik buat seluruh umat Islam tatkala melihat kehebatan kanak-kanak ini menghafaz Al-Quran sekali gus menerbitkan kesedaran serta mengajak seluruh umat Islam untuk menjadikan kitab suci ini sebagai teman hidup, tempat rujukan, mengadu nasib serta mengubat segala kesedihan dan keresahan jiwa,” ujarnya lagi.

Berikut merupakan senarai finalis akhir Tahfiz Muda:

No Nama Peserta Nama Penuh Umur Asal
1. Tahfiz Muda Aqil Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos 11 Perak
2. Tahfiz Muda Fatimah Fatimah Azzahra Bukhari 12 Perak
3. Tahfiz Muda Syadril Muhammad Syadril Idham Sable 11 Perak
4. Tahfiz Muda Amir Muhammad Amiruddin Mohd. Basir 9 Pulau Pinang
5. Tahfiz Muda Anas Muhammad Anas Ajwad Noor Hisham 10 Negeri Sembilan
6. Tahfiz Muda Iman Nurul Iman Kamila Norhisyam 8 Kedah

Pentas akhir Tahfiz Muda akan diadili 100 peratus menggunakan penjurian profesional di mana 3 nama besar yang berpengalaman luas dalam bidang hafazan dan tajwid telah diberikan tanggungjawab selaku juri tetap. Ustaz Zamri Zainuldin bertindak selaku sebagai Hakim Tajwid, PU Hafiz sebagai Hakim Hafazan dan Ustazah Sharifah Khasif sebagai Hakim Kreativiti dan Tarannum.

Program Tahfiz Muda ini juga menampilkan kelibat Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan sebagai pengacara untuk musim ini. Selain itu, program ini turut menyaksikan pembabitan Ustaz Don Daniyal sebagai Mursyid (Pembimbing) kepada para peserta Tahfiz Muda.

Setiap minggu, semua peserta akan menempuhi cabaran dan tema yang berbeza di mana mereka dikehendaki menghafal surah-surah yang terkandung di dalam juzuk 30. Manakala kriteria permarkahan akan dilihat kepada Tajwid, fashahah/kelancaran, Tarannum & Kreativiti, Personaliti dan keterampilan serta Asas Fardhu Ain. Tahfiz Muda musim pertama telah mendapat tajaan Almas Beauty & Health manakala Radio Sinar FM, THR Gegar dan Aplikasi radio Raku pula hadir sebagai Geng Ngaji. Portal dan aplikasi Salam Muslim pula dipilih selaku portal rasmi.

Terdahulu, seramai 121 calon telah mengikuti sesi uji bakat program Tahfiz Muda pada bulan Mac lalu di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan seramai 10 orang telah terpilih untuk menyertai musim pertama ini.. Selepas enam minggu bersiaran, program Tahfiz Muda akhirnya sampai ke kemuncak apabila pentas akhir program berlangsung dengan jayanya pada hari Sabtu, 21 Mei 2016 lalu di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Rakaman pentas akhir ini akan disiarkan di saluran Astro Oasis (106) dan siaran serentak di Astro Maya HD (135) pada hari Khamis, 26 Mei 2016 ini jam 9.00 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hafiz Hamidun Selebriti Malaysia Pertama Berkolaborasi Bersama Twitter

Fesyen Yuna Bergaya ‘High Taste’ di New York Magazine