in , , ,

Tiada Permohonan Maaf dari Bekas Pemandu, Che Ta Bakal Ambil Tindakan

Jam 11 pagi, hari Jumaat, selebriti popular Rozita Che Wan ditemani suami tampil mengadakan sidang media bagi mengumumkan dan memperjelaskan agenda berkaitan tentang isu Rozita Che Wan dan bekas pemandunya yang tidak hadir untuk buat permohonan maaf secara terbuka. Majlis sidang media ringkas diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara dan dihadiri oleh media serta blogger.

Sekiranya permohonan maaf itu tidak dilaksanakan, notis tuntutan saman akan dikeluarkan menerusi peguam Che Ta, Wan Sarimah Wan Hussain dari CSQ Law Advocates & Solicitors.

Rozita Che Wan

“Sidang media ini diadakan untuk menjernihkan keadaan, tetapi dia (bekas pemandu peribadi) tidak hadir. Sehubungan itu, saya memberi tempoh sehingga jam 6 petang ini untuk pihaknya membuat permohonan maaf.

“Permohonan maaf itu boleh dibuat dengan memuat naik di laman sosialnya, medium yang sama dia gunakan untuk memfitnah saya. Lagipun saya terbuka hati jika dia meminta maaf sebab saya tidak mahu memanjangkan isu ini,”

– Rozita Che Wan
Rozita Che Wan

Muhamad Riduan sebelum ini membuat kenyataan di laman sosial Facebook miliknya bahawa Che Ta mengelak membayar gajinya sehingga isu itu menjadi tular dalam kalangan netizen.

Malah, pelakon itu juga mengakui isu yang timbul itu merupakan kontroversi yang paling teruk pernah dialaminya sepanjang bergelar selebriti.

“Sepanjang bergelar selebriti, inilah kontroversi yang paling teruk pernah saya alami. Ia telah menjejaskan maruah dan nama baik saya. Sejak insiden ini berlaku saya tertekan, kecewa, malu dan sedih dengan kata-kata yang dilemparkan terhadap saya.

“Begitu juga perniagaan saya pun turut terjejas. Apabila melibatkan perniagaan, bukan saya sahaja yang menerima kesan, malah staf-staf saya juga terbabit sama,”

– Rozita Che Wan

Susulan isu berkenaan, Che Ta mengakui dia tidak serik untuk mengambil pemandu peribadi lain yang untuk menggantikan bekas pemandunya itu. 

Rozita Che Wan

“Saya tidak serik untuk mengupah pemandu peribadi selepas isu ini berlaku dan sekarang pun dah ada pemandu baharu. Selama ini pemandu-pemandu lain tiada masalah, dia sahaja yang bermasalah,”

– Rozita Che Wan

Berikut Adalah Kenyataan Yang Dibaca oleh Rozita Che Wan di Sidang Media:

  1. Saya percaya anda semua sudah sedia maklum mengenai beberapa kenyataan bekas pemandu saya, Muhammad Riduan bin Mohamad Mizol, terhadap saya sama ada yang dibuat di media sosial atau kepada wartawan baru-baru ini.
  2. Saya amat kesal dengan pelbagai tuduhan beliau antara lainnya mendakwa saya selaku majikan dengan sengaja tidak mahu membayar gaji beliau dan berniat menganiaya beliau.
  3. Kenyataan-kenyataan yang tidak berasas ini telah memalukan saya dan menjatuhkan reputasi saya di mata masyarakat.
  4. Bagi membersihkan nama saya dari tuduhan tersebut, saya ingin memaklumkan bahawa saya, melalui peguam saya telah menghantar notis tuntutan kepada Muhammad Riduan pada 11 Mac 2019.
  5. Dalam Notis Tuntutan tersebut, saya menuntut antaranya, supaya beliau melakukan perkara-perkara yang berikut:
    i.​tanpa kelengahan menghentikan perbuatan fitnah kepada saya;
    ii.​tanpa kelengahan memadam kenyataan-kenyataan dan/atau gambar-gambar yang memfitnah saya;
    iii.​dalam masa 48 jam daripada tarikh notis tuntutan tersebut membuat jaminan dan akujanji secara bertulis bahawa beliau tidak akan mengulang penerbitan kenyataan-kenyataan fitnah atau apa-apa kenyataan yang serupa;
    iv.​dalam masa 48 jam daripada tarikh notis tuntutan tersebut membuat kenyataan permohonan maaf di platform media sosial beliau; dan
    v.​membuat permohonan maaf secara terbuka di sidang media pada hari ini.
  6. Walaubagaimanapun, sehingga kini, saya dan peguam saya tidak ada menerima sebarang maklum balas, jawapan, atau dihubungi oleh beliau atau wakil beliau.
  7. Saya amat kesal dengan keengganan beliau tampil hari ini untuk memohon maaf secara terbuka walaupun secara terang kenyataan tersebut berunsur fitnah dan memalukan saya.
  8. Saya dengan ini memberi peluang kepada beliau sehingga jam 6 petang ini untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, dan sekiranya beliau gagal, saya terpaksa mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau berdasarkan beberapa pilihan tindakan undang-undang yang telah kami bincangkan.
  9. Sebelum berakhir, saya ingin menegaskan beberapa perkara.
  10. Pertama, saya mengadakan sidang media ini untuk memberi pengajaran bukan sahaja pada beliau tetapi sesiapa saja yang menyalahgunakan media sosial untuk memalukan individu lain tak kiralah samada mereka artis atau sesiapa saja. Anda harus bertanggungjawab dengan setiap tindakan anda dan sedar bahawa anda berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang.
  11. Kedua, saya memohon agar masyarakat di Malaysia menghentikan budaya men”viral” keburukan orang lain di media sosial kerana ia bukanlah satu tindakan yang matang dan baik. Ia hanya akan memberikan anda kepuasan sementara dan merosakkan maruah orang lain untuk jangka masa yang lama.
  12. Saya bukanlah artis atau individu pertama yang telah menjadi mangsa viral di media sosial. Oleh itu, saya berasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan isu ini supaya menjadi pengajaran kita semua.
  13. Kita semua perlu sedar bahawa setiap apa yang ditaip, disiar dan ditularkan di media sosial, media cetak atau sebagainya mempunyai implikasi dan risiko yang tertentu. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahguna media sosial sehingga menjatuhkan imej, maruah dan nama baik seseorang individu tanpa dipertanggungjawabkan ke atas perkara tersebut.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Saya Perlu Akur dengan Keputusan Keluarga,” – Atikah Suhaime

Drama LEFTENAN ZANA Trending di Youtube Malaysia