in , ,

Drama Hikayat Pak Belalang Lakonan Bell Ngasri, Adik Haziq & Ruhainies

Drama terbaharu Astro Ceria yang akan memberikan satu kelainan yang baharu buat para penonton telah mula ditayangkan di kaca televisyen.

Hikayat Pak Belalang merupakan sebuah drama yang berkonsepkan komedia keluarga dan fantasi dongeng tempatan yang sesuai ditonton seisi keluarga.

Lakonan hebat dari pelakon tanah air seperti Dato’ Jalaluddin Hassan, Bell Ngasri, Adik Haziq dan Ruhainies ini akan memberikan satu kepuasan buat para penonton yang mengidamkan sebuah drama dongeng melayu.

Drama ini mengisahkan Belalang dan ayahnya, Pak Belalang yang berhadapan dengan pelbagai masalah apabila bapanya menyamar untuk menjadi seorang ahli nujum.

Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah drama yang diinspirasikan daripada filem arahan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Itu yang perlu dilalui pengarah, Razif Ajiboy bagi menghasilkan drama Hikayat Pak Belalang yang kini rancak disiarkan menerusi siaran Astro Ceria.

Sidang Media Home of Kids

Razif berkata, dia berusaha menyelitkan kelainan dalam drama tersebut walaupun alur ceritanya diilhamkan daripada filem popular tersebut.

“Cabaran untuk pembikinan drama ini ialah bagaimana untuk mengelak daripada tidak meniru 100 peratus idea P. Ramlee tambahan pula filem tersebut sangat ikonik dan diingati ramai.

“Jujurnya untuk keluar daripada sentuhan P. Ramlee sangat susah sebab kita semua membesar dengan filem-filem arahannya,” katanya pada sidang akhbar drama terbabit, baru-baru ini.

Dia bagaimanapun bersyukur kelainan tercetus dalam drama tersebut adalah hasil idea dan tenaga kerja daripada setiap pelakon yang terlibat seperti Bell Ngasri, Haziq, Datuk Jalaluddin Hassan, Ruhainies dan Amy Mastura.

“Kerisauan saya akhirnya menjadi minima apabila para pelakon yang membarisi drama ini hebat-hebat belaka, daripada aspek lakonan memang sangat berbeza.

“Kemudian dapat bekerjasama dengan Bell juga sangat mencabar kerana terlalu banyak sangat idea diberi.

“Perkara itu bagus tetapi kalau nak ambil semua idea, tiga tahun pun tidak cukup untuk tamatkan drama ini,” ujarnya.

Selain itu, dia juga berkata, kelainan lain yang dilakukan untuk naskhah tersebut ialah penamat jalan cerita serta penambahan watak.

“Penamat drama ini berbeza daripada filem Nujum Pak Belalang. Jalan cerita pula sangat kelakar tetap padat dengan nilai-nilai murni.

“Kemudian kami tampilkan karakter serangga belalang bernama Hijau iaitu sahabat kepada watak Haziq. Semua itu tiada dalam filem P. Ramlee,” katanya lagi.

Watak ikonik

Sementara itu, Bell Ngasri yang menerajui watak Nujum Pak Belalang mengakui amat gementar memegang karakter yang sangat sinonim dengan P. Ramlee.

Kongsinya, dia berusaha untuk memberi kelainan, namun tidak boleh terlalu tersasar daripada watak asal.

Sidang Media Home of Kids

“Pada awalnya memang sukar untuk saya bawakan kelainan sebab watak itu sudah terlalu gah.

“Saya ada juga tiru cara penyampaian watak, lawak dan dialog seperti P. Ramlee tetapi bukan 100 peratus.

“Harap penonton suka dan berpuas hati dengan hasil yang dipersembahkan oleh kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon cilik, Haziq Asyraf pula teruja apabila diberi peluang memegang watak Belalang untuk drama ini.

THE KIDS ASTRO

Ujarnya, dia juga mudah mendapatkan keserasian dengan Bell yang menjadi bapanya dalam drama tersebut.

“Sebelum ini saya selalu jadi pengacara dalam media sosial sahaja kemudian apabila berpeluang berlakon drama, memang seronok.

“Paling teruja dapat banyak ilmu daripada barisan pelakon dan pengarah kerana mengajar saya pelbagai perkara berkaitan penggambaran yang sebelum ini sangat asing untuk saya,” tuturnya.

Drama yang sudah menemui penonton bermula 11 Disember lalu itu boleh ditonton menerusi siaran 601 Astro Ceria setiap hari Isnin pada pukul 9 malam.

Hikayat Pak Belalang terbitan Zeel Production merupakan drama pertama bagi francais ‘hikayat’ yang bakal diikuti dengan Hikayat Bawang Merah Bawang Putih pada tahun depan.

Hikayat Pak Belalang telah mula ditayangkan bermula 11 Disember, pada setiap hari Isnin jam 9 malam di Astro Ceria 611 dan AstroGo.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem THE LORD MUSANG KING Satukan Pelakon Malaysia & Korea Selatan

DANIAL CHUER

Danial Chuer Meneraju Kuliah Komposisi UiTM Dalam Pembikinan Konsert