in ,

Azhari Zain Pengarah Berjiwa Besar, Selamat Dikebumikan di Meru Klang

Menurut isterinya, Wahizatul, arwah seorang yang jiwa besar dan mempunyai cita-cita untuk melakukan sesuatu yang besar untuk industri perfileman.

Jenazah pengarah filem yang juga ahli akademik, Azhari Mohd Zain, 50 telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Paip, Meru Klang, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pengebumian itu telah dihadiri ramai ahli keluarga, sanak-saudara serta teman-teman seperjuangan Allahyarham sama ada di dalam bidang akademik mahupun industri perfileman.

Beberapa penggiat filem seperti Prof Datuk Razak Mohaideen dan Aziz M Osman pula telah memberikan penghormatan lebih awal sewaktu jenazah beliau dimandikan dan dikapankan di Masjid Ar-Raudhah, Puncak Perdana, Shah Alam.

Manakala yang kelihatan di dalam pengebumian itu adalah Presiden Pertubuhan Malaysia Cinematic Auteurs Guild (MCAG), Khir Rahman, Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah, Ustaz Akhil Hayy, Waheeda, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal serta penggiat-penggiat seni di belakang tabir

Isteri Allahyarham Azhari, Wahizatul Nureen Azmi yang tidak dapat menahan sebak berkata, sewaktu hayat arwah masih ada, beliau memang mengalami kesukaran untuk mendapatkan oksigen.

“Arwah menghidap strok (angin ahmar) dan 9 bulan terlantar di rumah. Strok yang dihidapinya juga bukan strok yang biasa-biasa.

“Sewaktu mula dimasukkan ke ICU awal tahun ini, lehernya terpaksa ditebuk untuk membantu memudahkan pernafasan,” katanya.

Menurut Wahizatul lagi, arwah seorang yang jiwa besar dan mempunyai cita-cita untuk melakukan sesuatu yang besar untuk industri (perfileman).

“Dia juga sedang habiskan pengajian PHDnya,” katanya.

Dari segi karakter pula, kata Wahizatul, siapa yang mengenali arwah pastinya tahu bahawa suaminya itu seorang yang peramah, kelakar dan suka memberikan semangat kepada orang lain.

“Kalau tanyakan kepada rakan-rakan mahu pun pelajar-pelajarnya, memang begitulah dia. Dia suka mendorong untuk berbuat sesuatu,” katanya.

Sebagai seorang pensyarah dan ahli motivasi, Wahizatul memberitahu, arwah sering memberikan perkongsian yang berguna buat anak-anaknya.

“Untuk anak lelaki pula dia sering memberitahu bahawa dia adalah ‘big man’ di dalam keluarga. Selain itu, dia mahu kami semua bersatu. Apa pun yang terjadi, dia mahu kami sentiasa bersama. Dia tahu jiwa saya kuat untuk besarkan anak-anak,” katanya dengan sebak.

Sepanjang mendirikan rumahtangga, arwah dan Wahizatul telah dikurniakan tiga cahaya mata (dua perempuan dan seorang lelaki) yang berusia 16 tahun, 5 tahun dan 3 tahun.

Arwah yang lebih dikenali sebagai Zack di kalangan teman-teman seperjuangan di dalam industri perfileman memulakan kerjaya seninya sebagai pelakon dan penulis lakon layar untuk sebahagian filem-filem arahan Prof Razak Mohaideen.

Antaranya, Tangkai Jering, Potret Mistik, Cinta Fotokopi, Anak Mami Kembali, Bujang Senang, Nana Tanjung, Nana Tanjung 2 dan Duyung.

Kerjaya pengarahan filemnya bermula menerusi filem Jin Notti pada 2006 yang menggandingkan Fara Fauzana dan Mawi sebagai teraju utama.

Sejak itu, Azhari telah menghasilkan lebih daripada 15 filem termasuk Santau, Zoo, Mantra, Flat 3A, Keramat dan Hantu Dalam Botol Kicap.

Filem terakhir yang beliau arahkan adalah Siku 12: Langkah Derhaka yang telah pun ditayangkan pada Oktober lalu.

Walaupun pun bergiat aktif di dalam bidang pengarahan filem, Azhari juga turut memegang jawatan sebagai pensyarah kanan Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan MCAG.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di fakulti yang sama di institut pengajian tinggi tersebut.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman, Al- Fatihah. – Getaran

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

UNGKU ISMAIL AZIZ

Ungku Ismail Mengaku Sedang Kenal Hati Budi & Rapat dengan Nad Zainal

“Antibodi Menurun, Pelawat Tidak Digalak Datang Wad” – Rakan Nad Zainal