in , , ,

Sarawak Sasar Tiga Juta Pelancong Sempena AIFFA 2023 di Kuching

Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yakin mampu mencapai sasaran lebih tiga juta pelancong ke negerinya menjelang akhir tahun ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, jumlah itu juga dipercayai akan dirancakkan lagi menerusi penganjuran Festival Filem Antarabangsa Asia (AIFFA) yang akan berlangsung bermula 2 hingga 4 Ogos ini.

“Kami yakin apa sahaja program atau acara yang melibatkan selebriti dan artis mesti akan ada anjakan dari segi jumlah kemasukan pengunjung atau pelancong.

“Menerusi penganjuran AIFFA 2023 ini juga, kita yakin dapat menerima impak yang positif. Ini adalah cara kita di kementerian dan agensi-agensi di bawah kami untuk merancakkan ekonomi di Sarawak.

“Menerusi sektor pelancongan dan acara-acara yang menarik di bumi kenyalang, kami memang agresif melakukan promosi bahkan sehingga ke Eropah,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran AIFFA 2023 yang diadakan di sini, hari ini.

Selain itu, jelas Abdul Karim, kementerian juga pada masa ini berusaha keras untuk menaikkan prestasi pemulihan sektor pelancongan Sarawak termasuk antarabangsa.

Malah katanya, sehingga April tahun ini, Sarawak menerima 1.30 juta pelancong dengan peningkatan sebanyak 315.41 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada tahun 2022, Sarawak menerima 2.03 juta pelawat iaitu meningkat sebanyak 761.84 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

“Dalam tempih sebulan, kita menerima purata kunjungan pelawat seramai 400,000 orang namun dijangkakan lebih lagi sempena penganjuran AIFFA 2023 ini.

“Program atau acara pula tidak terhad cuma diadakan di Kuching sahaja. Tetapi ia meliputi banyak tempat lain seperti di Sibu, Miri, Bintulu dan Sri Aman. Itu menunjukkan bagaimana agresif kami mempromosikan negeri kami,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang berkata, penganjuran festival ini menyaksikan kali pertama diadakan selepas empat tahun tertangguh akibat pandemik.

Menurutnya, AIFFA 2023 edisi keenam ini berjaya mendapat sokongan memberansangkan daripada pembuat filem dari 10 negara Asia dengan sejumlah 120 penyertaan diterima

“Penyertaan yang diterima akan disenaraipendekkan kepada 30 dan 40 penyertaan sahaja oleh para juri dari negara Asia yang diketuai oleh Penerbit Filem Malaysia iaitu U-Wei Saari setelah melalui tiga fasa penilaian.Pemenang akan diumumkan semasa Malam Gala dan Anugerah AIFFA 2023 kelak,”katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak dengan kerjasama rangkaian PR ASEAN yang berpangkalan di Jakarta buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Filem Pendek (ASUS) Universiti Asean SDG AIFFA 2023 dan penyertaan adalah terhad kepada Universiti di Asia sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat banyak aktiviti yang bakal diadakan terbuka untuk orang awam sepanjang berlangsungnya AIFFA 2023 bertempat di Old Court House.

Antaranya adalah ceramah filem, bengkel khas selama satu hari setengah mengenai Filem Dokumentari dan Tayangan dan terdapat juga Pameran AIFFA 2023 daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan pertubuhan filem yang lain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AIFFA 2023 Bakal Umum Nama Selebriti Jemputan Pada 20 Julai Ini

AIFFA 2023 Kekalkan Keunikan, Bakal Menjanjikan Kelainan