in ,

Amy Mastura, Cico Harahap Dalam Sinema Ahad TV2

SLOT BAHARU : SINEMA AHAD @ 2 MULAI MAC 2009 DI TV2

Dalam usaha memberikan kepuasan tontonan kepada khalayak penonton setia salurannya terhadap filem-filem Melayu termasuk terbitan negara kita sendiri dan juga filem Indonesia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV2, Dunia Ria memperkenalkan slot baharu yang diyakini mampu memberikan peluang kepada penonton berhibur seisi keluarga. 

Slot Sinema Ahad @ 2 yang bersiaran mulai Mac 2009 ini membariskan filem hebat iaitu Jatuh Cinta Lagi (1 Mac 2009), Puteri Impian 2 (8 Mac 2009), Jangan Panggil Aku Cina (15 Mac 2009) dan Lang Buana (22 Mac 2009), setiap Ahad, jam 10.30 malam menerusi TV2.

Ia bermula dengan filem hebat Jatuh Cinta Lagi (2006) lakonan penyanyi terkenal, Krisdayanti disamping pelakon Gary Iskak, Cornelia Agatha dan Endhita mengisahkan Lila yang menaruh kepercayaan bahawa lelaki yang dikenalinya bernama Andre bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Dia menjadi hilang sabar dan tidak mempercayai lelaki yang padanya hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kaum wanita. Sementara Andre pula tidak berminat mahu berurusan dengan orang yang mementingkan diri dan wanita yang tidak ada unsur jenaka dalam dirinya.

Tanpa diduga, mereka terpaksa bekerjasama dalam menyelesaikan kes penceraian penyanyi kelab dangdut terkenal dengan suaminya. Andre berpihak di sebelah suami penyanyi itu yang mahu menuntut hak penjagaan anaknya berusia 7 tahun manakala Lila pula di pihak penyanyi itu. Lalu mereka mengaturkan strategi masing-masing dan tanpa diduga terbit perasaan cinta di hati masing-masing yang sukar untuk dinyatakan antara mereka berdua.

Kemudiannya menyusul filem Puteri Impian 2 arahan Aziz M.Osman yang mengisahkan Nora, bekas gadis kilang yang telah menolak lamaran kerabat diraja, Tengku Faizal. Tengku Farid, adik Tengku Faizal tersinggung Nora menolak cinta abangnya. Dia telah bertekad untuk membersihkan kembali nama baik keluarganya serta membawa Nora kepangkuan abangnya. Sementara itu, Nora masih menaruh harap kepada Zul, jurukamera stesen televisyen yang dikenalinya. Tetapi Zul telah menjalinkan hubungan dengan Lisa.

Puteri Impian 2 dibintangi Amy Mastura, Cico Harahap, Aliah Lee, Azri Iskandar, Sarimah dan Azman Hassan.

Begitu pun kepada anda peminat setia filem Indonesia, usah ketinggalan meluangkan masa menonton Jangan Panggil Aku Cina, filem Indonesia yang popular sekitar tahun 2003 hasil skrip oleh Viva Westi yang pastinya mampu menghiburkan penonton dengan plot ceritanya yang menarik sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Namun tidak dilupakan juga kepada peminat filem komedi bakal dihiburkan dengan filem popular Lang Buana lakonan Kumpulan Senario yang membawa penonton ke era zaman lampau iaitu sebelum abad ke-19 tetapi kisah yang dipaparkan berkaitan dengan masyarakat Malaysia hari ini. Ia mengisahkan tiga orang pemuda – Gunung, Daik dan Bercabang – yang melarikan diri daripada menjadi hamba abdi kepada Orang Kaya Seri Bentan. Mereka bertiga berhenti di sebuah kota bernama Lang Buana di pinggir sebuah sungai. Setibanya di kota itu, mereka disambut meriah kerana disangka putera raja yang dapat menyelamatkan kota itu daripada serangan Sang Nira. Terperangkap oleh keadaan, ketiga-tiga pemuda berkenaan terpaksa menyamar menjadi putera raja dan merangka taktik peperangan bagi memperkuatkan benteng pertahanan Lang Buana.

Justeru, jangan ketinggalan meluangkan masa menonton Slot Sinema Ahad @ 2 mulai Mac 2009 dengan barisan filem-filem hebat iaitu Jatuh Cinta Lagi (1 Mac 2009), Puteri Impian 2 (8 Mac 2009), Jangan Panggil Aku Cina (15 Mac 2009) dan Lang Buana (22 Mac 2009), setiap Ahad, jam 10.30 malam menerusi TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Biodata Claudia Akademi Fantasia 7

Apa Ada Dalam Filem Anu Dalam Botol