in ,

Senarai Pemenang Peraduan SAYA NAK CUTI Anjuran MAS

PEMENANG PERADUAN MAS ‘SAYA NAK CUTI!’ REALISASIKAN IMPIAN PERCUTIAN

Tujuh pemenang peraduan ‘Saya Nak Cuti!’, ciptaan Malaysia Airlines, merayakan kemenangan ‘sekali sepanjang hayat’ yang memberi peluang kepada mereka untuk menikmati percutian impian mereka dengan segala perbelanjaan ditanggung, dan menjadi hos program TV mereka sendiri.

Pemenang yang dipilih daripada lebih 3,000 peserta ialah Mohammed Amyrol Bakhri, 25 (Bangkok); Aliff Ashari, 20 (Jogjakarta); Affandi Abdul Hamid, 35 (Tawau); Siti Nur Aishah Aleyes, 26 (Kota Kinabalu); Madina Yahya, 31 (Ho Chi Minh); Juliana Niza Ismail Adnan, 31 (Bali); dan Nur Fadhilah Hasnawi, 21 (Sandakan).

Setiap seorang pemenang akan diiringi oleh krew penerbitan, yang akan merakamkan percutian impian mereka untuk program siaran 30 minit menerusi Astro RIA (Saluran 104) bermula 21 April 2010, jam 10 malam.

Cerita yang dikemukakan oleh para pemenang telah menarik perhatian pengadil dan pengundi. Contohnya, cerita Madina menyentuh perasaan. Ibunya berasal dari Vietnam dan ayahnya dari Kemboja. Semasa peperangan, ibu bapanya melarikan diri ke Thailand. Dibesarkan di Malaysia, Madina tidak pernah bertemu dengan keluarga ibunya di Vietnam. Bagi Madina, pertemuan dengan keluarga dan saudara mara sebelah ibunya merupakan sesuatu yang telah lama diimpikan.

Sebaliknya, Aliff, seorang pelajar perfileman, memendam impian untuk melawat Yogjakarta semula. Beliau adalah seorang sukarelawan Palang Merah di Yogyakarta yang membantu mangsa gempa bumi selepas kota itu digegar gempa bumi pada 2006. Aliff ingin menjejak langkahnya, melawat kampung dan bertemu dengan mereka yang pertama kali ditemui 4 tahun dahulu, dan melihat perubahan yang berlaku sejak itu.

“Sambutan bagi peraduan ‘Saya Nak Cuti!’ amat menggalakkan, dan kami telah menerima lebih daripada 3,000 penyertaan. Banyak cerita menarik yang telah diterima, dan kami telah memilih tujuh pemenang berdasarkan keunikan tersendiri pada setiap percutiaan idaman, kreativiti, keaslian dan keupayaan untuk menarik minat orang ramai. Saya pasti pengalaman sebenar peserta akan menarik perhatian penonton,” kata Penolong Pengurus Besar Jualan Malaysia & Brunei, Malaysia Airlines, Encik Azman Ahmad.

Katanya lagi, “Kita semua mempunyai cerita pengembaraan untuk dikongsi. Kami telah menyediakan laman www.mastraveller.com untuk menggalakkan pengembaraan dan menyediakan platform untuk pengembara berkongsi cerita mereka, sambil memberi mereka tip tentang aktiviti yang seronok, tempat makan dan tempat penginapan. Laman web ini merupakan sumber untuk mendapatkan panduan pengembaraan sebelum anda memulakan perjalanan.”

Pengurus Saluran Astro RIA, Puan Azlin Reza Azmi berkata, “Kami amat gembira dengan sambutan positif yang diterima berdasarkan pada jumlah penyertaan yang dihantar untuk program realiti ‘Saya Nak Cuti’ yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun ini. Ini membuktikan bahawa program berbentuk realiti masih mendapat tempat di hati para penonton.

”Uniknya program ini ialah ia bukan sahaja bakal menampilkan para pemenang sebagai hos percutian impian mereka sendiri tetapi juga bakal mengajak para penonton untuk turut sama menyusuri pengalaman percutian yang mengasyikkan. Kami yakin program ini mampu memberi kelainan sekaligus memikat hati para penonton untuk mengikuti perjalanan mereka yang pastinya menyeronokkan,” ujar Azlin.

Katanya lago, ”Astro juga akan terus berusaha untuk menawarkan pengisian yang segar dan bermutu dengan menerbitkan program sebegini melalui ruang yang telah disediakan selaras dengan pendirian Astro dalam memberikan hanya yang terbaik untuk tontonan ramai.”

Peraduan ”Saya Nak Cuti!” bermula pada 6 Jan 2010. Daripada lebih 3,000 penyertaan, 20 orang telah disenarai singkat dan undian umum untuk penyingkiran mingguan diadakan dari 10 Feb 2010 hingga 9 Mac 2010 untuk memilih 12 finalis.

Episod “Saya Nak Cuti” akan dimuat naik ke laman www.MAStraveller.com/SayaNakCuti sehari selepas tayangannya di Astro RIA.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sazzy Falak Duta & Jurucakap Penyaman Udara LG Health+ Inverter

Telenovela She– Wolf, The Last Sentinel di TV3