in , ,

Kenali Empat Youtuber Travel Terkenal, Bagaimana Mereka Bermula?

Pencipta kandungan YouTube berkongsi bagaimana mereka menghidupkan semula semangat untuk mengembara dalam ‘Generasi YouTube’

Pelbagai jerayawara atau ‘roadshow’ pelancongan dan peruntukan bajet 2023 bagi industri pelancongan adalah bukti bahawa sektor ini sedang kembali kepada zaman pra-pandemik. Pelancong di rantau Asia-Pasifik juga merancang perjalanan mereka dengan lebih teliti berbanding sebelum ini, dan video dalam talian telah menjadi sumber penting bagi mereka. Lebih ketara, pelancong beralih ke YouTube secara khusus untuk mendapatkan idea dan maklumat untuk memulakan perjalanan mereka, menyelidik segala-galanya dari jenis percutian yang berbeza hingga pilihan penginapan dan banyak lagi.

Kenali Empat Youtuber Travel Terkenal, Bagaimana Mereka Bermula?

Panel ‘Generasi YouTube’ yang terkini oleh YouTube Malaysia telah mengumpulkan beberapa pencipta kandungan yang sedang meningkat naik, yang menjadi sumber inspirasi perjalanan bagi mereka yang sedang merancang pelancongan yang seterusnya – Muhammad Amir Arsad daripada saluran Amir Arsad, Muhammad Fikri Mohd Zamri daripada saluran Fikri ZamRi, Ivor Lim Xian Z daripada saluran Ivor Xian Z, dan Mohamad Khairul Jamain daripada saluran khairul jamain. Dalam edisi panel yang bertemakan ‘Have YouTube, Will Travel’ (‘Ada YouTube, Boleh Melancong’), para pencipta kandungan tersebut berkongsi bagaimana mereka menemui pengkhususan kandungan mereka, pandangan mereka mengenai pelancongan dan impak yang mereka sedang lakukan menerusi kandungan unik mereka di YouTube.

Kenali Empat Youtuber Travel Terkenal, Bagaimana Mereka Bermula?

(Dari kiri ke kanan) Mohamad Khairul Jamain; Muhammad Fikri Mohd Zamri; Loh Ben Jern, Ketua YouTube Malaysia; Ivor Lim Xian Z dan Muhammad Amir Arsad.

Amir, 33, pertama kali diperkenalkan ke dunia pengembaraan ketika dia membuka rumahnya untuk perkhidmatan ‘couch-surfing’ kepada pelancong yang melawat kawasan kediamannya di Batu Pahat, Johor. Ketika itulah dia bertemu dan berkenalan dengan pelancong atau backpacker lain dan belajar tentang pengalaman mereka.

“Rutin kerja harian saya sebagai peguam merupakan suatu tugas yang tetap dan tidak begitu mencabar bagi saya, itulah sebabnya saya memutuskan untuk mengambil cuti kerja selama setahun sebelum mencari pekerjaan saya yang seterusnya. Walau bagaimanapun, selepas setahun mengembara dan berbasikal, saya menjadi gian dan merancang untuk meneroka dunia dengan lebih banyak lagi. Pada masa yang sama, saya juga memuat naik video dan foto perjalanan saya di platform media sosial untuk menyimpannya sebagai kenangan peribadi dan menunjukkan kepada keluarga dan rakan-rakan saya. Semasa pandemik, orang ramai tidak dapat keluar dan mereka mengatasinya dengan menonton video YouTube yang menyebabkan salah satu video saya menjadi popular dan mendapat pengikut, mendorong saya untuk memuat naik lebih banyak kandungan,” kata Amir.

Dari segi sokongan keluarga, Amir berkata sukar untuk meyakinkan mereka tentang keputusannya untuk berhenti kerja dalam bidang profesional dan menjadi pencipta kandungan. Walau bagaimanapun, setelah dia memperoleh pendapatan yang stabil daripada YouTube, keluarganya yakin dan mula menyokong perjalanannya. Pendapatan yang diperolehi dari YouTube bukan sahaja membolehkan pengembara berbasikal kelahiran Johor itu melancong lebih banyak, tetapi dia juga telah membuka kafe di Terengganu di mana dia kini menetap.

Fikri, 29, sebelum ini berkecimpung dalam menghasilkan video kesan visual dan dokumentari sebelum mengasaskan syarikat produksinya sendiri. Pengalaman bekerja di agensi pengiklanan dan rumah produksi di masa lalu juga menjadikan Fikri lebih berpengalaman tentang selok-belok penghasilan video. Walaupun masih baru sebagai pencipta kandungan YouTube, video pelancongan sinematik beliau telah menarik minat jenama dan hotel antarabangsa untuk bekerjasama dengannya untuk mempromosikan premis dan destinasi mereka.

“Pada mulanya apabila PKP bermula, saya memutuskan untuk pulang ke kampung halaman saya di Kuantan, Pahang. Semasa berada di sana, saya melihat adik saya yang bermain permainan dalam talian dan menstrim di YouTube, dan mengetahui bahawa dia turut memperoleh pendapatan daripadanya. Memandangkan saya juga meluangkan masa menonton kandungan pelancongan dan perjalanan di YouTube, ia memberi inspirasi kepada saya untuk mula memuat naik kandungan perjalanan saya sendiri dan apabila sempadan negara dibuka semula, saya terus memulakan perjalanan saya,” kongsi Fikri.

Melangkau ke hari ini, Fikri telah menghasilkan banyak dokumentari perjalanan yang informatif dan menghiburkan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai untuk meneroka dunia di sekeliling mereka. Videonya sentiasa menjadi ‘hit’ – sehinggakan sebuah gerai ais krim kecil yang dipaparkan dalam videonya telah menjadi tarikan untuk dikunjungi oleh orang lain. Penjual ais krim itu juga telah menghubungi Fikri untuk mengucapkan terima kasih kerana mempromosikan gerainya sehingga dia dapat membeli trak ais krimnya sendiri. Maklum balas yang menyentuh hati dari perniagaan kecil tempatan menjadi motivasi bagi Fikri untuk menyampaikan lebih lagi kandungan.

Selepas menamatkan latihan dalam kamar, seluruh dunia telah disekat dan Ivor mula belajar tentang penyuntingan video, yang telah memberikannya pekerjaan sebagai pencipta kandungan untuk sebuah jenama. Pada masa yang sama, Ivor juga mula mencipta kandungan pelancongannya sendiri di media sosial. Oleh kerana minat semula jadi untuk mencuba perkara baharu dan mengalami tempat baharu, ulasannya sering kelihatan tulen, ia sering menimbulkan minat orang lain untuk mencubanya sendiri.

“Sebagai seorang yang suka melancong, saya mula berkongsi tentang pengalaman perjalanan saya di YouTube ketika saya sedang belajar di UK. Tetapi pengajian saya adalah keutamaan saya ketika itu dan saya tidak begitu fokus untuk mencipta kandungan YouTube. Semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, saya sukar mendapatkan pekerjaan di mana-mana firma guaman dan memutuskan untuk mempelajari kemahiran baru seperti menyunting video,” kata Ivor, yang ditawarkan pekerjaan sebagai penyunting video selepas salah satu video YouTube miliknya menjadi tular.

Kenali Empat Youtuber Travel Terkenal, Bagaimana Mereka Bermula?

Kini setelah dia memantapkan dirinya dalam industri penciptaan kandungan, Ivor yang berusia 28 tahun juga telah memulakan jenama e-dagangnya yang menjual produk penjagaan kulit. Daripada membuat pembungkusan yang mampan, mendapatkan bahan, dan membina laman web – dia kebanyakannya belajar cara melakukannya dari YouTube. Selain mencipta kandungan perjalanannya sendiri, dia juga memberi tumpuan untuk mencipta kandungan untuk jenama produknya. Dia lebih suka membuat kandungan format pendek kerana dia mendapati sukar untuk kekal konsisten dalam memuat naik video berdurasi panjang, satu keputusan yang ternyata sangat baik sekarang kerana dia telah mendapat sehingga berjuta-juta tontonan di YouTube Shorts sahaja.

Setiap orang mempunyai pengalaman perjalanan yang berbeza – dari tempat yang mereka kunjungi kepada orang yang mereka temui – bahkan ketika mereka mengunjungi lokasi yang sama. Merasakan bahawa pengalaman ‘backpacking’ selama empat tahun dari 2014 tidak seperti orang lain, Khairul, 30, kemudian memutuskan untuk berkongsi mengenainya di YouTube. Pada mulanya, dia mencipta kandungan perjalanan untuk saluran YouTube yang lain, tetapi tidak lama kemudian, dia menumpukan perhatiannya untuk membuat kandungan YouTube miliknya sendiri pada tahun 2019.

“Pada masa itu, YouTube adalah platform pilihan saya kerana ia membolehkan saya memuat naik video yang lebih lama berbanding platform media sosial lain. Kemudian saya mula melihat penonton saya memberi reaksi terhadap video penceritaan saya, dan akhirnya membina kumpulan peminat yang mengenali saya sebagai KJ, seorang pengembara muda yang telah mengembara ke beberapa negara Asia,” katanya, sambil menambah bahawa orang-orang Jepun mempunyai tempat yang istimewa di hatinya kerana sikap mereka yang sangat sopan.

Khairul pernah tinggal bersama komuniti termiskin di Afrika dan kini apabila dia berurusan dengan golongan orang kaya untuk perniagaan, dia menyedari bahawa terdapat jurang antara komuniti tersebut yang boleh dirapatkan. Oleh itu, ke mana sahaja dia pergi, dia akan menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan dan pengumpulan dana untuk membangunkan komuniti yang memerlukan. Baginya, melancong bukan hanya untuk perasaan gembira, tetapi lebih kepada apa yang boleh dipelajari daripada orang lain untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia dan mencari apa yang boleh dilakukannya untuk membantu membangunkan komuniti dan generasi semasa.

Kisah kejayaan para pencipta ini adalah bukti keupayaan mereka untuk belajar daripada kesilapan mereka dan menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, serta peringatan tentang keupayaan YouTube untuk memberi setiap orang suara untuk mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan orang yang berfikiran sedemikian. Lawati saluran mereka untuk melihat perkongsian mereka yang terkini: Amir Arsad, Fikri ZamRi, Ivor Xian Z, dan khairul jamain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fakulti Pendidikan UKM & PTTI Jalin Kerjasama Membina Rangkaian 

Sekitar Malam Media Anjuran Sarawak Tourism Board Yang Meriah