in , ,

AIFFA 2023 Bakal Umum Nama Selebriti Jemputan Pada 20 Julai Ini

Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) kembali diadakan secara fizikal pada 2 hingga 4 Ogos depan di Kuching, Sarawak. Ramai tertanya siapakah selebriti antarabangsa yang dijemput untuk memeriahkan acara dwi-tahunan ini?

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong penganjuran AIFFA 2023 iaitu festival filem yang menjadi platform penyatuan idea dalam komuniti perfileman di kalangan negara ASEAN.

“Kami bangga dapat menyokong AIFFA 2023 yang akan kembali diadakan di Kuching pada Ogos depan. Kali terakhir acara ini diadakan pada 2019 dan tiada acara fizikal diadakan berikutan pandemik COVID-19 pada 2021.

“Namun, apa yang boleh saya cakap AIFFA mempunyai hubungan sangat rapat, di mana kami membawa penggiat industri perfileman di ASEAN ke acara ini.

“Ada yang bertanya siapa selebriti yang akan dijemput, tahun ini. Namun, saya tak boleh umumkan hari ini, tetapi saya percaya bila ia diumumkan, selebriti ini akan menarik perhatian ramai terutamanya di Sarawak.

“Dari penganjuran AIFFA pertama hingga sekarang kami pernah menerima kehadiran artis ternama seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Jackie Chan, Donnie Yen dan Steven Seagal yang pernah hadir pada AIFFA 2019.

Saya perasan AIFFA ada ‘feng shui’ tersendiri, sebab ramai antara kita tak perasaan AIFFA pertama dihoskan oleh Henry Golding.

“Beliau kurang dikenali dan kami ada mencuba mahu membawanya, tetapi tak boleh disebabkan mempunyai banyak komitmen. Kalau bawa balik pun kami kena bayar jutaan ringgit, tetapi kami gembira dapat jadi sebahagian kejayaan artis sepertinya,” katanya kepada BH Online.

Abdul Karim ditemui pada majlis pelancaran AIFFA 2023 di Pawagam Jalan Ampas, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, banyak aktiviti dan program akan diadakan sepanjang tiga hari festival ini berlangsung dan ia juga diadakan sempena sambutan Sambutan Hari Sarawak Ke-60.

“Tidak hanya itu, buat kali pertama AIFFA akan menayangkan filem tempatan iaitu Sumpahan Jerunai. Kami berbangga apabila kita akan tengok filem tempatan dipilih sebagai filem pembukaan di Kuching,” katanya.

Turut hadir adalah Rektor ASWARA, Profesor Ts Dr Ruslan Abdul Rahim dan Pengarah AIFFA, Livan Tajang.

Sementara itu, Pengarah AIFFA 2023, Livan Tajang berkata, festival filem yang mula diadakan pada 2013 itu menyaksikan 121 penyertaan filem sekitar ASEAN yang ditayangkan antara 2020 sehingga 2022.

“Kami menganjurkan AIFFA sejak 2013 dan sekarang, sudah 10 tahun. Pada awalnya, ia tidak mudah, terutamanya bagaimana nak meyakinkan orang datang ke Kuching.

“Selepas empat festival dianjurkan termasuk pada 2021 dalam talian dan kami kembali buat edisi keenam. Kami sudah menerima 121 karya sekitar ASEAN, manakala 31 filem dari Malaysia.

“Tak mudah menganjurkan festival filem dan terima kasih penggiat filem kerana memberi kerjasama kepada kami. Tahun ini, ada banyak kejutan dan drama, jadi saya percaya festival ini akan memberikan satu kejayaan sebab ramai yang popular datang menyokong AIFFA 2023.

“Antara sesuatu yang baharu, kami menambah pertandingan buat pelajar universiti iaitu Pertandingan Filem Pendek Universiti Inter-ASEAN. Setakat ini, 50 karya dari seluruh ASEAN dan kami akan umumkan pada hari pembukaan nanti,” katanya.

Malam Gala AIFFA 2023 akan berlangsung pada 4 Ogos akan menyaksikan 17 kategori dipertandingkan meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal penghasilan filem.

Barisan juri buat AIFFA 2023 adalah U-Wei Saari dan Effendee Mazlan dari Malaysia, Ihsan Nurullah Kabil (Turkiye) Viva Westi (Indonesia) dan Pham Thi Hong An (Vietnam).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kempen Together for Tomorrow Sempena Ulang Tahun Kao Ke-50

Sarawak Sasar Tiga Juta Pelancong Sempena AIFFA 2023 di Kuching