in ,

Wartawan Hiburan, Fiza Kamarudin Meninggal Dunia di Hospital London

Adik Allahyarham berkata, punca kematian arwah adalah pendarahan dalam kepala dan kanser merebak ke bahagian belakang tengkorak

Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin atau nama lengkapnya Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang dilaporkan kritikal di London, telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.

Menurut adiknya, Siti Nor Hazlinda, 39, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat
pendarahan otak disebabkan sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan arwah rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.

Ujarnya lagi, suami kepada arwah, Mohd. Roshdi Ramli kini dalam proses perbincangan dengan pihak kedutaan Malaysia di London, untuk urusan membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan,”

– Siti Nor Hazlinda
Wartawan Hiburan, Fiza Kamarudin Meninggal Dunia di Hospital London

Menurut Hazlinda, kejadian berlaku beberapa jam sebelum kakaknya bersama suami serta dua anak mereka akan berlepas pulang ke tanah air selepas bercuti di London.

Berita duka itu juga dikongsikan oleh suami arwah, Mohd Roshdi Ramli kepada media.

“Assalamualaikum semua, saya nak maklumkan bahawa Fiza sudah pergi meninggalkan kita semua.

“Mohon maafkan Fiza kalau ada terguris hati dengan dia. Kalau arwah ada berhutang dengan sesiapa minta hubungi kami,”

– Mohd Roshdi Ramli

Sementara itu, adik Allahyarham, Siti Norhazlinda berkata, punca kematian arwah adalah pendarahan dalam kepala dan kanser merebak ke bahagian belakang tengkorak.

Arwah sebelum ini menghidap sakit barah payudara sejak beberapa tahun lalu.

“Keluarga sedang berbincang dengan pihak kedutaan Malaysia di London untuk mengetahui berapa jumlah kos membawa balik jenazah,’’

– Siti Norhazlinda

Menurutnya, percutian ke negara itu adalah hajat terakhir kakaknya bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

“Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti.

“Dia memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak,”

– Mohd Roshdi Ramli

Arwah, yang meninggalkan suami dan dua anak, merupakan pengarang di portal hiburan Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU.

Beliau juga pernah bertugas di portal Astro Gempak dan stesen RTM.

Terdahulu media melaporkan Fiza kritikal dan sedang dirawat di hospital di London selepas tidak sedarkan diri sewaktu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow ketika menunggu pesawat untuk pulang ke tanah air.

Fiza bersama suami dan anak-anak berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember.

Meskipun keadaan kesihatannya kurang baik sebelum ini, keluarga memilih untuk menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaan beliau sendiri. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Sebab Kenapa Dialog Filem Melayu Zaman 80an Dan 90an Terlalu Skema!

OPPO Reno11 Series 5G Dibuka Untuk Pra Tempahan Dijual Mulai Januari 2024