in , ,

Ulasan Filem CHERMIN, Tentang Pos Produksi & Visual

Esok, tanggal 22 Mac merupakan tarikh pembukaan tayangan filem Chermin di pawagam seluruh Malaysia. Persoalan, apakah filem ini bakal merubah sesuatu dimensi bagi filem genre seram di negara kita? Jawapannya terserah pada anda.

Usah bezakan dengan filem-filem luar kerana saya kira filem tempatan sudah menampakkan sedikit anjakan yang bakal merubah sejarah perfileman negara. Apakah pendapat saya ini benar-benar jadi nyata? Itu terserah pada anda yang menontonnnya untuk menilai sendiri.

Saya sebenarnya betul-betul kagum dengan cara pembikinan filem ini. Walaupun demikian, saya merasakan team produksi seharusnya memperbanyakkan lagi promosi-promosi agar filem ini terus dekat dan diketahui oleh khalayak.

PRODUKSI
Chermin adalah sebuah filem seram yang indah. Filem berdurasi selama 1 jam 50 minit ini digarap dengan tujuan untuk memberi penonton mimpi ngeri dan bukan sekadar menakutkan penonton dalam masa yang singkat.

Elemen emosi memainkan peranan penting di mana filem ini menagih tumpuan penonton untuk merasai perasaan dari gerak pelakon itu sendiri.

Bagi pengarah filem, Zarina Abdullah, Chermin bukan filem seram Asia yang tipikal dengan jalan ceritanya yang berkerat-kerat tetapi satu filem ‘seram yang menghantui dengan indah’ di mana sebuah cermin merupakan watak utamanya.

Saya kira, elemen emosi cinta, dendam dan pergolakan perasaan manusia dalam CHERMIN agak klise namun kelainan yang ditonjolkan boleh membuat penonton terpesona dengan karisma para pelakon dan gaya olahan yang menarik. Pelakon tidak dapat lari dari adegan flashback untuk filem frame dua zaman seperti ini. Masa dulu dan masa sekarang, filem ini menunjukkan satu senario yang berbeza walaupun menggunakan elemen cerita yang sama.

Ia adalah sebuah cerita di mana anda bersimpati dengan hantu sebagaimana anda bersimpati terhadap mangsanya. Ia juga merupakan filem seram wanita di mana sebahagian besar watak utamanya adalah wanita dan isu-isu seperti cinta, perkahwinan-perkahwinan yang diatur, megah diri merupakan tema-tema utama dalam filem ini.

Ia juga merupakan satu filem yang menggambarkan banyak kehidupan kampung Melayu tempatan dengan babak-babak yang menggambarkan doa selamat, perkahwinan Melayu yang mewah serta lakonan babak menghalau hantu yang realistik.

Oleh kerana Zarina ialah peminat filem-filem seram klasik seperti filem asal The Haunting, Psycho, Dracula, Pontianak, The Exorcist dan The Shining, dia ingin membuat sesuatu dalam gaya yang sama tetapi bertempat di kampung Melayu yang bertradisi dengan suatu susukan ngeri negara-negara Asia.

“Saya ingin memaparkan satu babak menghalau hantu cara Islam yang realistik, yang tidak pernah ditayangkan dalam filem.”

Ia juga mempersembahkan kedua-dua babak bertempat pada zaman 1930an dan babak zaman kontemporari moden.

Skrip untuk Chermin bermula pada tahun 2003 selepas Zarina tamat sekolah perfileman. Pada masa itu, ia dikenali sebagai Bayangan Cermin. Selepas beberapa draf, ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Kami menggubah tajuknya kepada Chermin kerana ia merupakan satu cerita mengenai cermin antik yang dihantui, dan judul dengan satu perkataan adalah lebih mudah diingati.”

– Zarina

Inspirasi skripnya adalah keinginan Zarina menulis satu cerita berkenaan dengan satu objek, sebuah cermin, dan sebagai peminat filem-filem seram yang klasik, dia ingin membuat satu filem seram dengan jalan cerita menyayat hati yang mendalam dengan watak-watak wanita yang kuat dan bukannya perasaan ketakutan yang berlalu dengan cepat atau mempunyai jalan cerita berkerat-kerat yang tipikal untuk filem seram Asia.

“Saya telah muak dengan hantu wanita tipikal yang berkostum putih dan berambut hitam memanjang, saya inginkan hantu saya seorang yang jelita dan hampir kemanusiaan. Manusia adalah lebih menakutkan daripada hantu”.

Pre-produksi untuk filem ini telah bermula dalam bulan Jun 2005.

SEBALIK KISAH DARI FILEM CERMIN
Cermin sendirinya merupakan satu watak utama dalam filem ini, dan kerja-kerja telah bermula pada Julai 2005.

Setelah menyelidiki beberapa rekabentuk, cermin berkenaan telah direkabentuk oleh pengukir kayu tradisi tempatan. Sungguh susah untuk mencari cermin yang sempurna, jadi kami pergi dan menjumpai seorang pengukir kayu tradisi tempatan, Encik Prayitno Sunar dari Ukiran Kayu Artha, dan bekerja rapat dengannya untuk mencipta cermin berhantu yang sempurna.

LOKASI FILEM CHERMIN
Satu lagi watak penting dalam filem ini ialah rumah. “Saya ingin mencari sebuah rumah kampung Melayu yang tipikal tetapi berdekatan dengan Kuala Lumpur. Ia tidak semudah yang saya sangkakan.” Rumah di mana bertempatnya sebahagian besar babak cerita telah ditemui secara tidak bersengaja.

“Saya tengah memelit majalah lama 10 tahun kebelakangan milik ibu saya dan terserempak dengan gambar sebuah rumah kampung yang cantik terletak di Janda Baik. Kami menuju ke Janda Baik untuk meninjau lokasi, tunjukkan gambar rumah tersebut kepada seorang pemandu setempat dan kami dibawa ke Villa Khasro. Apa yang mengagumkan ialah terdapatnya 2 buah rumah yang hampir serupa dalam kawasan luas itu. Satu daripadanya sedang diduduki manakala satu lagi kosong, sesuai untuk perfileman.”

Lokasi-lokasi lainnya dijumpai di Janda Baik dan disekitarnya. Kawasan ini tidak terkenal dengan cerita-cerita hantu.

“Pada pertama kali kami sampai ke set, ia bagaikan satu babak dalam filem seram. Masa itu hujan baru berhenti dan kami sampai sejurus selepas malam menggelap dan jalanraya-jalanraya dengan tiba-tiba diselimuti kabus putih. Ia menyelubungi kami dengan tiba-tiba, entah dari mana dan menjadi begitu teruk sehingga kami tidak dapat melihat apa-apa di hadapan. Menyeramkan.”

PEMILIHAN PELAKON
Pemilihan barisan pelakon berjalan selama 2 minggu tetapi untuk watak utama Mastura, Zarina sering terbayangkan Deanna Yusoff yang terkenal dengan peranan Lady Thiang dalam filem cetera Anna and the King untuk memainkan watak tersebut.

“Walaupun dari peringkat skrip lagi, saya selalu menggambarkan Deanna memainkan watak ini kerana saya percaya dialah yang akan memainkan peranan sebagai “roh iblis” dengan jayanya, manakala disebalik itu, mendapat empati penonton-penonton. Saya fikir tidak ramai pelakon mampu mewatakkannya.”

Watak Nasrin dimainkan oleh pendatang baru Natasha Hudson.

“Natasha memiliki keupayaan hampir seperti kameleon yang boleh saling bertukar antara persona-persona yang berlainan yang saya rasa sungguh penting dalam watak Nasrin, yang dikuasai oleh roh cermin tersebut.”

Watak ibu Nasrin, Mak Siti dimainkan oleh pelakon wanita Malaysia yang terkenal, Khatijah Tan.

“Sebaik sahaja bertemu Khatijah, saya tahu dia adalah sesuai benar untuk peranan  ini. Dia memiliki kesungguhan yang  menambat minat penonton.”

Yusuf, tunang Nasrin yang ditinggalkan diwatakkan oleh Farid Kamil.

“Adalah sangat penting untuk Yusuf dan Nasrin mempunyai keserasian atas skrin dan memandangkan Farid pernah bekerjasama dengan Natasha sebelumnya, ia sungguh bersesuaian. Semasa Farid mengguji bakat untuk watak ini, saya tahu dialah Yusuf yang saya carikan, dia mempunyai daya tarikan dan paras rupa menawan yang betul-betul sesuai untuk watak ini. Alamak, dia adalah satu-satunya watak lelaki utama dalam ramai-ramai pelakon wanita, jadi dia semestinya menonjol.”

Pelakon-pelakon sokongan yang lain dimainkan oleh pelakon-pelakon berbakat dan pelakon-pelakon veteran terkenal seperti Dato’ Mustapha Maarof, M.Rajoli, Fauziah Nawi, Lisdawati, Haryanto Hassan, Sheila Mambo, Farah Ahmad, Soffi Jikan.

Kredit artikel: Starry Eye Productions

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Minggu Setiausaha Bersama Dayang Nurfaizah di Planet Hollywood

Chermin To Be Screened At Italian Film Festival