in

Mikrofon Ziana Zain ‘Terbang’ di KLFW2015 Gara-Gara Losyen

Gara-gara losyen tangan, penyanyi Ziana Zain terpaksa menanggung malu apabila mikrofon yang digunakannya ‘terbang’ ketika membuat persembahan pada majlis kemuncak Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW2015) yang berlangsung Ahad baru-baru ini.

Ziana Zain

Bagaimanapun Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 47, menyifatkan insiden yang tersebar dan menjadi viral di media sosial itu sebagai ‘drama lucu’ sepanjang karier nyanyiannya.

“Rasa kelakar pula. Semua sebab losyen tangan. Pada penghujung nyanyian ketika menyampaikan lagu XO (nyanyian asal, Beyonce), saya mahu angkat tangan, tetapi mikrofon pula yang terpelanting.

“Selamat saya tak jatuh. Tetapi ketika kejadian itu, semua orang berdiri dan bersorak. Tetapi itulah, pakai losyen atau tidak, jika sesuatu nak terjadi, ia tetap akan terjadi,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sejak petang Isnin, video berdurasi 15 saat itu menunjukkan mikrofon yang dipegang Ziana terlepas ketika penyanyi itu mengakhiri persembahannya.

Bagaimanapun Ziana mengambil semula mikrofon berkenaan dan mengakhiri persembahannya dengan penuh yakin sambil memberi ucapan ‘That’s it, Thank You!’.

Ketika itu, tetamu yang hadir terus berdiri dan bersorak di atas sikap profesional penyanyi itu.

Video tersebut menjadi bualan ramai di laman sosial dan ramai yang memuji sikap Ziana yang terbuka dan bersahaja walaupun berhadapan dengan situasi berkenaan.

Sementara itu Ziana berkata, sebagai seorang penyanyi, insiden seperti itu adalah perkara biasa yang dilalui oleh mana-mana individu di atas pentas termasuklah selebriti bertaraf antarabangsa.

Penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah turut memberi nasihat kepada penyanyi-penyanyi lain supaya bertindak profesional dengan sebarang situasi di luar jangka.

“Perkara seperti itu biasa terjadi kepada sesiapa pun. Jadi sekiranya ada penyanyi berhadapan dengan situasi di luar jangkaan seperti ini, tidak perlu gusar. Sebaliknya bersikap yakin di atas pentas sehinggalah habis persembahan,” ujarnya.

Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Premiere Limitless Brand New Action-Packed Drama

Anuar Zain Bakal Jayakan Konsert KU MOHON Tuhan Berikan Aku Cinta