in , ,

Axiata Arena Dipilih Jadi Lokasi Konsert Sebuah Epitome Siti Nurhaliza

Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan tempahan Axiata Arena, Bukit Jalil sebagai lokasi Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, Mac depan, sudah dibuat sejak beberapa bulan lalu.

Siti menganggap cakap-cakap berhubung lokasi konsert yang dikatakan sesuai dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan perbandingan antara dirinya dan kumpulan Britain, Coldplay yang baru-baru ini mementaskan konsert di lokasi ikonik itu, ditimbulkan ‘orang luar’.

“Konsert di Axiata Arena sudah saya maklumkan dalam media sosial. Insya-Allah, esok tiket akan mula dijual. Soal lokasi, itu adalah rezeki yang datang.

“Sebenarnya, saya sudah ‘booked’ lama di Axiata Arena. Tidaklah sampai setahun, tetapi sejak beberapa bulan lalu.

Cuma, saya tidak pasti lagi kerana (projek konsert) masih dalam perancangan. Alhamdulillah, sudah ada kata putus. Itulah yang kita umumkan beberapa hari lalu.

“Soal lokasi hanya ditimbulkan ‘orang luar’ yang membandingkan dengan konsert Coldplay… Tiada kena mengena langsung. Kami sudah rencanakan konsert ini di Axiata, sejak beberapa bulan lalu,” katanya ditemui di program Master Class: Evolution Expert anjuran Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UM), Kampus UM Cyberjaya.

Pada program itu, Siti, 44, berkongsi perjalanan dirinya sebagai anak seni dan kepayahan untuk bergelar usahawan.

Antara dikongsi, pengalaman menganjurkan konsert pertama di Stadium Putra, Bukit Jalil, menggunakan bajet sendiri pada usia 20 tahun.

Sebelum ini, ada pihak sering mengaitkan Siti dengan sebarang acara besar yang dianjurkan di SNBJ.

Siti berkata, pada Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang dipentaskan pada 9 Mac depan , beliau bakal mendendangkan lebih 20 lagu.

“Seperti amalan standard, lebih 20 lagu untuk konsert dua jam. Tetapi untuk maklumat lanjut, tunggu sidang media, lebih seronok bercerita,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Promosi Pemberian Perayaan Samsung Bikin Pembeli Puas Hati & Happy!

GOPRO

GoPro Creator Summit APAC Berjaya Teroka Kembara Menarik di Davao