in , ,

Bulan, Runut Bunyi Filem Pagari Bulan Namira Dapat Perhatian Ramai

PASTI ramai yang sudah mendengar lagu BULAN yang merupakan runut bunyi atau OST (original sound track) bagi filem Pagari Bulan, arahan Ts Raja Mukhriz yang ditayangkan di seluruh pawagam dan saluran digital OTT bermula 5 Oktober lalu.

Selepas diperkenalkan semasa Tayangan Malam Gala filem itu, ramai yang sibuk mencari siapakah penyanyi lagu Bulan kerana lagu itu amat menyentuh hati tatkala mendengarnya.

Siapa sangka, lagu BULAN yang berentak pop balada itu membawa tuah kepada penyanyi bersuara lunak – Namira. Beliau bukan setakat menyanyi, malah turut mencipta dan menulis lirik untuk lagu yang dihasilkannya pada 2020 itu.

Namira atau nama sebenarnya Amira binti Aman, 30, yang berasal dari Kuala Lumpur, tak sangka lagu tersebut menjadi pilihan pengarah ternama iaitu Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi filem arahannya.

“Lagu Bulan ini, saya cipta kira-kira dua tahun lalu berbekalkan inspirasi kepada seseorang yang saya cintai. Namun, sayangnya kami tiada jodoh apabila hubungan itu putus dan terjadilah jalan cerita lagu ini yang berkisar pada cinta tidak kesampaian.

“Sewaktu pihak Saudagar Seni memperdengarkan demo lagu tersebut kepada Sharifah Shahora selaku penerbit filem, beliau sangat berminat lalu meminta lagu tersebut dikongsi kepada Raja Mukhriz. Paling mengejutkan pengarah itu terus bersetuju untuk menjadikan BULAN sebagai OST filem Pagari Bulan. Raja Mukhriz kata, lagu itu sesuai dengan jalan cerita tersebut. Dia juga kata lagu itu ada roh dan bila diputarkan berulang kali seakan-akan sebak menyelubungi hati. Alhamdulillah, lagu tersebut berjaya menyentuh hati orang yang mendengarnya.” Jelas Namira.

NAMIRA

Mengulas kerjasama dengan Sharifah Shahora selaku penerbit filem Pagari Bulan, Namira berkata dia segan pada mulanya dengan Sharifah Shahora kerana sudah menonton lakonan pelakon itu sejak kecil lagi.

“Tapi, kak Sharifah Shahora ini sangat baik orangnya, suka membantu dan tidak berkira. Dia juga banyak kongsi pengalaman bagaimana nak ‘survive’ dalam industri yang saya nak masuk ini. Dia (Sharifah Shahora) tak kedekut ilmu, banyak tolong saya dalam banyak perkara. Seorang yang boleh bertoleransi, sangat ‘supportive’ terutama dari segi wardrobe. Senang hati sangat saya bekerjasama dengannya.
“Selain itu juga, Cat Farish sebagai penerbit lagu sangat memberi pengalaman berharga, segalanya kerana saya boleh ‘click’ dengan cepat bersama pasukan kerjanya. Tidak stres langsung hingga dapat siapkan rakaman lagu Bulan dalam tempoh hampir 4 jam yang dibuat pada Ogos lalu,” katanya.

Bagai BULAN jatuh ke riba!

Penerbit Eleven Field Creative, Sharifah Shahora pula berkata, dia berminat dengan lagu Bulan ciptaan dan nyanyian Namira itu untuk dijadikan lagu OST filem Pagari Bulan kerana lirik yang sangat sesuai dengan pengkisahan filem berkenaan. Filem Pagari Bulan mengangkat kisah ‘Wanita Penghibur’ pada era penjajahan tentera Jepun.

“Saya sudah lama kenal dengan Azmi Jamsari pemilik Saudagar Seni dan kami bertemu waktu itu kerana kucing. Dalam pada berborak perihal industri seni, saya juga bertanya padanya mengenai lagu untuk dijadikan OST filem Pagari Bulan.

“Dia kata, pihaknya ada lagu sesuai dan minta saya dengar dulu. Selepas mendengarnya, saya suka melodi dan liriknya tapi lagu itu mempunyai tempo moderate pula. Apabila dikongsi dengan pengarah iaitu Raja Mukhriz, dia terus berminat dan mahu lagu tersebut dilamar. Saya kata dengan Azmi, boleh tak kalau nak buat susunan muzik semula dengan tempo yang perlahan sedikit dan dia bersetuju.

“Saya pun minta Cat Farish untuk buat susunan muzik semula lagu itu dan kekal Namira sebagai penyanyi. Saya pilih Namira sebab lagu Bulan itu adalah ciptaannya dan vokalnya juga sesuai,” katanya.

“Oleh kerana garis masa yang terhad, saya dan Azmi bersetuju untuk merakamkan muzik video Bulan ini serentak sewaktu proses rakaman suara berlangsung. Saya bersyukur kerana segalanya berjaya dibuat seperti dirancang,” tambahnya lagi.

Menurut Sharifah Shahora, dia juga melihat Namira mempunyai bakat dan potensi untuk terus digilap dan wajar diberikan peluang kerana wanita itu turut menunjukkan kesungguhan dan komited dalam menggalas tanggungjawab.

NAMIRA

Bakat dan ilmu perlu seiring

ADA orang perjalanannya untuk mengejar impian berlaku dengan mudah, ada orang pula yang harus melalui dugaan berliku sehingga perlu berasa kecewa, sedih dan putus asa. Begitulah juga pengalaman pernah dilalui pendatang baharu seni suara, Namira, 30, yang kini hadir dengan single pertama berjudul Bulan, hasil ciptaan dan lirik yang ditulis sendiri berdasarkan kisah hidupnya.
“Saya sebenarnya sudah sampai tahap berserah pada Allah saja. Ada rezeki saya, adalah dan kalau tak ada mungkin karier seni bukan untuk saya. Banyak dugaan sudah saya lalui dalam perjuangan untuk minat terhadap muzik ini.

Berbicara juga minat mendalamnya terhadap nyayian, Namira berkata, minat sudah berputik sejak dia masih kanak-kanak apabila selalu menyertai apa saja pertandingan menyanyi sejak di alam persekolahan.

“Menyertai pertandingan menyanyi adalah kesukaan saya tanpa fikir menang atau kalah. Cuma, minat saya terhadap muzik terus pupuk ketika melanjutkan pengajian diploma di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 2011.

“Saya mengambil jurusan muzik dalam pengkhususan gitar klasik selama tiga tahun, diikuti kemudiannya tiga tahun lagi dalam jurusan penciptaan lagu dan susunan muzik pula.

“Selepas tamat pengajian, saya pernah jadi ‘backup musician’ untuk program Teh Tarik Che Ta di RTM pada 2016. Kemudian, saya dapat rezeki sebagai pengacara program travelog, Sneakers Merah Jambu di RTM yang disiarkan pada 2017,” katanya.

“Berbekalkan pengalaman dengan kepelbagaian cabang seni membuatkan saya matang bersama masa. Ilmu yang saya perolehi ini akan digunakan sebaik mungkin. Insyaallah, saya menawarkan pakej lengkap sebagai artis yang mampu menyanyi, mencipta lagu dan lirik, mengacara dan juga bermain muzik.

“Sebelum ini juga saya telah banyak menghasilkan lagu ‘jingle’ bagi produk iklan. Cuma keberanian untuk menawarkan lagu kepada penyanyi lain belum tiba. Mungkin inilah masanya saya memperkenalkan jenama Namira kepada penggiat seni agar kehadiran saya memberi manfaat kepada industri hiburan Malaysia khususnya.

“Saya bersedia memberikan karya saya pada mereka yang berminat kerana saya ada koleksi lagu yang sudah siap. Lagu-lagu ciptaan saya selain tema cinta, ada juga berkisar tentang kemanusian tapi lebih bersifat umum dan sesuai untuk semua lapisan usia,” katanya

Bagi yang ingin mengikuti Namira boleh ke semua platform media sosial dengan nama @theofficialnamira. Selain itu, Muzik Video boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Azmi Jamsari di talian +60 16-317 1222

Lagu : BULAN
Penyanyi : NAMIRA
Pencipta Lagu / Lirik : Namira / Namira
Publishing : Saudagar Seni SS
Hakmilik Lagu : Eleven Field Creative / Saudagar Seni SS
Susunan Muzik: Suffren ghafar
Penerbit lagu : Cat Farish
Rakaman & Mixing oleh illegal studio : Platinum Studio Production

Pabila kau menyebut namaku,
Kau buatku terdiam terpaku,
Bisikan kata cinta mu membunuhku,
Membuatku selalu merindukan mu.

*pre chorus
Tiada apa yang ku mahu,
Hanyalah satu.

**Chorus:
Kamu….. kamu…. kamu….
Tapi ku tak mampu,
Untuk terus bersamamu.

Mungkin hanya Dia yang mengerti,
Rasa cinta yang lama terpatri,
Kau hanya mampu dengar keluhanku,
Yang tahu caraku untuk mencintai mu.

Ulang *pre chorus
Ulang **Chorus

Cintamu ‘kan terus hidup bersamaku,
Walaupun tanpa mu takdirnya begitu,
Selagi hayat dikandung badan,
Enggan terdiam pagari bulan

Cinta.. takdir begitu,
Enggan terdiam pagari bulan.

Apa yang ku mahu
Hanyalah satu

Ulang **Chorus

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Afdlin Shauki Rasa Bahagia & Tenang Semula Lepas Dua Bulan Berkahwin

Sokongan Tanpa Had TM Untuk Harimau Malaya Dengan Prabayar UNI5G